Oleh ZAIREENI AZMI
Sumbangan kaum wanita kepada Malaysia sejak dahulu hingga kini tidak dapat dinafikan. Jasa mereka bukan sahaja pada peringkat tempatan, malah melangkaui hingga peringkat antarabangsa.
Lihat sahaja kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan oleh Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, pengasas Malaysian Medical Relief Society (MERCY). Badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 1999 berikutan perang di Kosovo itu merupakan salah sebuah pertubuhan bantuan perubatan sukarela yang disegani di peringkat antarabangsa. Malah, sumbangan Marina Ahmad yang berjaya ke puncak Everest pada 2007, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir sebagai wanita Asia pertama yang berjaya merentasi Kutub Utara dan Kutub Selatan, dan Nurdziah Muhammad Nur, wanita Asia pertama melakukan terjunan di Kutub Utara, bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah menonjolkan kewibawaan wanita Malaysia di pentas dunia.
Hari ini, pencapaian kaum wanita Malaysia dalam pelbagai bidang amat memberangsangkan. Banyak bidang yang dahulunya dimonopoli oleh kaum lelaki, sekarang sudah diceburi oleh kaum wanita. Profesional wanita wujud dalam setiap lapisan kerja kehakiman, kejuruteraan, politik, ketenteraan dan sebagainya.
Rakyat Malaysia sekarang mula dapat menerima kedudukan wanita setaraf dengan kaum lelaki. Mereka bukan sahaja menjadi pekerja bawahan, malah turut dilantik sebagai ketua.
___
Penulis Pensyarah Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita dan Keluarga (KANITA), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Disember 2010. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.