Oleh DANIA DZULKIFLI

Pada awal November ini, Pilihan Raya Separuh Penggal 2010 berlangsung di Amerika Syarikat. Bagi mana-mana parti yang memerintah, pilihan raya yang diadakan ketika kemelesetan ekonomi, pasti penuh kesukaran dan kepayahan.

Demikian juga Parti Demokratik yang terpaksa bertarung dengan Parti Republikan tatkala sinar pemulihan ekonomi Amerika Syarikat masih suram yang menyaksikan kadar pengangguran masih tinggi, iaitu hampir 10 peratus. Rakyat Amerika Syarikat yang kehilangan pekerjaan (berjumlah kira-kira lapan juta orang) pastinya menggunakan peti undi untuk menterjemahkan kesengsaraan dan kekecewaan mereka.

Apabila Ben Bernanke, Pengerusi Rizab Persekutuan memberitahu Jawatankuasa Senat pada akhir Julai lalu bahawa ekonomi Amerika Syarikat bertambah baik, tetapi agak perlahan – menandakan Parti Demokratik dalam kesusahan.

Menurut pandangan umum, Parti Demokratik bertarung dalam pilihan raya tanpa mesej bersatu padu untuk menangani ekonomi Amerika Syarikat yang muram. Sebilangan calon yang bertanding cuba untuk menjauhkan diri mereka daripada Presiden Barack Obama yang popularitinya semakin merosot.

Dalam perang iklan, beberapa orang anggota Perwakilan Demokrat, seperti Mark Schauer (Michigan), Glenn Nye (Virginia), dan Suzanne M. Kosmas (Florida), menjauhkan diri daripada parti mereka. Yang terbaharu, keadaan Demokrat semakin berpecah belah ekoran penangguhan proses pengundian kerana mahu menamatkan terlebih dahulu potongan cukai pendapatan yang diperkenalkan oleh bekas Presiden George W. Bush yang akan tamat pada 31 Disember ini.

Demokrat seolah-olah kalah sebelum berjuang dan gagal menggembleng kekuatan. Dalam pilihan raya ini, Demokrat bergantung pada kesatuan sekerja, iaitu pasukan kejutan (shock troops) kempen mereka demi mengimbangi keghairahan Tea Party dan kemampuan perbadanan untuk berbelanja dengan jumlah tanpa had, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Agung.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat November 2010. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.