Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Berakhirnya temasya Piala Dunia 2010 menandakan berakhirnya temasya taruhan (bookie) haram. Piala Dunia kali ini dicemarkan sepertimana yang berlaku pada Liga Juara-juara Eropah, Liga Sepanyol dan Liga Perdana Inggeris setiap musim.

Bagi kaki judi, pertaruhan dalam sukan bola sepak merupakan cara mudah untuk mereka meraih keuntungan yang boleh mencecah berpuluh ribu ringgit dalam sekelip mata. Maka tidak hairanlah apabila aktiviti perjudian haram ataupun lebih dikenali dengan nama “bookie haram” berleluasa dan dilihat semakin sukar untuk dibendung.

Penerima taruhan haram amat sinonim dengan sukan bola sepak. Di Malaysia, penerima taruhan tidak pernah diiktiraf mahupun diberi lesen untuk menjalankan aktiviti pertaruhan secara sah, malah kegiatan ini sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa.
Polis Diraja Malaysia baru-baru ini mengeluarkan statistik rasmi kegiatan judi haram selepas Piala Dunia 2010. Sebanyak 270 serbuan dan 227 anggota sindiket penerima taruhan yang ditahan. Nilai pertaruhan melibatkan lebih RM500 juta. Statistik ini dilaporkan tidak termasuk pertaruhan untuk perlawanan akhir yang melibatkan Sepanyol dan Belanda yang berkesudahan Sepanyol menewaskan Belanda dengan jaringan 1-0. Kes yang dilaporkan hanyalah pertaruhan yang dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Pertaruhan yang tidak dapat dikesan dianggarkan melebihi angka berbilion ringgit.

Jumlah pertaruhan RM500 juta ini berjaya dikesan oleh pihak PDRM melalui hasil 270 serbuan yang dilakukan oleh Unit Gempur Ops Soga yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Bukit Aman mulai 11 Jun yang lalu. Dalam operasi ini pihak polis berjaya menahan 227 anggota sindiket judi haram yang bertindak sebagai penerima taruhan yang berusia antara 15 hingga 73 tahun, melibatkan 216 rakyat tempatan dan 10 warga negara Indonesia. Kegiatan pertaruhan haram ini juga dilaporkan membabitkan kaki judi warga tempatan dan beberapa negara jiran terutamanya Singapura. Kebanyakan serbuan dibuat di Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Melaka.

Walaupun operasi demi operasi dilancarkan oleh pihak berkuasa, namun aktiviti penerima taruhan haram boleh dikatakan terus merebak sepantas virus H1N1. Malah hampir semua pasukan polis kontinjen negeri dilaporkan telah menubuhkan pasukan khas atas nama Ops Soga untuk menggempur aktiviti haram ini di seluruh negara. Namun, operasi ini belum menampakkan hasilnya.

Antara siri tangkapan yang telah didedahkan oleh pihak media massa dan elektronik ialah tangkapan yang melibatkan 33 individu di Pulau Pinang yang terdiri daripada pemain, penganjur dan pemilik premis kafe siber yang terlibat dalam aktiviti penerima taruhan haram. Aktiviti ini membabitkan pertaruhan RM2 juta sehari sepanjang dua minggu pertama Piala Dunia 2010. Pihak polis turut membuat penangkapan 13 orang termasuk dua wanita dalam lapan serbuan polis di Ampang yang melibatkan nilai taruhan antara RM300 hingga RM5000. Pada masa yang sama, polis Selangor juga berjaya menahan 23 orang termasuk sembilan wanita warga Indonesia yang terlibat dalam sindiket perjudian haram, membabitkan nilai pertaruhan berjumlah RM15.1 juta.

Modus operandi kegiatan penerima taruhan haram ini cukup mudah dan jimat dari segi kos. Mereka tidak perlu menyewa sebuah premis khas untuk menjalankan aktiviti mereka. Mereka hanya memerlukan talian Internet, telefon bimbit dan pencetak, lantas boleh beroperasi di mana-mana lokasi yang ada kemudahan terbabit sama ada di rumah, kafe siber mahupun restoran. Ini terbukti apabila serbuan polis menunjukkan kebanyakan daripada kegiatan haram ini dilakukan secara dalam talian dengan menggunakan kemudahan Internet. Hal ini membolehkan sindiket penerima taruhan haram ini mampu beroperasi merentasi sempadan dan mempunyai hubungan jaringan antarabangsa termasuk mampu memperoleh pelanggan di luar sempadan negara. Aktiviti pertaruhan pula boleh dilakukan sama ada melalui laman sesawang, khidmat sistem pesanan ringkas (SMS), menggunakan faksimile mahupun khidmat perantara. Pelbagai kemudahan seperti ini memudahkan para pelanggan membuat pertaruhan, menjadikannya menarik dan menggalakkan perkembangan kegiatan haram ini.

