Oleh RADZI TAJUDDIN

Rakyat Malaysia biasanya memang sinis dan tidak gemar mempercayai berita-berita yang positif mengenai negara mereka. Apabila pertumbuhan ekonomi tahun ini meningkat 10.1 peratus, mereka berpendapat keadaan ini bersifat sementara sahaja. Tetapi hal yang menghairankan ialah mereka begitu mudah mempercayai berita Singapura yang telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15.5 peratus.

Hal yang sama berlaku apabila nilai ringgit lebih kukuh berbanding dengan mata wang Pound Sterling, Dolar Amerika Syarikat dan Euro – mereka dengan begitu mudah membuat tanggapan bahawa hal ini hanyalah trend dan kebetulan.

Baru-baru ini, International Institute for Management Development (IMD), sebuah sekolah perniagaan terkemuka di Switzerland telah meletakkan kedudukan Malaysia sebagai negara ke-10 paling kompetitif di dunia. Seperti yang dijangka, timbul pelbagai alasan untuk melekehkan pencapaian ini. Antaranya ialah mereka mengatakan bahawa IMD adalah sebuah institusi perniagaan yang bukan bertaraf antarabangsa, kerajaan membayar untuk mencapai kedudukan baik, APCO (Association of Public-Safety Communications Officials-International) digunakan untuk melobi dan pelbagai alasan lain untuk menafikan kedudukan indeks ini.

Sebenarnya IMD merupakan sebuah sekolah perniagaan yang setaraf dengan sekolah perniagaan di Harvard, Amerika Syarikat, atau di Oxford, United Kingdom dan di Institut Européen d’Adminstration des Affaires (INSEAD), Perancis. Pada tahun 2007, IMD telah menurunkan kedudukan indeks Malaysia daripada 19 kepada 27. Akibatnya ketika itu kita dapat melihat reaksi orang ramai yang begitu cepat menyalahkan kerajaan. Anehnya tidak pula timbul isu IMD telah dibeli atau dilobi. Tetapi sebaik sahaja laporan ini menunjukkan kejatuhan Malaysia dalam kedudukan indeks kompetitif itu, timbul pula suara-suara yang meminta suruhanjaya diraja ditubuhkan ataupun menteri disuruh letak jawatan. Sikap hipokrasi dan generalisasi selektif sebegini menjadi masalah sebenar segelintir rakyat Malaysia. Mereka lebih gemar mempercayai laporan yang negatif tentang negara mereka.

Suara rungutan orang ramai juga timbul apabila Malaysia mencatat rekod sebagai “terpanjang”, “terbesar”, “tertinggi” dan pelbagai lagi. Bagi mereka, hal ini hanyalah merupakan rekod yang “plastik” dan tidak membawa apa-apa makna. Keadaan sebaliknya berlaku apabila Malaysia berjaya mencapai rekod yang tulen dan membanggakan, hal ini diperlekeh pula.

Apakah sebenarnya yang cuba ditimbulkan di sini?

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, amalan untuk mengkritik dan memberi cadangan perlu ada apabila sesuatu yang tidak kena berlaku di dalam negara. Apabila negara sedang melakukan sesuatu yang tepat dan di landasan yang betul, rakyat perlu juga bersedia untuk menerima hakikat, bukannya berasa tidak gembira atau mencari alasan untuk menidakkannya atau mencemuhnya.

Kalau golongan ini boleh menerima laporan Political Economy Risk Consultancy (PERC), Corruption Perception Index (CPI), Ginicoefficient, dan World Economic Forum (WEF) yang menunjukkan kelemahan Malaysia, mengapakah pula tiba-tiba laporan IMD yang membanggakan rakyat kelihatan mustahil? Adakah selamanya hanya memilih untuk percaya apa-apa yang mahu didengar sahaja?

Kerja mengkritik memanglah mudah dan setiap orang suka menjadi pengkritik. Tidak menjadi satu kesalahan jika ingin mengkritik, tetapi biarlah kritikan itu ikhlas kerana kepentingan negara, bukan kerana kepentingan politik.

Gajah Di Depan Mata Dapat Dilihat.

Kebanyakan media tempatan masih lagi tidak mampu mengkaji sesuatu data atau indeks kedudukan secara kritikal dan meluas. Mereka biasanya hanya memetik “kata demi kata” teknokrat dan menteri. Apabila laporan ini dikeluarkan, rata-rata media hanya menceritakan hal ini sebagai “keyakinan kepada polisi Najib”, “pengiktirafan yang meyakinkan daripada pelabur” dan “insiatif berani oleh kerajaan.”

Sebenarnya, semua perkara ini tidak salah.

Media perlu menganalisis lebih daripada itu, bukan setakat menyiarkan petikan kata-kata pengucapnya sahaja. Sebagai contoh, media perlu memaklumkan apakah kepentingan indeks ini, bagaimana hal ini boleh memberi manfaat kepada rakyat dan membuat analisis tentang hasil laporan. Hasilnya, media arus perdana harus kelihatan setaraf dengan media alternatif.

