Pada awal Jun lalu, kutukan terhadap Israel bergema lagi. Dari Buenos Aries hingga ke Madrid, dari Turki menganjur ke Tokyo, dari Seoul merebak ke Kuala Lumpur, gelombang kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap Israel dimanifestasikan dalam pelbagai siri demonstrasi.

Jika ada statistik yang mencatatkan jumlah bendera sesebuah negara yang paling banyak dibakar di dunia, Israel pasti berada dalam senarai teratas.

Terang-terangan tindakan komando Israel menyerang hendap dan membunuh sembilan orang aktivis pro-Palestin di atas kapal Mavi Marmara pada waktu subuh 31 Mei lalu di kawasan perairan antarabangsa, tidak dapat diterima akal oleh sesiapa pun, walau apa-apa pun alasan yang diberikan oleh pihak Israel. Situasi yang berlaku 68 batu nautika di luar perairan Israel itu merupakan pelanggaran perjanjian diplomasi peringkat tertinggi.

Kapal MV Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis pro-Palestin dari Malaysia turut mengalami nasib yang sama. Kapal ini dirampas oleh komando Israel sekitar 30 kilometer dari pantai Gaza. Semua muatannya dirampas dan anak-anak kapalnya di usir pulang ke negara masing-masing.

Seperti biasa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya terkulat-kulat melihat kezaliman Israel. Jangankan bertindak, untuk mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel pun PBB menggeletar lutut dan tergagap-gagap.

Presiden Barrack Obama pula membuat lawak antarabangsa paling kelakar awal Jun lalu. Sudahlah Amerika Syarikathanya memejamkan mata ketika komando Israel menyerang flotila yang membawa misi bantuan kemanusiaan kepada Palestin, tiba-tiba pada awal Jun lalu, Amerika Syarikat mengemukakan usul kepada PBB agar Iran dikenakan sekatan ekonomi terbaharu. Alasan Obama, Tehran didakwa memiliki nuklear dan senjata WMD (Weapon of Mass Destruction) yang mengancam kepentingan dan keselamatan dunia.

Lupakah Obama bahawa ketika ini ada sebuah negara paling biadab di Timur Tengah yang terang-terangan melanggar perjanjian diplomasi tertinggi di peringkat antarabangsa dengan membunuh aktivis kemanusiaan di luar perairan mereka tanpa alasan yang munasabah? Mereka juga sekian lama membunuh rakyat negara lain menggunakan senjata WMD buatan Amerika Syarikat? Jadi, bukankan negara biadab sebegini yang mengancam keselamatan dunia?

Hakikatnya, kisah duka keamanan dunia akan terus berlangsung entah berapa lama lagi. Pasti selepas ini akan ada kezaliman terbaharu yang dilakukan oleh Israel. Ketika itu, seluruh penduduk dunia akan kembali marah-marah dan sarutan ribu bendera Israel akan dibakar lagi. Ketika itu juga, Amerika Syarikat akan menutup mata dan Israel hanya tersenyum dengan wajah hodoh yang tidak berperikemanusiaan. Letihnya menyaksikan episod lama ini berulang …

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

RENCANA BERKAITAN Kutukan Dunia Kengankuhan Israel, Israel Tidak Gentar dengan Tekanan Dunia.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.