WikiLeaks tiba-tiba menjadi popular. Laman ini ditubuhkan pada 2006 sebagai pertubuhan media baharu yang menyiarkan berita yang didapati daripada sumber yang tidak diketahui atau kebocoran maklumat. Pertubuhan ini dikatakan dibiayai penentang China, wartawan, ahli matematik, dan ahli teknologi dari Amerika Syarikat, Taiwan, Eropah, Australia serta Afrika Selatan.

Kegemparan yang dicetuskannya menenggelamkan beberapa isu antarabangsa yang tidak kurang penting seperti serangan Korea Utara ke atas Pulau Yeonpyeong di Korea Selatan. Malah pembebasan pejuang demokrasi Aung San Su Kyi oleh junta tentera Myanmar tidak menarik perhatian lagi.

Selain operasi WikiLeaks yang galak mendedahkan maklumat sulit negara tertentu, Julian Assange, Ketua Editornya turut diselubungi kontroversi. Dia sedang dalam proses pendakwaan di Sweden kerana dituduh merogol. Jadi berita tentang pembocoran kabel diplomatik dan kisah peribadi Julian Assange silih berganti mewarnai media di seluruh dunia.

Yang paling teruk menerima bahana daripada pendedahan maklumat sulit ini ialah Amerika Syarikat. Berdasarkan kabel diplomatik yang bocor tergambar bahawa negara yang memuji diri sendiri sebagai yang paling bertamadun di dunia tidaklah sehebat mana jika dilihat dari mana-mana aspek pun. Di medan perang, mereka membunuh sesuka hati dan menghancurkan negara musuhnya tanpa perikemanusiaan.

Di medan diplomatik, mereka sentiasa berprasangka buruk dengan orang lain. Mereka sahajalah yang paling sempurna dan paling gagah. Mereka mengamalkan budaya mengintip ala James Bond yang sangat menjijikkan. WikiLeaks berjaya mendedahkan sisi hodoh Amerika Syarikat.

WikiLeaks tidak memilih negara apabila mendedahkan maklumat sulit. Malaysia tidak terkecuali apabila dipertembungkan dengan negara jiran dan masalah peribadi individu tertentu. Dalam kes Malaysia (jika maklumat itu sahih) ternyata negara berkenaan masih menyimpan perasaan dengki kepada Malaysia. Mereka umpama talam dua muka – berbuat baik apabila bersemuka tetapi mengeji di belakang.

Negara berkenaan juga suka mengeji pemimpin dunia yang lain. Sikap pemimpin mereka adalah duplikasi sikap pemimpin Amerika Syarikat. Perlukah pemimpin negara seumpama ini dihormati? Tindakan Malaysia menghantar nota bantahan keras berdasarkan pendedahan WikiLeaks sangat tepat dan kena pada masanya.

Amerika Syarikat yang mendesak negara-negara di dunia supaya telus dan terbuka seperti mereka akhirnya terperangkap dalam permainan sendiri. Apabila terkena batang hidung sendiri mereka mendakwa WikiLeaks keterlaluan dan boleh membahayakan dunia. Ini tidak lebih daripada “cakap tak serupa bikin”.

Wikipedia adalah fenomena baharu dasar keterbukaan yang ditawarkan oleh jaringan teknologi komunikasi dan maklumat. Kewujudannya tidak dapat dihalang atau dibunuh kerana benihnya merata-rata di dalam internet. Jika hari ini WikiLeaks berjaya dibunuh, maka akan tumbuh 10 lagi klon WikiLeaks esok hari.

Walaupun mendatangkan keburukan dan bahaya dalam aspek tertentu, pendedahan WikiLeaks turut membawa kebaikan. Antara yang paling ketara adalah pendedahan pekung di dada” individu tertentu yang selama ini cuba diselindungi. Terserahlah kepada rakyat untuk menilai kebenarannya – tepuk dada tanya selera!

WikiLeaks juga meningkatkan kesiapsiagaan negara dari segi pertahanan, gelombang politik, dan pergerakan ekonomi yang tidak terjangka. Dengan pendedahan itu negara tertentu boleh membuat persediaan, seperti perumpamaan “sediakan payung sebelum hujan”.

Kita boleh mengambil iktibar daripada fenomena WikiLeaks. Dasar kerahsiaan maklumat negara mesti diperkukuh dan diperketatkan agar tiada kebocoran selembar pun dokumen sulit negara. Pihak yang berkaitan hendaklah memeriksa mana-mana yang patut sebelum WikiLeaks dapat “mencuri” kabel diplomatik kita. Semua pihak wajib mempertahankan keutuhan kerahsiaan negara.

Padilah Haji Ali
padilah@dbp.gov.my

Share

1 Maklum Balas

  1. Perisa Komen:

    Betul, WikiLeaks boleh merosakkan keharmonian antara negara.

    Dihantar pada 29 Disember, 2010, 10:39 pm

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.