WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.167.29.208' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.167.29.208','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Bosnia-Herzegovina: Kesuraman di Sebalik Keindahan','/?p=784','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Baru-baru ini penulis bersama-sama beberapa orang rakan berpeluang ke Sarajevo, atas undangan Yayasan Abdul Aziz Saud al-Babtain untuk menghadiri “Dialogue of Civilizations in a Different World Order: Contrast and Harmony”.

Ibu kota Bosnia-Herzegovina ini menjadi pilihan penganjur dialog tersebut kerana ia menyimpan sejarah dan kenangan kehidupan pelbagai etnik yang berlainan agama dan budaya – orang Islam yang dinamai Bosniak, Kristian ortodoks, Kristian Katolik dan Yahudi. Mereka pernah hidup dalam keadaan yang damai hingga meletusnya pertumpahan darah yang melakar semula senario sosiopolitik negara ini.

Pemandangan Sarajevo yang terletak di Semenanjung Balkan dan dikelilingi gunung ini cukup memukau. Selama beberapa hari di sini, penulis dapat menikmati landskap pemandangan Sarajevo yang terbentang indah. Pohon-pohon mapel dengan dedaunannya berguguran, diusapi angin dingin Oktober, turut memberikan ketenangan.

Keindahannya diserikan dengan Bandar Lama yang wujud sejak 1461 ketika Empayar Ottoman gagah memperluas empayarnya. Seni bina bangunan, bazar, dan masjid dengan jalan berturap batu yang unik penampilannya menjadikan Bandar Lama Bosnia ini tempat yang mesti dilawati. Malah sesiapa yang ke Bosnia-Herzegovina tidak
lengkap lawatannya jika tidak ke Bandar Lama ini. Manakala Bandar Barunya pula lebih memaparkan binaan moden yang menempatkan kawasan beli-belah dan pejabat.

Dalam keindahan panoramanya, bumi Sarajevo yang indah ini menggamit kenangan pahit dan menyayat hati. Rentetan sejarah pahitnya sudah bermula sejak 1914 apabila Serbia tidak menyenangi Austria-Hungary kerana menduduki Bosnia pada 1908, sedangkan Serbia ingin memasukkan Bosnia ke dalam wilayah kuasa politiknya, setelah Bosnia mendapat kebebasan daripada Turki. Keadaan ini membangkitkan kumpulan revolusioner yang bergerak aktif dalam kalangan anak muda yang dikenali sebagai Young Bosnia.

Pada 28 Jun 1914, seorang pemuda, 19 tahun, menembak mati Putera Mahkota Austria-Hungary Archduke Franz Ferdinand dan isterinya Countess Sophie di Jambatan Latin yang merentangi Sungai Miljacka ketika mereka membuat lawatan ke Sarajevo. Pembunuhan ini menimbulkan api kemarahan Austria-Hungary lalu memerangi Serbia. Peristiwa ini dikatakan antara yang mencetuskan Perang Dunia Pertama.

Pada dekad 1990-an, sekali lagi Sarajevo mendapat perhatian dunia ekoran pergolakan etnik hingga mengakibatkan perang Bosnia yang amat dahsyat. Pengepungan Sarajevo selama empat tahun, dari 1992 hingga 1996, terpahat sebagai pengepungan ibu kota yang paling lama dalam sejarah peperangan dunia.

Bosnia-Herzegovina menjadi kancah penghapusan etnik terbesar sejak Perang Dunia Kedua. Lebih daripada 200 ribu orang Bosniak (penduduk Islam Bosnia) terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai orang Islam oleh puak Serb di Srebrenica, yang kini terus berada dalam wilayah Republik Srpska milik orang Serb Bosnia. Hampir 2.2 juta orang Islam menjadi pelarian menumpang ihsan di bumi asing dan beribu-ribu orang wanita Islam dirogol dengan kejam.

Perang etnik ini tamat dengan Perjanjian Damai Dayton yang ditandatangani pada Disember 1995 oleh ketiga-tiga kumpulan penduduk – Bosniak (Islam), Croat Bosnia dan Serb Bosnia. Sayangnya kini perjanjian damai itu nampaknya tidak mewujudkan imbangan kuasa yang stabil, malah dilihat mengorbankan perpaduan dan integrasi dalam kalangan penduduk apabila ia membahagikan Bosnia-Herzegovina kepada dua wilayah politik.

Pembahagian tersebut terus memisahkan penduduk; Persekutuan Bosnia-Herzegovina dengan penduduk Bosniak (64 peratus) dan Croat (13 peratus) di satu pihak, manakala Republik Srpska kawasan penduduk Serb di satu pihak yang lain.

Dua wilayah tersebut ditadbir secara berasingan. Masing-masing mempunyai presiden, kerajaan, pasukan polis, tentera, serta badan tadbir urus sendiri. Malah boleh dikatakan kedua-dua wilayah ini dapat berdiri sebagai dua buah negara yang berasingan. Kedua-dua wilayah ini terletak di bawah kerajaan pusat Bosnia-Herzegovina yang dipimpin oleh Presiden. Jawatan Presiden ini pula digilirkan antara tiga kumpulan etnik Bosniak, Croat, dan Serb untuk tempoh setiap lapan bulan.

