Pada bulan ini akan berlaku acara kemuncak yang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak seluruh dunia. Dunia menghitung hari-hari terakhir Piala Dunia 2010 yang gemilang. Demamnya sungguh terasa, sehingga Piala Dunia kali ini mencatatkan purata 12.762 juta penonton dunia yang menonton secara langsung, antara yang tertinggi dalam sejarah pengacaraan Piala Dunia.

Pada 12 Julai yang lepas, enam juta penonton Malaysia telah bersengkang mata menonton siaran langsung perlawanan akhir Belanda dengan Sepanyol. 60 000 orang pula membanjiri Dataran Merdeka pada pagi itu sampai subuh. Penduduk Malaysia yang terpaksa bekerja selepas siaran langsung itu telah bersama-sama 20 juta penonton seluruh dunia menyaksikan kemenangan pasukan Sepanyol menjaringkan gol tunggal pada masa tambahan. Sepanyol berjaya merangkul kejuaraan Piala Dunia 2010 untuk pertama kalinya. Debaran, nafas tertahan dan sorakan telah dirasai bersama.

Ini membuktikan, “gol” ialah bahasa sarwajagat dunia.

“Majalah dalam talian” juga merupakan bahasa sarwajagat dunia abad ke-21, khususnya dalam alam siber. Kemunculannya dalam Internet tidak lagi menjadi satu harapan, tetapi keperluan. Jika ada yang berhujah bahawa ada majalah yang tidak ada di “dalam talian”, sekurang-kurangnya majalah itu diperkatakan, baik dalam Wikipedia, Twitter atau hasil pencarian di Google. Takdir majalah dalam talian muktamad. Jika majalah ini tidak ada, orang tetap akan mencarinya. Majalah dalam talian tidak boleh lari daripada dikenali.

Uniknya majalah dalam talian, kita boleh muat naik, baca atau mainkan video dalam majalah dalam talian. Hal ini tidak dapat kita lakukan dalam majalah bercetak. Begitu juga dengan promosi, bahan dalam talian melengkapi bahan yang tersiar dalam majalah bercetak. Perhubungan ini seperti satu persaudaraan abang adik yang akrab, masing-masing melengkapi, masing-masing memerlukan antara satu sama lain. Oleh sebab itu, Dewan Masyarakat dalam talian ini dibina. Mungkin kehadirannya agak lewat dalam alam siber, tetapi yang lebih penting majalah ini sudah diwujudkan. Kemunculannya dicaknakan.

Dewan Masyarakat dipilih sebagai majalah pertama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang hadir dalam talian kerana majalah ini paling popular antara majalah terbitan DBP. Majalah ini juga antara majalah terawal yang diperkenalkan di persada penerbitan majalah DBP. Dengan ini, kami sajikan Dewan Masyarakat dalam talian.

Selamat membaca. Selamat menjelajah. Selamat memacu minda.

Fadli al-Akiti
fadhli@dbp.gob.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.