Zaman sudah berubah. Media arus perdana seharusnya segera mengejar media alternatif yang bukan sahaja melaporkan tetapi turut membuat kajian dan membentangkan hasil kajian mereka sendiri dalam bentuk berita. Selagi perkara ini tidak dapat diubah, maka ramailah pembaca yang sukar mempercayai apa-apa yang dilaporkan oleh media arus perdana.

Penelitian Kedua Laporan Indeks Kompetetif IMD

Ada beberapa perkara yang diabaikan oleh pihak media perdana dalam menulis berita. Contoh yang terbaik ialah apabila menulis tentang laporan indeks kompetitif IMD.

Malaysia merupakan salah sebuah negara perdagangan terbesar di dunia. Pelabur-pelabur dari negara luar akan melihat sama ada Malaysia sebuah negara yang sesuai atau tidak untuk pelaburan, perdagangan, pekerjaan, dan pelajaran. Dalam bahasa mudah – adakah mereka boleh mempercayai Malaysia dengan melaburkan duit mereka di sini. Oleh sebab itu, Malaysia perlu meletakkan imej negara sebagai negara rakan dagang yang baik di mata dunia untuk bersaing dengan negara-negara lain.

Bagi melihat kedudukan sesebuah negara, sama ada lebih baik atau kurang baik, satu kajian perlu dibuat dan pemeringkatan perlu dikeluarkan. Berdasarkan laporan pemeringkatan ini, pelabur-pelabur negara luar boleh membuat penilaian masing-masing.

Sememangnya begitu banyak pemeringkatan yang dikeluarkan oleh pelbagai kumpulan pemikir. IMD hanyalah salah satu daripadanya. Laporan baru-baru ini, IMD telah meletakkan Malaysia di tempat ke-10 daripada 58 buah negara. Apakah yang dapat kita banggakan daripada kedudukan ke-10 ini?

Jika diteliti kedudukan 10 ke atas, kita akan dapati kedudukan ini dimonopoli oleh negara-negara seperti Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. Perlu diingatkan bahawa negara ini ialah negara imigran (nations of immigrants). Keadaan di seluruh dunia telah membuktikan bahawa negara imigran memang memiliki kelebihan dari segi keintelektualan, kepelbagaian budaya, dan mentaliti untuk bekerja keras tanpa terlalu banyak terlibat dengan kuasa politik. Hal inilah antara punca utama negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura bergerak maju dengan cepat.

Negara seperti Taiwan, Sweden, Switzerland dan Norway pula ialah negara yang kecil saiznya. Negara-negara ini juga tidak pernah (atau dalam tempoh yang pendek) dijajah oleh kuasa asing. Sejarah telah membuktikan bahawa penjajahan yang terlalu lama sehingga beratus tahun telah berjaya menghancurkan kepercayaan kendiri rakyat di negara yang telah dijajah.

Oleh sebab itu, Jepun dan Jerman mampu bangkit dengan cepat selepas kalah perang kerana bangsa mereka mempunyai keyakinan diri yang sangat tinggi. Malah negara ini tidak menghadapi masalah dengan imigran kerana mereka ialah negara homogen, iaitu negara satu bangsa yang mendominasi hal ehwal politik dan ekonomi.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai rakyat yang terdiri daripada bumiputera serta mempunyai sejarah penjajahan yang cukup lama, tetapi masih mampu bersaing jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti United Kingdom, Jepun, Jerman, New Zealand dan Korea Selatan. Namun begitu, Malaysia tidaklah seperti negara Jerman, United Kingdom, Perancis dan Jepun. Malaysia ialah negara berbilang bangsa walaupun bukan negara imigran. Faktor ini menjadikannya sebagai negara yang mempunyai kelebihan dalam mendapatkan pelaburan dari China dan India, tambahan pula rakyatnya mempunyai budaya yang berkait rapat.

Negara Islam yang paling hampir kedudukan dengan Malaysia ialah Qatar (ke-15) sementara yang lain-lain jauh ketinggalan atau tidak termasuk di dalam senarai. Apakah maksudnya sedemikian? Malaysia ialah negara Islam moden yang paling berjaya dalam kalangan negara Islam yang lain. Maka Malaysia mempunyai kelebihan untuk menarik masuk “dolar petrol” pedagang Arab ke negaranya.

Berdasarkan senarai susunan negara 25 yang teratas, hanya China mempunyai pendapatan per kapita wang yang lebih rendah daripada Malaysia. Negara-negara lain mempunyai pendapatan per kapita yang lebih tinggi, menunjukkan negara-negara ini lebih kaya. Namun Malaysia masih mampu bersaing dengan mereka. Jika difikirkan dengan lebih teliti, kedudukan Malaysia boleh menduduki tempat yang lebih ke atas sekiranya negara ini lebih kaya.

Apa-apapun, kedudukan ini masih boleh berubah pada tahun-tahun yang akan datang. Sebenarnya masih banyak yang perlu dilakukan dan rakyat negara ini belum boleh lagi berasa selesa. Cabaran yang perlu dihadapi pada masa hadapan ialah adakah Malaysia mampu untuk terus kekal pada tahap ini atau menjadi lebih baik pada masa hadapan. Itulah yang sebenarnya yang perlu difikirkan bersama-sama.

___

Penulis peserta separuh akhir “Democracy Video Challenge” peringkat Asia Tenggara. Penulis mempunyai blog.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.