Oleh HASSAN AHMAD

Saya menganggap orang Melayu-Islam di negara ini mempunyai banyak kelebihan untuk menjadi model kemajuan manusia, kemajuan fikiran, kemajuan ilmu, kemajuan budaya, ekonomi, politik, sosial, moral dan akhlak. Mengapa tidak?

Orang Melayu membuktikan kepada bangsa lain bahawa nenek moyang mereka mampu membina tamadun supraetnik dan suprawilayah yang besar di Rantau Kepulauan Melayu. Yang dimaksudkan dengan tamadun supraetnik dan suprawilayah ialah tamadun yang merentas segala sempadan etnik dan daerah geografi di rantau yang besar itu.

Hal itu menunjukkan bahawa kepelbagaian etnik, bahasa, dan budaya yang sangat kompleks di rantau ini – terdapat lebih daripada 300 kumpulan etnik dan bahasa di Kepulauan Melayu – tidak menjadi penghalang dalam proses pembentukan kesatuan tamadun yang merangkumi semua kumpulan etnik, budaya, bahasa, dan agama.

Ahli sejarah dan pengkaji tamadun Melayu sering menimbulkan isu yang tidak relevan dengan proses pembentukan tamadun Melayu supraetnik dan suprawilayah. Misalnya, mereka bertelagah secara akademik tentang soal dari manakah asalnya orang Melayu? Isu yang mereka tidak pentingkan ialah soal perbezaan antara Melayu sebagai kumpulan etnik dengan Melayu sebagai kesatuan tamadun yang disebut bangsa Melayu – merentas kumpulan etnik. Bangsa Melayu tidak sama dengan ras atau suku-kaum yang
tidak berkerajaan.

Ahli sejarah tamadun Melayu lupa bahawa kawasan sosiobudaya dan politik bangsa Melayu tidak dipisahkan oleh sempadan geografi, misalnya antara Tanah Melayu dengan Sumatera. Dalam sejarah, sebelum Inggeris-Belanda memecahkan kawasan ini mulai 1834 kepada kawasan takluk geopolitik mereka, Tanah Melayu dan Sumatera ialah dua kawasan budaya supraetnik yang sama, kawasan yang dicirikan oleh bahasa ilmu, bahasa persuratan, dan bahasa kerajaan yang sama iaitu bahasa Melayu, dan agama negeri yang sama, iaitu Islam.

___

Datuk Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan. Beliau juga bekas wakil tetap Malaysia ke UNESCO dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kolum ini diambil daripada Dewan Masyarakat Oktober 2010. Kandungan kolum telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.