Oleh KARIM RASLAN

Gagasan bahawa hak individu itu seharusnya diterima seadanya merupakan isu yang sangat kontroversi di Malaysia. Kita cenderung untuk mengutamakan keharmonian antara kaum daripada memperkatakan isu yang dianggap sensitif, termasuklah hak individu.

Walau bagaimanapun, perbualan penulis dengan Putu Sutawijaya, seorang seniman dari Bali membuatkan penulis sedar bahawa kita juga harus memberikan tumpuan kepada isu hak individu ini.

Pada September lalu, penulis melancarkan koleksi buku terbaru penulis, Ceritalah Indonesia. Buku ini merupakan koleksi tulisan penulis dalam pelbagai media cetak di rantau ini. Penulis berharap
dapat memasarkan buku ini di Malaysia tidak lama lagi.

Oleh sebab penulis mengenali Putu agak lama, penulis mengambil keputusan untuk melancarkan buku terbaru penulis tersebut serentak dengan pameran seninya di Bentara Budaya Jakarta. Setelah acara hampir selesai, penulis mengambil kesempatan untuk mengenali Putu dengan lebih rapat.

Beliau bercerita tentang satu peristiwa yang sangat penting dalam hidupnya, iaitu ketika datuknya, Ketut Mutri, meninggal dunia pada 2005. Datuknya itu merupakan seorang yang sangat dihormati oleh penduduk kampungnya di Bali yang majorinya berketurunan Banjar.

Pada mulanya, sebelum meninggal dunia, datuknya mengalami patah kaki setelah tergelincir jatuh di rumahnya. Sejak itu, Ketut tidak lagi mampu bergerak aktif dan terlantar di katil. Tidak dapat menerima keadaannya yang sakit, Ketut begitu berputus asa dan akhirnya meninggal dunia. Ketika Ketut sedang berada dalam keadaan yang tenat, Putu berada di luar negara. Beliau sempat bergegas pulang ke Bali dan berada di sisi Ketut sebelum datuknya yang tercinta itu menghembuskan nafas terakhir.

Namun, Putu tidak menyangka bahawa upacara pembakaran mayat datuknya itu (dilakukan 15 hari selepas kematian) memberikan kesan yang sangat besar kepada kehidupannya.

Di kampungnya di Bali, keluarga Putu sangat dihormati dan merupakan keluarga yang elit – rumah besar dan dilengkapi perabot mahal. Putu berkata, “Saya masih ingat ketika zaman kanak-kanak, tatkala saya berjalan melewati gerai-gerai di tepi jalan di sekitar kampung saya, sering kali para peniaga gerai tersebut membenarkan saya mengambil apa-apa sahaja produk jualan mereka tanpa saya perlu membayarnya. Kata mereka, saya boleh ambil apa-apa sahaja kerana keluarga saya mampu membayarnya. Keluarga saya sangat dihormati masyarakat Banjar di kampung saya.

Walau bagaimanapun, masyarakat Banjar sangat patuh pada amalan tradisi mereka dan jika ada individu mencabar amalan tradisi ini, nescaya individu tersebut akan “dipulaukan” oleh masyarakat. Selepas 15 hari kematian datuknya, Putu akhirnya merasai sendiri keperitan “dipulaukan” masyarakat sekelilingnya.

___

Karim Raslan, penulis bebas yang kini menetap di Jakarta, Indonesia. Dua buah buku popular beliau berjudul Malaysian in Transition: Ceritalah 1 dan Journey Through Southeast Asia: Ceritalah 2.

Kolum ini diambil daripada Dewan Masyarakat Disember 2010. Kandungan kolum telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.