Oleh ABD. RAZAK ABU BAKAR

Seawal Julai 2009, ahli ekonomi Britain memohon ampun dan maaf kepada Queen Elizabeth II kerana kegagalan mereka meramalkan krisis kewangan. Menurut Observer, surat  ditulis kepada baginda Queen selepas baginda ingin tahu mengapa tidak seorang pun yang meramalkam krisis tersebut. Antara kandungan surat tersebut, “… kesimpulannya, tuanku, kegagalan meramalkan masa, kesan dan keterukan krisis itu dan mengekangnya adalah kegagalan pemikiran sekumpulan ilmuwan di negara ini dan juga di luar negara ini, dalam memahami risiko sistem itu secara keseluruhannya.”

Risiko kewangan, menurut disiplin kewangan yang kontemporari, diukur secara kuantitatif dengan menggunakan kaedah statistik; varians atau sisihan piawai. Semenjak pertengahan abad ke-20, disiplin ekonomi banyak dipengaruhi oleh ilmuwan yang mempunyai latar belakang yang baik dalam matematik dan statistik, justeru tradisi ini berterusan sehingga kini. Pendekatan kuantitatif mendominasi dalam jurnal ekonomi, seolah-olah syarat wajib ke arah peningkatan bidang ini, yang sebenarnya ialah gabungan sains matematik dengan sains sosial.

Pendekatan kuantitatif jarang-jarang dicabar atau dipersoalkan secara akademik memandangkan kaedah inilah yang paling sesuai  dan paling popular dalam pembentukan  model  ekonomi dan seterusnya menerangkan sesuatu fenomena ekonomi di dalam bilik kuliah. Walau bagaimanapun, ada ilmuwan yang pernah mempersoalkan teori ekonomi. Robert H. Thaler misalnya, berkata bahawa salah satu daripada kelemahan dalam teori ekonomi ialah kebergantungannya yang amat sangat terhadap model matematik yang rasional yang tidak mengambil kira elemen sosial dan psikologi. Elemen sosial dan psikologi  ialah sebahagian daripada kesan budaya yang mempengaruhi proses membuat keputusan, dalam hal ini keputusan perniagaan.

Selepas keruntuhan Bursa Saham 1987, sesetengah pihak mempersoalkan kewujudan sebenar pelabur rasional kerana pelabur rasional tidak akan menyebabkan pasaran saham runtuh. Manusia rasional berusaha memaksimumkan kepentingannya dengan cara yang rasional. Apabila manusia rasional bertindak sesama mereka dengan masing-masing memaksimumkan kepentingan masing-masing, maka wujudlah yang dikatakan pasaran berkesan. Tindak tanduk pelabur yang rasional akan sentiasa menepati teori random walk bahawa taburan statistiknya adalah normal, berbentuk loceng yang menggambarkan ciri nombor rawak, ciri utama dalam lambungan buah dadu. Taburan kebarangkalian pasaran saham bukanlah taburan normal.

Disiplin tingkah laku kewangan (behavioural finance), yang mengambil kira tingkah laku manusia mungkin dapat menerangkan fenomena Keruntuhan 1987 itu, tetapi bidang ini masih baru. Tingkah laku kewangan menolak pandangan bahawa  pasaran adalah rasional semata-mata, dan kerana  inilah bidang kewangan yang baharu itu mengambil kira faktor psikologi yang mendorong pelabur.

Model yang kontemporari  hanyalah gambaran ringkas bagi fenomena alam nyata dan bukanlah sesuatu yang sempurna kerana elemen subjektiviti yang mendasari risiko itu sukar diukur secara kuantitatif. Model ekonometrik yang menerangkan hubungan antara variabel ekonomi, dikatakan terbaik, linear, tidak berat sebelah, dan efisien apabila nilai peregrasi (regressor) dapat meminimumkan hasil tambah kuasa dua ralat (error sum of squares) dengan andaian bahawa taburannya normal.  Varians, kovarians, kovarians matriks, yang cuba menerangkan fenomena stokastik atau rawak itu tidaklah memadai.

Di samping itu, ilmuwan ekonomi terlalu asyik dengan andaian bahawa pelabur sentiasa rasional, pasaran saham sentiasa cekap dan kompetitif, dan pelabur memaksimumkan nilai syarikat. Andaian sedemikian tidak semestinya benar kerana  spekulator yang berjaya seperti George Soros telah membuktikannya. Menurut George Soros, pasaran boleh pasif dan boleh juga aktif atau manipulatif. Dalam pasaran manipulatif seperti yang berlaku sekarang, nilai syarikat adalah tidak munasabah kerana pelabur lebih terpengaruh kepada sentimen pasaran, sama ada ke arah peningkatan atau kejatuhan. Ketika ekonomi pesat, pasaran melonjak dan syarikat terlebih nilai; sebaliknya ekonomi merosot mengakibatkan pasaran merudum dan syarikat terkurang nilai.  Pasaran manipulatif terbukti mengakibatkan keruntuhan pasaran saham Malaysia dan Singapura ekoran krisis Pan-Electric suatu ketika dahulu. Di Amerika Syarikat, tragedi tumpahan minyak daripada telaga minyak BP dijangka merugikan syarikat gergasi minyak ini, justeru harga sahamnya menjunam. Walau bagaimanapun, syarikat BP tidak akan dibiarkan bankrap kerana inilah antara aset utama kerajaan Britain.

Berdasarkan inilah maka wujud saranan agar ditulis semula teks ekonomi dengan mengambil kira model ekonomi yang lebih realistik. Penulisan semula teks ekonomi dengan pendekatan yang baharu  tentulah mengambil masa yang lama memandangkan  ekonomi ialah budaya hidup manusia.

Di samping mengambil kira faktor psikologi, ilmu sains politik perlu diterapkan kerana sikap manusia yang menurut Aristotle, sebagai haiwan sosial dan haiwan politik. Sejarah ekonomi juga memainkan peranan penting kerana peristiwa lepas boleh berulang. Justeru, model ekonomi perlu metodologi baru dan pemikiran pelbagai aliran. Krisis kewangan Eropah yang membawa kepada keruntuhan dolar Euro adalah contoh “risiko sistem itu secara keseluruhannya” yang terlepas perhatian pakar ekonomi. Apabila mata wang Eropah disatukan tetapi sistem pemerintahan di benua itu mengikut sistem politik masing-masing, maka terjadilah sesuatu yang dikatakan sebagai sebuah negara yang satu mata wang tetapi pelbagai dasar fiskal dan monetari yang tidak seragam. Hal ini mewajarkan penerapan sains politik dalam model ekonomi.

___

RENCANA BERKAITAN Roh DEB dalam MEB?

Share

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.