Oleh ISMAIL IBRAHIM

Mutakhir ini cara umat Islam memahami agama sebagai al-Din kelihatan agak bercelaru. Program di televisyen dan radio, mahupun tulisan mengenai Islam di media cetak kebanyakannya hanya memberikan penekanan terhadap amalan ritual, ibadat khusus, doa, zikir, wirid dan sebagainya.

Jika berkunjung ke mana-mana kedai buku, kebiasaannya koleksi buku yang dikategorikan sebagai “buku agama” membicarakan hal yang sama – amalan untuk “bekalan” akhirat semata-mata. Hampir tiada buku agama yang membincangkan secara jelas kehidupan sebagai seorang Muslim yang berilmu.

Kebanyakan buku “agama” seolah-olah tidak mahu berbicara tentang kehidupan di dunia yang menyentuh persoalan ekonomi, teknologi, industri, etika dan pelbagai bidang kehidupan di dunia. Malah, ada kalanya semua bidang ini dianggap perkara yang boleh melekakan umat Islam terhadap bekalan akhirat dan kehidupan kerohanian mereka.

Apabila mengunjungi kedai yang menjual ubat tradisional pula, pasti pengunjung menemui ubat-ubatan yang didakwa sebagai “ubat Islam” iaitu air yang dijampi, habbatul sauda’, kurma, kismis, za’faran dan sebagainya. Seolah-olah itulah sahaja ubat-ubatan untuk umat Islam bagi menyembuhkan sebarang penyakit. Inilah juga produk perubatan yang selalu diiklankan dalam media massa.

Penulis tidak menentang amalan agama yang fundamental dan asasi ini. Segala amalan ibadat khusus dan kerohanian merupakan asas yang amat penting dalam kehidupan orang Islam. Hal ini demikian kerana ibadat merupakan amalan wajib bagi orang Islam – doa merupakan “otak” ibadat, zikir ibarat penawar, malah ibadat khusus merupakan perintah Allah dan Rasul yang tidak boleh ditinggalkan.

Namun apabila penekanan sepenuhnya diberikan terhadap kehidupan di akhirat, maka kehidupan orang Islam tidak akan menjadi seimbang dan senada dengan falsafah beragama seperti ditegaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa menekankan tentang kepentingan dunia dan akhirat. Keadaan ini boleh menyebabkan umat Islam jauh ketinggalan daripada arus perdana kehidupan di dunia yang serba mencabar. Umat Islam akan terpinggir daripada kemajuan teknologi baharu, daripada alam ekonomi dunia, malah daripada alam ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

___

Datuk Dr. Ismail Ibrahim bekas Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga bekas Duta Besar Malaysia di Arab Saudi dan sekarang menjadi penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat November 2010.  Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.  Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.