Oleh KARIM RASLAN

Berhenti kerja di Indonesia bukan satu keputusan yang mudah, apatah lagi dalam keadaan ekonomi negara yang sedang mengalami pertumbuhan pesat. Kebanyakan orang keberatan untuk meninggalkan pekerjaan terutama apabila seseorang itu berasal daripada keluarga yang sederhana dan perlu menampung persekolahan adik-adik yang lain.

Namun Junarih, 24 tahun, yang bekerja di salah sebuah syarikat multinasional telah meletak jawatan baru-baru ini ekoran mahu merealisasikan rancangan masa hadapannya yang besar. Graduan sains dari Institut Teknologi Bandung (ITB) yang berprestij ini terpilih sebagai salah seorang daripada 51 orang anak muda yang cemerlang di bawah umur 25 tahun untuk menyertai program “Indonesia Mengajar”.

Program transformasi ini merupakan idea Presiden Universiti Paramadina, Anies Baswedan. Program yang mudah dan berani ini bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan di wilayah terpencil di Indonesia.

Junarih berasal dari sebuah kampung kecil di luar Indramayu di pantai utara Jawa. Menurut beliau, rumahnya terletak di sebuah perkampungan yang miskin dan sesak.

Ayah beliau ialah seorang nelayan. Junarih sering ke laut menggunakan bot yang disewa bagi menambah hasil tangkapan ayahnya. Manakala ibunya bekerja sebagai pencuci pakaian dari rumah ke rumah.

Menyedari kepayahan hidup keluarganya, beliau begitu tekun ketika belajar di sekolah. Setelah beberapa kali mencuba, beliau akhirnya berjaya mendapatkan biasiswa daripada kerajaan tempatan dan kemudian ke ITB untuk meneruskan pengajiannya. Jika bukan kerana biasiswa tersebut, beliau tidak akan dapat menyelesaikan pendidikannya ekoran kesempitan hidup.

Semasa menuntut di ITB, beliau menambah pendapatannya dengan mengajar di pusat tuisyen berdekatan, di samping membahagikan masa dengan aktiviti mahasiswa.

Ketika Junarih pertama kali mendengar tentang program “Indonesia Mengajar”, beliau terus tertarik mahu terlibat dalam program tersebut. Baru ditubuhkan setahun, “Indonesia Mengajar” merupakan satu program yang menghantar sebanyak 51 orang tenaga “pengajar” sukarela yang dipilih untuk dihantar ke daerah terpencil di Indonesia.

Konsep program ini sangat mirip dengan program “Teach” satu program inisiatif pendidikan yang dilancarkan di negara lain di dunia. Menurut rekod, sambutan program “Indonesia Mengajar” ini sangat menggalakkan dengan lebih daripada 1000 orang pemohon.

Selepas menerima latihan asas dalam mengajar, pengajar muda ini (kebanyakannya dari universiti yang terkemuka di Indonesia) di hantar selama setahun di lima “kabupaten”.

Junarih misalnya dihantar ke sekolah rendah di Sawang Akar, Halmahera Selatan, wilayah Maluku Utara. Beliau mula bertugas pada awal November lalu. Perjalanan beliau sangat sukar. Beliau menaiki penerbangan ke Ternate, diikuti perjalanan selama 10 jam dengan perahu yang bergerak perlahan melalui beberapa buah pelabuhan sebelum betul-betul sampai di Sawang Akar.

___

Karim Raslan, penulis bebas yang kini menetap di Jakarta, Indonesia. Dua buah buku popular beliau berjudul Malaysian in Transition: Ceritalah 1 dan Journey Through Southeast Asia: Ceritalah 2.

Kolum ini diambil daripada Dewan Masyarakat Januari 2011. Kandungan kolum telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.