Pada keluaran Oktober lalu, Dewan Masyarakat memaparkan rencana yang bertajuk Politik Pasir, tulisan Zulkifli Salleh. Rencana tersebut antara lain membincangkan isu kontrak mengorek dan mengambil pasir yang didakwa disalahgunakan oleh pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor.

Isu “politik pasir” ini terus terlintas di fikiran penulis, apabila akhir-akhir ini muncul perdebatan hangat tentang isu bekalan air bersih di Selangor.

Kajian Sumber Air Negara (National Water Resources Study) mahupun kajian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) baru-baru ini memberikan amaran bahawa Selangor akan mengalami krisis air yang meruncing pada 2013. Ekoran amaran ini, Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek penyaluran bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor menggunakan terowong. Projek jangka panjang ini bertujuan memastikan bekalan air untuk penduduk Selangor dan Lembah Klang mencukupi dan berterusan.

Namun, seperti isu pasir yang dipolitikkan sebelum ini, kini isu “air” pula menerima nasib yang sama. Kerajaan Negeri Selangor dengan egonya menafikan amaran tersebut, lantas mendakwa bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019 dengan mengambil kira sumber air yang luar biasa, iaitu air bawah tanah dan air hujan!

Berdasarkan hujah dangkal ini, Kerajaan Negeri Selangor melengahkan penyelesaian rundingan penstrukturan semula industri air Selangor berhubung dengan pelaksanaan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2. Loji ini merupakan bahagian paling penting dalam menyiapkan projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor dalam satu kenyataan media pada 1 September lalu, bertegas supaya pelaksanaan Projek Langat 2 hanya dilaksanakan pada 2019. Bolak-balik “politik air” Pakatan Rakyat ini amat meresahkan. Jangan sampai dek kerana bolak-balik politik dangkal untuk meraih populariti, akhirnya nanti penduduk Selangor terpaksa menggunakan air perigi.

Baru-baru ini, SYABAS dihentam teruk oleh Kerajaan Negeri Selangor ekoran cadangan untuk menaikkan tarif air. Walaupun cadangan kenaikan tarif air ini selari dengan perjanjian konsesi serta keperluan mendesak bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.

Kata mereka (Pakatan Rakyat), SYABAS seperti kapitalis yang hanya tahu mengaut keuntungan dan tidak mempedulikan langsung nasib rakyat. Kenaikan tarif air yang dicadangkan oleh SYABAS, dijadikan momokan politik Pakatan Rakyat.

Namun ironinya, Kedah dan Pulau Pinang yang juga di bawah pimpinan Pakatan Rakyat baru-baru ini mengumumkan pula kenaikan tarif air. Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), anak syarikat kerajaan negeri memperkenalkan Surcaj Pemulihan Air (WCS) mulai 1 November ini. Di Kedah, Syarikat Bekalan Air Kedah (SADA) mengumumkan kenaikan tarif air sebanyak 27 peratus.

Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kedah di bawah Pakatan Rakyat tidak ubah seperti kapitalis yang hanya tahu mengaut keuntungan dan tidak mempedulikan nasib rakyat? Mengapakah Pakatan Rakyat tidak konsisten dalam isu tarif air ini? Adakah Pakatan Rakyat kini sudah beralih angin; daripada “politik pasir” kepada “politik air”?

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

RENCANA BERKAITAN Politik Pasir.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.