Setiap kali presiden digilirkan, setiap kali itulah juga kumpulan kabinetnya turut berubah mengikut etnik yang diwakilinya. Sistem pemerintahan mengikut giliran dalam tempoh yang begitu singkat ini merumitkan pemerintahan dan penguatkuasaan. Masing-masing mempunyai ideologi politik dan kaedah pentadbiran yang berbeza. Justeru sistem giliran presiden ini menelan perbelanjaan yang sangat tinggi.

Keadaan menjadi semakin mencabar apabila dalam bertatih untuk membangunkan sosioekonomi dan infrastruktur negara, Bosnia-Herzegovina berhadapan pula dengan tuntutan orang Croat Bosnia. Mereka semakin lantang baru-baru ini menuntut untuk mewujudkan wilayah autonomi sendiri. Meskipun hanya membentuk peratusan kecil
daripada keseluruhan penduduk di Persekutuan itu, hal tersebut tidak menghalang keinginan mereka untuk mendapatkan hak yang sama sebagaimana orang Serb yang mempunyai entiti tersendiri dalam Republik Srpska.

Tuntutan orang Croat Bosnia atas nama keadilan ini merupakan isyarat awal pergolakan dalaman penduduk. Perjanjian damai yang ditandatangani itu hanya dapat menamatkan perang dan keganasan, tetapi tidak dapat mewujudkan semangat kebersamaan dalam konteks satu negara-bangsa. Masing-masing hidup atas semangat nasionalisme yang berbeza. Apatah lagi pengalaman getir yang memberikan kesan mendalam kepada penduduk Bosniak khususnya, tidak mudah dihapuskan begitu sahaja. Namun hidup mesti diteruskan oleh mereka betapa pahit sekalipun pengalaman yang dilalui.

Maka orang Bosniak juga, dalam kedudukan mereka sebagai penduduk majoriti Bosnia-Herzegovina, mahu beberapa perkara dalam Perlembagaan dipinda bagi membolehkan mereka mendapat lebih banyak kuasa. Manakala orang Serb Bosnia mendesak mengadakan pungutan suara untuk menolak perwakilan tertinggi dan perjanjian damai itu sendiri.

Senario politik yang tidak memberangsangkan ini seperti menutup pintu kepada sebarang titik pertemuan. Beberapa orang anak muda yang ditemui menyatakan kekesalan mereka apabila usaha untuk mewujudkan persamaan dalam kepelbagaian etnik dan budaya menemui jalan buntu.

Kegagalan mencapai persetujuan ahli Parlimen Bosnia-Herzegovina pada 2006, bagi anak-anak muda ini, adalah kerana kuasa dan keegoan yang disembunyikan di balik hak mempertahankan kaum masing-masing. Keadaan ini menyukarkan mereka mendapatkan titik pertemuan supaya hingga jalan ke arah merapatkan semula jurang hubungan
antara etnik nampaknya berliku. Ditambah lagi dengan bebanan kadar pengangguran dan kadar kemiskinan yang tinggi, untuk mencapai keharmonian dan kemakmuran agak suram.

Pemuda Bosnia-Herzegovina berpandangan bahawa pemimpin mesti menggerakkan perubahan; mereka ingin akan pembangunan ekonomi yang terancang supaya dapat membuka peluang pekerjaan yang luas di samping memelihara kestabilan. Hal ini bergantung pada rangkaian kepemimpinan yang seharusnya mengutamakan keperluan dan kebajikan rakyat.

Namun perjalanan seperti ini nampaknya sukar memandangkan perubahan kepimpinan yang kerap berlaku dalam tempoh yang singkat pula. Apatah lagi Pengerusi Presidensi masih tidak dapat bergerak senada dengan dua orang presiden yang lain. Maka sistem giliran jawatan presiden lapan bulan sekali ini perlu difikirkan semula supaya program pembangunan bagi seluruh rakyat Bosnia dapat dilaksanakan dengan lancar.

Hubungan antara tiga etnik amat penting ditangani dengan halus, bagai menarik benang dari dalam tepung, supaya sebuah kerajaan yang bersatu dapat diwujudkan. Pembangunan fizikal dan minda sukar mencapai kejayaan tanpa hala tuju dan wawasan yang sama dalam kalangan seluruh penduduknya. Sehingga itu perjalanan ke hadapan Bosnia-Herzegovina penuh dengan ranjau dan duri. Dalam keadaan sekarang, krisis etnik tidak mustahil boleh meletus lagi jika tidak dibendung dengan rapi.

Padilah Haji Ali
padilah@dbp.gov.my

Share

1 Maklum Balas

  1. Servermusic Komen:

    Super :)

    Dihantar pada 26 Disember, 2010, 7:06 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.