Oleh AMIRUDDIN AHAMAT

Menjadi usahawan sebagai kerjaya tetap buat Masoni Pitri bukanlah suatu pilihan beliau. Iltizam itu bersandarkan keazaman dan keyakinannya yang cukup tinggi terhadap sebuah hadis yang menyebut bahawa 9/10 rezeki datang daripada sumber keusahawanan. Beliau sedar, kerjaya sebagai usahawan dan berada di perantauan mengundang risiko yang amat tinggi. Namun, risikonya melangkaui matlamat keusahawanan itu sendiri, iaitu mengenal pasti, menilai dan mengeksploitasi peluang bagi mencipta produk dan perkhidmatan masa hadapan.

Bermula dengan perniagaan beras basmati yang dimport dari Pakistan, beliau kini boleh berbangga kerana berjaya memiliki jenama berasnya sendiri. Jenama berasnya, Khyber, kini boleh didapati hampir di semua pasar raya yang menjual makanan halal di bandar-bandar tertentu di England.

Masoni merupakan anak Malaysia yang berjaya melalui liku perniagaan di luar negara. Beliau mengenal pasti peluang dan membina jaringan rasmi dan tidak rasmi dalam memasarkan produk buatan Malaysia di bumi England. Istimewanya, beliau bukan sahaja mengimport produk buatan Malaysia malah memenuhi tuntutan fardu kifayah, iaitu membekalkan dan melebarkan pasaran produk halal Malaysia di England. Hasilnya, ramai pelajar dan rakyat Malaysia yang bermastautin di England mampu membeli pelbagai produk halal buatan Malaysia seperti jem, kaya, bihun, mi segera, ubat gigi dan lain-lain di pasar raya berdekatan dengan harga yang berpatutan.

Usaha mewujudkan jaringan formal dan bukan formal hampir di semua pasar raya kecil yang membekalkan makanan halal di bandar dan pekan seperti di Sheffield, Cardiff, Glasgow, Newcastle, Leeds dan London amat sukar dibayangkan. Walau bagaimanapun tugas ini berjaya dilakukan oleh usahawan muda syarikatnya, MP Rice World Ltd yang berpusat di Sheffield, England.

Banyak kajian pustaka membentuk pola pandangan bahawa bidang keusahawanan tersemai dalam jaringan kompleks perhubungan sosial. Dalam jaringan ini, keusahawanan dibantu oleh perhubungan usahawan yang berdedikasi dengan sumber, serta peluang yang wujud di kawasan tersebut.

Melalui pengamatan Masoni terhadap pola perubahan dan peningkatan sosiodemografik penduduk Islam di England, secara pantas, beliau dapat “merasakan” atau mengesan perubahan yang dinamakan sebagai persekitaran institusi atau institutional environment. Perubahan persekitaran institusi seperti pertambahan penduduk Islam di United Kingdom khususnya, dan Eropah amnya, merangsang banyak peluang dalam industri makanan halal. Senario ini telah membuka banyak peluang baharu untuk diterokai.

Beliau memanfaatkan gelombang perubahan ini dengan membina pasaran awal melalui kaedah jalinan perniagaan atau entrepreneurship engagement dengan Persatuan Mahasiswa Masyarakat Malaysia Sheffield (PMPMS) sebagai tapak perniagaannya. Melalui wasilah sedemikian, beliau membekalkan produk halal termasuk barangan buatan Malaysia melalui jaringan tidak rasmi bersama rakan-rakan dalam persatuan.

Jalinan perniagaan secara tidak rasmi ini bukan sahaja membuka banyak peluang keusahawanan lain kepada masyarakat Malaysia di sini malah berjaya membantu PMPMS menjalankan aktiviti sosialnya. Kini, jaringan keusahawanannya melangkaui pasar raya di England, Wales dan Ireland. Beliau juga berjaya membangunkan jaringan peribadinya dengan membekalkan produk seperti beras kepada beberapa rangkaian restoran makanan halal di serata Sheffield, Manchester dan London. Rangkaian ini termasuklah restoran yang diuruskan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Sokongan Institusi Kerajaan