Akibatnya, kejohanan Piala Dunia yang berlangsung empat tahun sekali ini bukan sahaja dinantikan oleh peminat setia sukan nombor satu dunia itu, tetapi rupa-rupanya dinantikan dengan penuh minat juga oleh penerima taruhan haram yang dapat meraih keuntungan berbilion ringgit dalam sekelip mata. Tambahan pula pada tahun ini, ramalan seekor sotong kurita bernama Paul yang meramal dengan tepat kelapan-lapan perlawanan dikatakan turut menyumbang kepada peningkatan nilai pertaruhan yang bernilai puluhan ribu. Hal ini sekali gus dilihat terus mencemarkan temasya sukan kebanggaan seantero dunia ini.

Pendedahan kegiatan haram ini juga berlaku serentak dengan isu pihak kerajaan cuba mempertimbangkan pemberian lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. Bagi penduduk majoriti negara ini yang terdiri daripada orang Islam, adalah sangat jelas bahawa judi atas nama apa sekalipun tetap haram walaupun diberikan lesen secara sah dan dikhususkan untuk orang bukan Islam. Lantas apabila telah dihebahkan menerusi media tentang cadangan pihak kerajaan menimbang untuk meluluskan lesen tersebut, maka pelbagai pihak dengan pantas melontarkan pandangan dan maklum balas yang hampir kesemuanya menentang kelulusan tersebut. Berbagai alasan dikemukakan kepada pihak kerajaan agar tidak tersalah langkah. Akhirnya kerajaan membuat keputusan yang bijak dan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd.

Keputusan ini menyebabkan aktiviti judi haram ini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Operasi secara rahsia dijalankan di rumah, restoran dan kafe siber. Walaupun beroperasi secara rahsia namun mereka dapat melaksanakan strategi pemasaran perniagaan yang cukup mantap. Buktinya, mereka mampu memperoleh pelanggan dengan mudah dan cepat tanpa perlu mengiklankannya di media cetak mahupun elektronik.

Pada masa yang sama, kegilaan kaki judi haram juga banyak membantu mengembangkan rangkaian perniagaan judi haram di negara ini. Permintaan yang tinggi dalam kalangan kaki judi juga dilihat antara punca utama kenapa munculnya penerima taruhan haram yang banyak. Bagi kaki judi bola, kedatangan temasya sukan yang besar seperti Piala Dunia merupakan saat yang paling dinanti-nantikan kerana mereka ingin meraih keuntungan yang besar dalam sekelip mata tanpa bekerja bersusah payah seperti orang lain. Malah ada kalangan kaki judi yang sanggup menggadai harta mahupun meminjam dengan sindiket ceti haram seperti along untuk dijadikan modal pertaruhan. Lebih memeranjatkan apabila pihak polis mendedahkan tentang penglibatan beberapa orang ahli perniagaan terkemuka Malaysia yang menjadi dalang sindiket penerima taruhan ini.

Pertumbuhan sindiket penerima taruhan haram dengan begitu banyak sekali ternyata ada asasnya kerana kegiatan ini mampu meraih keuntungan berbilion ringgit terutamanya apabila melibatkan perlawanan yang hebat seperti Jerman bertemu England dan juga Jerman bertemu Argentina. Keuntungan yang berlipat ganda daripada aktiviti ini menyebabkan penerima taruhan haram langsung tidak takut dengan hukuman undang-undang yang bakal mereka hadapi jika tertangkap. Pada masa sekarang, mereka hanya boleh didakwa di bawah Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM200 000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. Jelas, peruntukan hukuman ini langsung tidak menakutkan mereka daripada meneruskan kegiatan haram ini.

Hakikatnya, aktiviti perjudian bola sepak di negara ini bukan hanya muncul pada temasya Piala Dunia sahaja, sebaliknya sudah beroperasi sepanjang masa. Hampir semua perlawanan bola sepak utama pada peringkat antarabangsa terutamanya Liga Perdana Inggeris yang cukup popular dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia terlibat dengan aktiviti ini. Malah kegiatan ini pernah menggoncang arena sukan bola sepak tanah air suatu ketika dahulu yang melibatkan beberapa nama besar dalam sukan bola sepak negara. Aktiviti judi haram ini sebenarnya meninggalkan kesan yang tidak baik kepada perkembangan dan kemajuan sukan bola sepak itu sendiri.

Senario penerima taruhan haram yang terus berkembang mencerminkan gaya hidup yang kurang sihat dalam kalangan masyarakat kita. Kegiatan ini boleh menjerumuskan kaki judi ke lembah keberhutangan yang serius, memecahbelahkan keharmonian rumah tangga serta memberi kesan dari segi mental dan emosi terutamanya apabila kalah pertaruhan. Kerjasama antara polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi lain perlu dimantapkan dan dipererat agar dapat menyelaras aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan.

Pada masa yang sama, hukuman dan undang-undang yang sedia ada juga perlu diteliti semula supaya dapat membantu membendung gejala ini daripada terus merebak. Hal ini kerana, semua agama dalam dunia ini menjurus ke arah kebaikan, maka dipercayai bahawa majoriti masyarakat bukan Islam di negara ini juga akan turut menyokong segala usaha pihak kerajaan untuk mengharamkan perjudian terutamanya kegiatan penerima taruhan haram.

___

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.