Oleh ZAMRI MISMAN

Astronomi merupakan satu bidang ilmu yang mengkaji secara saintifik sistem galaksi meliputi planet, bulan dan bintang. Perkataan “astronomi” berasal daripada perkataan Yunani, iaitu “astro” yang bermaksud bintang dan “nomia” yang bermaksud undang-undang.

Semenjak Sebelum Masihi, ilmu astronomi berkembang luas di India, Mesir, China dan Babylonia. Kajian mengenai  bintang di benua India ada tercatat dalam koleksi naskhah Rigveda. Sejarah menunjukkan bahawa ahli astronomi India banyak membuat penemuan baharu mengenai astronomi berbanding dengan ahli astronomi Barat.

Aryabhatta yang lahir pada 478 sangat terkenal dalam bidang astronomi sehingga diberikan gelaran sebagai “Bapa Astronomi India”. Nama Aryabhatta seterusnya diabadikan oleh Kerajaan India pada satelit pertama India yang dilancarkan ke orbit pada 19 April 1975.

Islam turut memberikan sumbangan yang besar dalam bidang astronomi. Ilmu astronomi atau dikenali sebagai ilmu falak, bukan hanya dipelajari dari perspektif keperluan ibadat (waktu solat, puasa dan haji), tetapi mencakupi pelbagai urusan seharian yang lain.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyyah, kepentingan ilmu falak setara dengan ilmu kedoktoran, iaitu pada kedudukan yang ketiga selepas ilmu tauhid dan fiqah. Pada zaman pemerintahan Khalifah al-Makmun, banyak balai cerapan astronomi dibina sehingga mereka berjaya menghasilkan satu jadual kedudukan bintang yang dikenali sebagai Daftar al-Makmun. Pada zaman tersebut juga lahir beberapa orang tokoh ilmu falak Islam termasuk al-Battani yang bertanggungjawab memperkenalkan ilmu trigonometri sfera yang digunakan oleh ahli astronomi sehingga sekarang.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat November 2010.  Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.  Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.