Penulis tertarik untuk memberikan pandangan terhadap Laporan Khas Dewan Masyarakat Februari 2010. Laporan tersebut amat berkaitan dengan permasalahan yang dihadapi oleh badan kebajikan di Malaysia. Kewujudan badan kebajikan sebenarnya telah memberi sedikit cahaya kepada golongan yang kurang bernasib baik untuk meneruskan kehidupan. Namun, badan kebajikan sendiri mempunyai pelbagai masalah yang membantutkan usaha murni mereka.

Masalah paling ketara ialah masyarakat negara ini kurang membabitkan diri dalam sebarang aktiviti kebajikan. Rakyat negara ini lebih suka melihat atau menganggap tugas itu telah dilakukan oleh orang lain. Mereka juga tidak mahu melibatkan diri kerana dipengaruhi beberapa faktor seperti kesuntukan masa. Akibatnya, badan kebajikan kekurangan sukarelawan untuk menjalankan aktiviti yang dirancang.

Ketiadaan sokongan daripada masyarakat untuk melibatkan diri dalam kerja kebajikan, memperlihatkan badan ini sebuah badan yang tidak mendatangkan hasil. Terdapat juga pihak yang memandang badan kebajikan hanya untuk mereka yang tidak mempunyai impian besar atau tanggungjawab terhadap keluarga. Malah yang lebih buruk lagi, ada yang menganggap badan kebajikan merupakan salah satu cara mendapatkan wang tanpa perlu menyalurkan pemberian tersebut kepada yang berkenaan.

Badan kebajikan agak sukar untuk memperoleh sumber kewangan pada masa kini. Hal ini terjadi kerana terdapat dakwaan seperti badan kebajikan menggunakan wang untuk kepentingan peribadi. Sememangnya kes seumpama ini pernah berlaku tetapi peratusnya amat sedikit. Masyarakat seharusnya memberi sokongan serta dokongan agar badan kebajikan dapat menjalankan tugas mereka sebagaimana yang diharapkan.

Sebenarnya bukan mudah untuk mewujudkan suatu badan kebajikan. Mereka terpaksa melalui berbagai proses. Lesen badan kebajikan mesti diperbaharui dan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum menjalankan sesuatu aktiviti. Peraturan ini diwujudkan bagi mengawal sebarang penyelewengan daripada berlaku. Dalam hal ini, pihak berkuasa harus memudahkan sebarang urusan yang berkaitan dengan penyelenggaraan badan kebajikan. Malah, pihak berkuasa juga diharap dapat menyediakan tempat untuk badan kebajikan menjalankan aktiviti mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Kesimpulannya, badan kebajikan di negara ini berada dalam situasi yang serba kekurangan. Masyarakat diseru bersama-sama berganding bahu dalam usaha yang murni ini agar golongan yang memerlukan bantuan terus terbela. Mudah-mudahan sumbangan yang dihulurkan dapat meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan.

Mohammad Majduddin Sulaiman
Kota Bharu, Kelantan.

___

Surat Pembaca ialah ruangan khusus untuk pembaca memberikan pandangan tentang isu yang diperkatakan dalam Dewan Masyarakat bercetak dan dalam talian. Segera kirimkan pandangan anda kepada Editor Dewan Masyarakat dalam talian dengan menyertakan maklumat peribadi yang lengkap. Hantarkan kepada: fadhli@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.