Oleh DANIA DZULKIFLI

Beberapa pilihan raya yang berlangsung di seluruh dunia memperlihatkan parti pemerintah dalam keadaan yang sukar. Di Britain, Parti Buruh tumbang, manakala di Australia, Parti Buruh hanya
dapat bertahan kerana adanya sokongan daripada parti kecil.

Terbaharu, Pilihan Raya Separuh Penggal di Amerika Syarikat menyaksikan seorang demi seorang calon Parti Demokratik tewas; baik di peringkat Dewan Perwakilan, Senat, mahupun gabenor.  Untuk Dewan Perwakilan, Republikan meraih kemenangan hampir setiap penjuru negara, memenangi 239 kerusi berbanding dengan 188 Demokrat, manakala lapan lagi belum diketahui  keputusannya (ketika makalah ini ditulis).

Namun, Demokrat masih menguasai Senat, dengan memenangi 53 kerusi berbanding dengan 46 Republikan, manakala satu lagi – iaitu Alaska belum diketahui yang berkemungkinan memihak kepada calon write-in, Senator Lisa Murkowski yang tewas dalam pemilihan awal Republikan.

Bagi sesetengah cerdik politik, pilihan raya kali ini merupakan sesuatu yang cukup bersejarah – salah satu yang produktif sejak New Deal. Selepas empat tahun mengambil alih Kongres dengan Speaker wanita pertama di Dewan Perwakilan, akhirnya Demokrat hilang penguasaan terhadap Dewan berkenaan dalam pilihan raya yang membawa kemusnahan.

Newt Gingrich yang menjadi penggempur kemenangan besar Republikan pada 1994, menyifatkan keputusan pilihan raya pada hari Selasa itu, “penolakan paling besar terhadap Rumah Putih sejak 1932” apabila Parti Republikan di bawah Herbert Hoover, kehilangan 100 kerusi.

Pilihan Raya Separuh Penggal Amerika Syarikat yang berlangsung pada 2 November lalu melibatkan perbelanjaan yang cukup besar, iaitu mencecah AS$4 bilion (RM14 bilion), jauh lebih tinggi daripada perbelanjaan Pilihan Raya Separuh Penggal Amerika Syarikat 2006 yang menelan belanja AS$2.85 bilion (RM9.9 bilion). Perbelanjaan ini dijangkakan boleh mengaburi perbelanjaan AS$4.14 bilion (RM14.49 bilion) dalam kempen Presiden pada 2004.

Selain itu, derma untuk sesetengah calon yang bertanding, terutamanya Republikan, datang mencurah-curah, antaranya daripada Karl Rove dan Ed Gillespie yang menyumbang hampir AS$100 juta (RM350 juta), tetapi berbaloi. Namun begitu, wang bukan segala-gala. Calon Republikan untuk jawatan Gabenor California, iaitu Meg Whitman berbelanja wangnya sendiri sebanyak AS$140 juta (RM 490 juta) untuk berkempen, tetapi tewas.

Setelah melalui malam yang panjang, Presiden Barack Obama muncul dalam sidang akhbar di Rumah Putih. Dalam keadaan muram, beliau memberitahu bahawa beliau mengambil “tanggungjawab  langsung” lantaran rasa kecewa para pengundi, terutamanya tentang ekonomi.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Disember 2010. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.