Oleh HASSAN AHMAD

Ada orang yang mengatakan bahawa matlamat gagasan Satu Malaysia ialah membina “negara satu bangsa Malaysia”. Setahu saya, matlamat itu tidak pernah disebut secara rasmi oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, yang mencetuskan gagasan Satu Malaysia.

Sering kali juga kita mendengar orang menggunakan istilah lain, iaitu “negara-bangsa Malaysia” untuk merujuk konsep yang sama, iaitu negara “satu bangsa Malaysia”.

Konsep negara-bangsa (nation-state) wujud daripada sejarah politik nasionalisme Barat sejak akhir abad ke-18. Konsep ini merujuk kesatuan sosiopolitik-legalistik yang penduduknya terdiri daripada satu bangsa sahaja. Yang dimaksudkan dengan “bangsa” ialah bangsa kulit putih Eropah atau bangsa Caucasus.

Konsep ini tidak sama maksudnya dengan ras atau suku kaum dari segi takrif sosiobudaya atau takrif antropologi. Sesuatu “bangsa” itu belum dapat dianggap sebagai nation jikalau bangsa itu belum mempunyai “negeri” atau negara.

Hal ini bererti bahawa bangsa bukan Eropah di Asia dan di Afrika, misalnya, yang masih dijajah oleh kuasa Barat, tidak boleh dianggap sebagai nation (atau “bangsa” dari segi makna politiknya) kerana mereka kononnya belum mempunyai “negara”.

Konsep politik bangsa Eropah cuba diterapkan secara ekstrem oleh Nazi Hitler apabila dia memimpikan suatu negara Jerman yang terdiri daripada satu bangsa Jerman kulit putih yang tulen, asli, dan super race. Bagi mencapai matlamat itu, dia melancarkan gerakan menghapuskan semua penduduk bukan keturunan Jerman yang tulen. Sasarannya ialah kaum Yahudi di Jerman, dan juga kaum Gipsi yang dianggap sebagai kaum merempat yang tidak bernegeri, sama keadaannya dengan kaum Yahudi.

Tindakan Hitler itu mencetuskan peperangan di Eropah bukan kerana bangsa Eropah yang lain (terutama bangsa Inggeris dan Perancis), menentang semangat nasionalisme Hitler itu, tetapi oleh sebab Hitler cuba menjadikan seluruh Eropah sebagai kawasan takluk Jerman dengan melancarkan peperangan terhadap Britain dan Perancis.

Itulah yang dimaksudkan dengan konsep negara-bangsa. Ini konsep rasis bangsa Eropah. Hari ini tidak ada negara di Eropah yang penduduknya terdiri daripada satu bangsa sahaja, iaitu bangsa kulit putih atau bangsa Caucasus Eropah.

___

Datuk Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan. Beliau juga bekas wakil tetap Malaysia ke UNESCO dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kolum ini diambil daripada Dewan Masyarakat Disember 2010. Kandungan kolum telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.