Sastera dan Karyawan Seni Masih Tidak Bersatu

Mengapakah pembikin filem tempatan tidak berminat dengan karya sastera tempatan? Adakah novel-novel popular yang terjual beratus ribu setiap ulang cetak juga tidak mendapat perhatian pembikin filem ini. Bayangkan novel yang sungguh popular dalam kalangan pembaca, Lagenda Budak Setan, mengambil masa 20 tahun untuk diangkat ke layar. Bagaimana pula nasib karya sastera yang ampuh untuk dijenguk oleh para pembikin filem? Adakah ini menandakan, bukan sahaja para pembikin filem tidak kenal dengan sastera tempatan, malah juga tidak membaca hasil karya sendiri?

Buat masa sekarang, pilihan kandungan filem oleh kebanyakan para pembikin filem masih menular pada genre dan tema yang sama. Sudah berapa banyak isu mat rempit, wanita tidak bermoral, kepercayaan tahyul yang masih diulang-ulang dengan formula yang sama. Apakah penerbit dan pengarah kita tidak menyedari longgokan emas yang menunggu di dalam novel dan cerpen yang mendapat sambutan hebat serta diiktiraf?

Tahun 2010 merupakan tahun yang produktif buat filem Malaysia. Lebih 25 buah filem telah ditayangkan di seluruh negara bermula Januari hingga Disember 2010. Walaupun begitu, hanya sebuah filem yang mengadaptasi naskhah novel ke layar panggung iaitu Lagenda Budak Setan. Pada tahun 2011, hanya tiga (Hikayat Merong Mahawangsa, Karipap-karipap Cinta, Hanyut) daripada berpuluh filem yang akan ditayangkan adalah hasil adaptasi daripada novel. Daripada kesemua filem yang dinyatakan, tidak ada sebuah pun yang memilih karya sastera moden yang hebat.

Beberapa tahun dahulu, FINAS pernah mengadakan pertandingan penulisan skrip filem. Penulis skrip filem, Luqman al-Jefri pernah menghasilkan dua buah skrip yang diadaptasi daripada karya sastera untuk pertandingan tersebut. Kedua-dua skrip berjaya merangkul hadiah utama. Tetapi, sehingga hari ini mengapakah masih tidak ada penerbit filem yang berminat untuk mengambil skrip adaptasi tersebut.

Jika pembikin filem tempatan hendak mencari nilai dan estetika tempatan yang sesuai, novel dan cerpen Sasterawan Negara, penerima Anugerah SEA Write, pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia, atau mana-mana karya sasteralah jawapan terbaik untuk diperkenalkan kepada penonton tempatan dan luar negara. Seperti kata Ridhwan Saidi, pembikin filem muda serta penulis blog Bin Filem, arca, catan seni, buku bukan fiksyen, filem dokumentari, dan siaran berita juga boleh dijadikan bahan adaptasi untuk sebuah filem.

Kutipan purata RM2.5 juta untuk sebuah filem yang ditayangkan pada 2010 menandakan industri perfileman kita sudah mula bernafas lega. Masa sekarang merupakan masa yang terbaik untuk para pembikin filem tempatan mengadaptasi karya tempatan yang sudah berlonggok-longgok menunggu di rak kepustakaan sastera untuk difilemkan.

Sudah tiba masanya para sasterawan dibawa duduk bersama para pembikin filem di dalam sebuah wacana yang dapat membantu dua golongan tersebut untuk mengenali sebuah prospek yang berpotensi tinggi. Dengan itu, dapatlah karya sastera yang tersimpan di perpustakaan dimasyarakatkan. Karya filem yang senantiasa mengejar nilai komersial diseimbangkan dengan nilai artistik. Akhirnya, masyarakat dapat bersama-sama dengan sastera. Hal yang paling penting ialah sastera tidak lagi akan dianggap sebagai arkaik purba.

Bulan ini, Dewan Masyarakat dalam talian memaparkan seorang usahawan muda yang berdagang di England. Atas pemahaman beliau dengan selok-belok rangkaian sosial dan kepentingannya, beliau dapat memecah masuk tugu perniagaan England yang jarang-jarang sekali dilangkaui oleh anak Melayu tempatan.

Tiga video turut dimuatkan, berhubungkait dengan Rencana Utama, Laporan Khas dan ruangan Filem Dewan Masyarakat bercetak Januari 2011. Kami turut memaparkan liputan bersama Ahmad Idham, pengarah filem Damping Malam, yang berkerjasama dengan sasterawan, Siti Jasmina Ibrahim dalam penulisan skrip filem terbarunya. Sekurang-kurangnya, sudah ada segelintir pembikin filem yang cuba menjalinkan pertalian antara tuntutan komersial dan kepentingan kesusasteraan untuk masyarakat.

Fadli al-Akiti
fadhli@dbp.gov.my

Januari, 2011.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.