Dalam kalangan pengamal undang-undang, mereka memegang satu prinsip; “keadilan itu bukan sahaja perlu ditegakkan, tetapi juga harus kelihatan ditegakkan”.

Prinsip ini terus terlintas di fikiran penulis, apabila baru-baru ini Kabinet menguatkuasakan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori kepada individu yang disabitkan dengan kesalahan membuang bayi sehingga menyebabkan bayi yang tidak berdosa tersebut meninggal dunia. Jika bayi yang dibuang masih hidup, pesalah akan dihukum di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, atas dakwaan cubaan membunuh.

Jika melihat dari segi “keadilan”, mungkin ada pihak yang beranggapan bahawa hukuman mati mandatori merupakan “pengajaran” yang paling setimpal patut dikenakan kepada pesalah yang terlibat dalam kes pembuangan bayi ini.

Namun, memandangkan majoriti pesalah yang terlibat dalam kes pembuangan bayi ini terdiri daripada generasi muda, ada pihak yang menganggap bahawa pelaksanaan hukuman mati mandatori dianggap terlalu berat. Hukuman seberat ini langsung tidak memberikan peluang kepada pesalah yang terlibat ini “membetulkan” semula kesilapan yang dilakukan dalam hidup mereka.

Ada pihak yang beranggapan bahawa tindakan “menghukum” seberat-beratnya bukan pendekatan terbaik untuk mendidik generasi muda. Hal ini demikian kerana kes pembuangan bayi sebenarnya hanya merupakan salah satu kesan akhir daripada satu “set” kitaran permasalahan sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia.

Set kitaran ini bermula daripada masalah kelemahan penghayatan ajaran agama yang dialami generasi muda sekarang. Mereka dituntut oleh ibu bapa dan pihak sekolah untuk lulus “cemerlang” dalam setiap peperiksaan yang mereka lalui dan ibu bapa tidak mempedulikan sejauh mana setiap ilmu yang mereka pelajari di sekolah tersebut turut diaplikasikan dengan “cemerlang” dalam hidup mereka.

Jadi, berlakulah kes pelajar yang memperoleh “A” dalam mata pelajaran Agama Islam atau Pendidikan Moral semasa Sijil Pelajaran Malaysia, tetapi akhlaknya seperti individu yang tiada pegangan hidup.

Set kitaran ini diteruskan dengan pengaruh negatif yang mereka peroleh daripada segala maklumat dan hiburan tanpa sekatan dalam Internet dan media komunikasi yang lain. Tambah parah, apabila segala budaya negatif ini dikongsi pula dengan rakan sebaya di luar rumah dan ibu bapa tidak mempedulikan dengan siapa anak mereka berkawan kerana sibuk bekerja untuk memenuhi keperluan hidup yang mendesak.

Majoriti masyarakat pula tidak peduli dengan segala yang berlaku di sekeliling mereka kerana rata-rata mereka berpegang pada satu prinsip; “jangan masuk campur urusan orang lain”.

Akhirnya, berlakulah kesan akhir daripada set kitaran permasalahan sosial ini dan salah satunya ialah kes pembuangan bayi. Jadi, adakah menghukum seberat-beratnya generasi muda yang terlibat dengan kes pembuangan bayi ini merupakan “pakej” lengkap untuk menyelesaikan masalah ini? Adakah keadilan sedang ditegakkan atau kelihatan sedang ditegakkan?

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

RENCANA BERKAITAN Buang Bayi: Mampukah Hukuman Menyelesaikan Masalah?, Pembuangan Bayi Meninggalkan Kesan yang Parah, Polemik Kes Pembuangan Bayi.

Share

1 Maklum Balas

  1. railey bin marcus Komen:

    dewan masyarakat merupakan 1 wadah yang sangat baik untuk menyampaikan pelbagai maklumat seperti isu sosial,politik dan ekonomi…

    Dihantar pada 29 September, 2011, 4:30 pm

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.