Oleh FADLI AL-AKITI

Damping Malam meninggalkan pengalaman yang manis buat pengarah filem Ahmad Idham. Filem tersebut bukan sahaja menandakan Ahmad Idham sudah berjaya menghasilkan empat filem seram (Jangan Pandang Belakang, Congkak, Niyang Rapik), tetapi menyaksikan kembalinya pengarah tersebut sebagai salah seorang pelakon utama yang sebelum ini pernah terkenal sebagai pelakon drama dan sitkom komedi televisyen.

Tentu ramai peminat filem Malaysia menanti-nantikan filem terbitan Metrowealth Pictures Sdn. Bhd. daripada pengarah prolifik tersebut sama ada menampilkan kelainan. Filemnya kali ini mengetengahkan barisan pelakon Amy Mastura, Erynne Erynna (Congkak), Eizlan Yusof, Azizah Mahzan (Anak), dan Roslan Saleh.

Filem 90 minit ini mempunyai pelbagai sudut yang diolah daripada serpihan kisah benar yang sedang berlaku dalam masyarakat sekarang, terutamanya dalam keluarga kelas pertengahan. Sistem kekeluargaan yang mula retak atas kesibukan ketua keluarga mencari kekayaan dunia, pertimbangan yang salah oleh individu keluarga yang sunyi, kegiatan sumbang golongan isteri mencari bomoh untuk mengikat kesejahteraan perkahwinan mereka, semuanya dijalinkan bersama dalam detik seram dan melodrama keluarga.

Ahmad Idham memberitahu Dewan Masyarakat, beliau yakin filem seram keempatnya membawa sesuatu yang baharu dalam gaya pengarahannya. Unsur baharu yang jelas boleh diperhatikan wujud dalam cerita yang hendak disampaikan, serta pendekatan yang jarang-jarang berani dilakukan oleh pembikin filem seram tempatan.

“Selalunya pengakhiran cerita sebuah filem seram sudah dapat dijangka. Untuk filem saya kali ini, suatu perubahan dilakukan. Memang saya tidak akan mengelak daripada meletakkan mesej didaktik yang perlu ada dalam sebuah filem sebagai nilai moral. Tetapi pengakhiran filem ini tentu akan mengejutkan ramai peminat filem seram,” kata Ahmad Idham.

Hal ini mungkin kerana keyakinan Ahmad Idham mengambil Siti Jasmina Ibrahim sebagai penulis skrip filem ini (Ahmad Idham menulis lakon layar filem ini). Siti Jasmina Ibrahim merupakan penulis drama yang sedang menempa nama. Dramanya, Hikayat Qaziq memenangi Hadiah Sastera Perdana untuk kategori Skrip Drama Terbaik beberapa tahun lepas. Siti Jasmina juga menjadi antara panel penulis skrip Muzikal Puteri Gunung Ledang.

Ahmad Idham sebenarnya pernah mengambil Siti Jasmina Ibrahim dalam kumpulan produksi kreatifnya. Niyang Rapik, filem yang mendapat lima pencalonan anugerah (termasuk Lakon Layar Terbaik) pada Festival Filem Malaysia ke-23 merupakan kolaborasi pertama Siti Jasmina bersama Ahmad Idham. Selepas itu, Ahmad Idham tidak lagi mahu melepaskan penulis berwibawa tersebut.

“Siti Jasmina sangat memahami gaya filem saya, terutamanya dalam genre seram. Tidak ramai yang boleh memahami selok-belok dan keperluan yang diingini dalam sebuah naskhah genre seram. Damping Malam merupakan sebuah percubaan untuk menyelami sebuah naskhah seram yang lain daripada yang lain. Siti Jasmina mempunyai jiwa yang besar, serta memahami sastera tinggi. Beliau amat sesuai untuk bersama-sama saya dalam menjalankan filem ini,” kata Ahmad Idham.

Suatu yang menarik, Ahmad Idham juga cuba menggunakan kesan seram yang berlainan dalam filem ini. Banyak kesan bayang-bayang digunakan, seakan-akan merujuk gaya ekspresionisme F. W. Murnau di dalam filem bisu Nosferatu (1922). Ahmad Idham mengaku, beliau tidak pernah menonton adikarya seram itu, tetapi memahami kesan bayang-bayang itu penting sebagai simbolisme yang berkaitan dengan unsur seram dalam filem ini.

“Bayang-bayang dekat dengan manusia. Bayang-bayang seakan-akan merupakan kembar ‘gelap’ manusia apabila manusia berjalan di bawah cahaya. Penggunaan cahaya dan ruang sudut yang betul membuakkan semangat ‘bayang-bayang’ sebagai ‘pendamping’ di dalam filem ini. Perkara ini mengikat subjek filem ini, bahawa watak dalam filem ini tidak dapat lari daripada ‘pendamping’ yang sentiasa mengekorinya,” jelas Ahmad Idham.

Perasaan suspens, curiga, dan takut turut dimainkan dalam filem ini, dengan mengambil unsur emosi asas dalam mana-mana filem ngeri (thriller) yang dipopularkan dalam genre filem noir. Apa yang menarik, watak Amy Mastura dan Azizah Mahzan digandingkan di dalam filem ini sebagai pasangan seteru dalam keluarga berdarah tengku. Babak mereka berdua yang sentiasa bertegang urat menampilkan sikap yang biasa terjalin dalam filem noir Robert Aldrich, tetapi sudah tentu dengan acuan yang lebih tempatan. Secara tersirat, filem ini juga menggunakan unsur whodunit yang popular dalam novel penyiasatan Inggeris dan Amerika, tetapi diadun dengan penglibatan mistik, keturunan keluarga, dan masalah perkahwinan.

Dengan unsur-unsur kelainan tersebut, filem ini mengubah pendekatan kerja Ahmad Idham selaku pengarah. Beliau terpaksa mengimbangkan babak drama dengan babak seram supaya penonton dapat mengikutinya dengan mudah. Beliau menghargai kumpulan krew filemnya yang memahami kerja pengarahannya selama 15 tahun. Ini membuatkan kerja merealisasikan teks lakon layar ke imej lebih tenang dan selesa. “Cabarannya sekarang, boleh atau tidak para penonton menerima kelainannya,” ucap Ahmad Idham.

___

Share

1 Maklum Balas

  1. Perisa Komen:

    Filem ini sedikit lembap, tak seperti filem ahmad idham yang dulu-dulu.

    Dihantar pada 25 Disember, 2010, 10:36 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.