Oleh FADLI AL-AKITI

Festival Filem Malaysia (FFM) tidak pernah aman dengan kontroversi. Isu-isu yang dibangkitkan selalunya panas dan diperhatikan oleh peminat filem tempatan.

Dari 1980 hingga 2010, gosip, percakaran, dan perasaan tidak puas hati sering diadu oleh penggiat seni tanah air. Berikut antara peristiwa panas yang berlaku sejak FFM diperkenalkan:

FFM Keenam (1986)

Tahun ini, filem Malaysia sedang menuju ke arah kehambaran atas penjualan tiket yang rendah di pawagam. Filem Malaysia kurang di pasaran, apatah lagi untuk dipertandingkan. Apa-apa pun filem Tsu Feh Sofiah arahan Dato’ Rahim Razali diangkat sebagai Filem Terbaik FFM tahun itu.

Pada masa yang sama, para akademik dan penggiat filem mula berdebat bahawa “filem yang baik” perlu dinilai mengikut sambutan penonton. Pada tahun berikutnya, filem seram yang mempunyai nilai komersial arahan Othman Hafsham, Rahsia memenangi Filem Terbaik. Walau bagaimanapun, perdebatan antara filem yang bermutu dengan tanda aras sambutan penonton tempatan terus berlaku sehingga sekarang.

FFM Kelapan (1989)

Tahun yang penuh kejutan kerana untuk pertama kali dalam sejarah FFM, tiada pemenang bagi kategori Filem Terbaik. Selain itu, kemenangan A.R. Badul sebagai Pengarah Terbaik untuk filem Oh Fatimah! menyebabkan ramai pembikin filem tidak berpuas hati. Filem komedi Oh Fatimah! berjaya menewaskan dua filem drama yang dijangka memberi persaingan sengit, iaitu Anak Sarawak dan Yassin. Yang menariknya, tahun tersebut dan sebelumnya merupakan tahun prolifik bagi Badul yang banyak menghasilkan filem komedi. Namun, para pemerhati filem mengatakan tahun berikut merupakan era kemunduran filem Malaysia.

FFM Kesembilan (1991)

Selepas kontroversi Oh Fatimah!, Malaysia ‘sepi’ dengan anugerah FFM. Sehinggalah pada 1991, apabila filem Hati Bukan Kristal merangkul enam anugerah Panca Delima termasuk Filem Terbaik mengalahkan Mat Som dan Fenomena yang juga filem pertama Aziz M. Osman. Majlis tersebut dikritik oleh penonton ekoran tempoh acara penganugerahan yang panjang dan melewah hingga ke pagi.

FFM ke-10 (1992)

Buat julung kalinya dalam sejarah, Filem Terbaik dimenangi oleh dua buah filem, iaitu Bintang Malam dan Selubung. Keputusan berikut membawa polemik yang panjang dalam kalangan peminat filem tempatan yang mempersoalkan filem mana yang lebih layak dinobatkan sebagai yang terbaik.

Pada tahun itu juga, Fauziah Ahmad Daud yang dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam filem Bintang Malam tidak berpuas hati dengan kemenangan yang diraih oleh Deanna Yusoff dalam filem Selubung. Sebabnya cukup remeh, Deanna masih “baru” dalam industri lakonan. Beberapa tahun berikutnya, FFM mewujudkan anugerah Pelakon Harapan Terbaik.

FFM ke-11 (1994)

Anugerah Pelakon Wanita Terbaik merupakan anugerah yang paling dicemburui oleh para pelakon wanita sejak beberapa tahun belakangan ini. Ini kerana sekali lagi pada tahun itu, ramai pemerhati yang mempertikaikan kemenangan Erma Fatima dalam Femina menandingi Sofia Jane dalam Perempuan, Isteri dan …? Filem lakonan Sofia Jane arahan U-Wei Haji Shaari itu telah memenangi Filem Terbaik pada tahun tersebut.

FFM ke-18 (2005)

Tahun di mana filem “kecil” Sepet berjaya mengalahkan filem “agung” Puteri Gunung Ledang. Pada masa inilah, Allahyarham Yasmin Ahmad mula duduk di atas kerusi panas, lantas filem-filem bikinannya terus menjadi pendebatan dalam kalangan pembikin filem.

Pada tahun berikut, ramai peminat filem yang tidak berpuas hati dengan kemenangan mengejut Zamarul Hisham sebagai Pelakon Lelaki Terbaik yang dilakonkan di dalam filem Di Ambang Misteri, serta Erra Fazira sebagai Pelakon Wanita Terbaik bagi filem Hingga Hujung Nyawa. Kedua-dua filem itu disifatkan sebagai filem yang sederhana mutunya oleh segelintir peminat filem tempatan.

FFM ke-19 (2006)

Yasmin Ahmad sekali lagi mengejutkan pembikin filem tanah air apabila Gubra merangkul anugerah Filem Terbaik. Antara individu yang tidak berpuas hati ialah penerbit filem Raja Azmi. Tambahan pula, filem ini dijaja sebagai filem “pencemar budaya” oleh segelintir pemerhati filem. Sharifah Amani yang memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik untuk filem tersebut dicemuh kerana menyatakan beliau tidak pandai berbahasa kebangsaan pada masa beliau memberi ucapan penghargaan untuk anugerah tersebut.

Kemenangan tersebut telah menghantui kerjaya Yasmin Ahmad. Filem-filem beliau yang seterusnya (kecuali Talentime) tidak mendapat pencalonan yang banyak dalam FFM kerana dikatakan memutar tema yang sama. Tahun tersebut juga membuka pendebatan akan kehadiran filem-filem digital tempatan oleh pembikin filem generasi muda yang dikatakan “sama baik” atau “lebih baik” daripada filem-filem konvensional yang dipertandingkan, sepertimana anugerah Filem Terbaik Bukan Bahasa Malaysia yang turut menjadi persoalan meruncingkan dalam kalangan peminat filem tempatan.

___

RENCANA BERKAITAN Mampukah Filem Kita ke Persada Dunia?, Siapa Peduli Dengan FFM?

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.