Seorang pengkaji keusahawanan antarabangsa, Scott Shane dalam bukunya yang bertajuk A General Theory of Entrepreneurship: The Individual Opportunity Nexus, menekankan peri pentingnya sokongan dasar dan kewangan daripada kerajaan. Sokongan ini mampu memudahkan proses keusahawanan. Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa atau MATRADE sendiri ada menyediakan Skim Geran Pembangunan Pasaran (MDG) yang bertujuan membantu dalam aktiviti promosi dan pembangunan pasaran eksport. Bantuan ini sangat penting dan berguna kepada pengusaha kecil dan sederhana. Masoni percaya bahawa skim galakan sebegini sangat diperlukan memandangkan sukarnya menembusi tembok pasaran antarabangsa. Dalam hal ini, peranan aktif MATRADE ini sangat diperlukan.

“Bukan mudah untuk menukar persepsi masyarakat di sini terutamanya dari segi produk makanan yang mereka sudah biasa makan. Kari contohnya telah mendapat tempat di hati mereka memandangkan terdapat pengaruh yang kuat yang dibawa oleh masyarakat India, Pakistan dan Bangladesh di sini sejak berpuluh tahun lalu. Siapa tahu, sepuluh tahun atau 20 tahun akan datang, majoriti masyarakat ‘Orang Putih’ lebih suka makan nasi bersama kicap kacang soya buatan Malaysia berbanding sandwic dan kentang goreng,” kata Masoni berjenaka.

Selain daripada itu, beliau juga memanfaatkan program yang dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan mengumpulkan usahawan bumiputera seluruh dunia pada Februari 2009 di Kuala Lumpur. Program seperti ini turut membantu mengukuhkan jaringan perniagaan import MP Riceworld (UK) Limited di seluruh Eropah. Agensi kewangan seperti EXIM Bank juga memainkan peranan penting dalam menyokong syarikat pengeksport Malaysia melalui skim Export Credit Refinancing (ECR). Bantuan pelbagai institusi ini menyokong usaha murni kerajaan bagi mengantarabangsakan keusahawanan Melayu.

Umumnya, para pengkaji keusahawanan memperoleh bukti positif tentang jaringan hubungan dalam bentuk apa-apa sekali pun dapat memberi impak terhadap kejayaan dan mengukuhkan penerokaan perniagaan. Satu kajian telah mengesahkan bahawa jaringan peribadi usahawan adalah sumber terpenting sebagai faktor kejayaan sesuatu firma. Kekuatan perhubungan dalam jaringan sosial dapat membantu proses kelahiran teroka niaga.

Rancangan Masa Hadapan

Pada masa hadapan, syarikat beliau bercadang untuk memainkan peranan sebagai hub halal produk Malaysia di United Kingdom dan Eropah. Hal ini juga selaras dengan impian negara yang ingin menjadi sebuah hub produk halal yang terkemuka di dunia. Selain daripada itu, syarikat beliau juga berharap dapat memberi peluang pekerjaan yang lebih luas, terutamanya kepada anak Malaysia di United Kingdom serta meneroka cabang perniagaan baru di setiap kawasan di seluruh United Kingdom dan Eropah. Oleh itu, harapan beliau agar rakyat Malaysia yang berada di United Kingdom dapat bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan impian ini.

Kejayaan usahawan muda berkelulusan bidang kejuruteraan ini, dengan hanya berbekalkan sebuah van dan modal berbayar £65 000, mencerminkan kejayaan awal yang harus dipuji. Sekali gus, hal ini membuktikan usahawan Melayu mampu berjaya merentasi sempadan Malaysia.

___

Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Beliau adalah calon Doktor Falsafah Keusahawanan di Management School, University of Sheffield, United Kingdom.

Share

4 Maklum Balas

  1. Rita Komen:

    Tahniah Malaysia!

    Dihantar pada 30 Disember, 2010, 3:45 pm

  2. Mariah Komen:

    Bagus!

    Dihantar pada 12 Januari, 2011, 5:46 pm

  3. zaleha Komen:

    Masoni baru-baru ini diberi liputan dalam Utusan Malaysia. Rupa-rupanya, Dewan Masyarakat lebih awal membicarakan tentang usahawan muda ni, syabas!

    Dihantar pada 15 Mei, 2011, 10:10 pm

  4. azmi Komen:

    tahniah! takde website ke?

    Dihantar pada 15 Mei, 2011, 11:04 pm

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.