Pada Disember lalu, tiga orang cendekiawan tanah air menerima Anugerah Profesor Ulung. Mereka yang menerima anugerah tersebut ialah Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Profesor Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan, dan Profesor Dr. Lai-Meng Looi.

Shamsul Amri merupakan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia; Mohd Kamal, bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa; manakala Lai-Meng ialah Profesor Kanan Patologi Universiti Malaya.

Sebelum ini, tidak pernah wujud anugerah kedua tertinggi selepas Anugerah Profesor Diraja. Lantaran itu, Anugerah Profesor Ulung dianggap sebagai “jambatan” yang menghubungkan Profesor Kelas A dengan Profesor Diraja.

“Pengiktirafan ini (Profesor Ulung) bertepatan dengan prinsip profesor milik negara yang berfungsi sebagai penyalur maklumat dan pengetahuan untuk pembangunan bersama,” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Anugerah Profesor Ulung 2010 di Bangi, pada 15 Disember lalu.

Kewujudan Anugerah Profesor Ulung ini dan petikan ucapan Khaled di atas, mengingatkan penulis kepada Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua (1970-1976). Selaras dengan gelaran “Bapa Pembangunan”, Tun Razak merupakan pemimpin yang bertungkus-lumus membela nasib masyarakat luar bandar yang majoritinya orang Melayu melalui pelbagai pelan pembangunan. Antara jasa Tun Razak yang paling besar adalah mewujudkan Federal Land Development Authority (FELDA) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Banyak pihak tidak menyedari bahawa kelompok yang memerah idea, menyalurkan maklumat, dan pengetahuan kepada Tun Razak ketika itu ialah golongan pemikir Melayu yang terdiri daripada profesor universiti, pegawai kanan kerajaan, mahupun golongan cerdik pandai Melayu yang lain.

Majoriti pemikir Melayu ketika itu dilantik oleh Tun Razak untuk menganggotai pelbagai biro yang diwujudkan dalam UMNO. “Mereka (pemikir Melayu) yang bertanggungjawab memberikan pelbagai cadangan kepada Tun Razak dan cadangan tersebut banyak ada diambil untuk dijadikan dasar kerajaan,” kata Tun Abdul Rahman Yaakob, bekas Menteri Kabinet ketika zaman Tun Razak ketika ditemu bual oleh Dewan Masyarakat, tidak lama dahulu.

Dalam tempoh sekurang-kurang satu dekad kebelakangan ini, peranan kumpulan pemikir Melayu seakanakan “hilang” ditelan zaman. Memang benar, intelektual Melayu terutama dalam kalangan pensyarah universiti sebelum ini terus memberikan komentar dan menulis di media massa mahupun membuat penyelidikan yang tidak putus-putus dalam bidang masing-masing, namun sumbangan mereka ini tidak “diinstitusikan”, diteliti, dan disalurkan secara konsisten sebagai “input” penting kerajaan semasa menggubal sesuatu dasar.

Dewan Masyarakat keluaran Januari 2007, pernah membincangkan panjang lebar isu ini dalam makalah yang bertajuk, “Pemikir Melayu: Hidup Segan, Mati Tak Mahu.”

Kewujudan Anugerah Profesor Ulung pada Disember lalu menyebabkan penulis terfikir semula peranan kumpulan pemikir Melayu ini. Tun Razak sudah membuktikan betapa besarnya sumbangan kumpulan pemikir ini jika mereka diajak bersama-sama menggembleng pemikiran untuk membangunkan negara. Sudah tibakah masanya institusi kumpulan pemikir Melayu ini “benar-benar” dihidupkan semula?

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.