Oleh AHMAD FARED MOHD. AFFANDI

Islam menganjurkan penganutnya beristiqamah dalam sesuatu amalan, apatah lagi dengan ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadan.

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Betapa ramai orang yang berpuasa yang tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.” Bulan Ramadan mengajar orang Islam tentang banyak perkara terutama dalam melawan hawa nafsu, mengekang perut daripada kekenyangan dengan pelbagai makanan. Ramadan juga melatih orang Islam mengerjakan banyak amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, bersolat sunat, berzikir dan bertafakur.

Kini, warga kota sibuk membeli makanan buka puasa di Bazar Ramadan sebaik tibanya bulan Ramadan. Oleh sebab kesibukan kerja, kebanyakan warga kota memenuhi ceruk tempat letak kereta dan kaki lima yang dipenuhi peniaga pelbagai juadah berbuka puasa. Bazar Ramadan amat popular, dan pada tahun ini sahaja, dianggarkan setiap tempat di Lembah Klang mempunyai Bazar Ramadan berlesen.

Dalam kemeriahan Bazar Ramadan, ataupun Bufet Ramadan di hotel-hotel terkemuka, wujud satu lagi trend yang mula digemari oleh warga kota – berbuka puasa di masjid tanpa bayaran! Sebelum ini, amalan berbuka puasa di masjid hanya dipenuhi oleh lelaki bujang atau warga asing. Namun hari ini, keadaan semakin berubah apabila ahli keluarga kelas menengah turut memilih masjid sebagai destinasi mereka setibanya waktu maghrib.

Keadaan tampak berbeza ketika bersama-sama warga kota berbuka puasa di Masjid Asy-Syakirin KLCC. Biarpun hujan lebat membasahi sekitar masjid, namun Masjid Asy-Syakirin KLCC terasa “hangat” dengan kehadiran puluhan manusia berlainan bangsa.

Warga tempatan berkongsi juadah yang sama dengan warga Indonesia, Bangladesh, dan Pakistan. Turut kelihatan sama-sama berbuka puasa warga dari negara Arab yang masih menghabiskan cuti musim panas mereka. Kira-kira 200 jemaah mengisi ruang tempat makan yang disediakan oleh jawatankuasa masjid. Ramai jemaah warga kota kelihatan bertegur sapa sewaktu sesi berbuka puasa, sedangkan amalan tersebut tidak begitu diamalkan dalam kejiranan setempat warga kota.

Masjid Pilihan Ramai

Ketika penceramah jemputan menyampaikan tazkirah, seorang demi seorang memenuhi ruang yang disediakan pihak masjid untuk berbuka. Berbagai-bagai ragam manusia boleh disaksikan. Beberapa buah keluarga warga tempatan, dalam bilangan empat hingga lapan orang turut sama dalam majlis berbuka puasa tersebut.

“Berbuka puasa di masjid tidak asing bagi saya dan keluarga. Saya bekerja di sekitar KLCC dan selalunya keluarga akan menunggu saya di masjid. Syukur, saya dan keluarga dapat mengerjakan solat maghrib dan isyak, diikuti dengan solat terawih secara berjemaah,” jelas Mohd Ridwan yang ditemui sedang makan dengan ahli keluarganya. Beliau hadir bersama-sama isteri dan dua orang anaknya yang masing-masing berumur 21 dan 17 tahun.

Menu makanan dan minuman ala kadar yang disediakan pihak masjid diterima jemaah tanpa rungutan. Segala-galanya mengikut tuntutan agar tiada pembaziran pada bulan yang mulia ini.

“Itu juga salah satu sebab saya dan keluarga memilih untuk berbuka puasa di masjid. Sekarang semua harga barangan mentah naik, semuanya perlu diambil kira bagi mengelakkan pembaziran,” jelas Mohd Ridwan lagi.

Jika amalan tersebut diteruskan oleh Mohd Ridwan serta keluarga lain, sikap berbelanja secara sederhana dapat dipupuk dalam kehidupan seharian. Secara tidak langsung amalan ini dapat dihayati bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga pada bulan-bulan lain.

“Berbuka puasa di masjid, dahulunya hanya menjadi pilihan orang bujang, tetapi hari ini orang berkeluarga juga turut meramaikan bilangan jemaah berbuka puasa,” akur seorang pengunjung yang masih bujang. Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Azman mengakui sudah tiga tahun berbuka puasa di masjid.

Azman yang berasal dari Kedah dan bertugas sebagai eksekutif pemasaran di sebuah wisma menjelaskan lagi, “sebagai seorang bujang, saya memilih berbuka di masjid untuk berjimat cermat. Namun kini, amalan ini lebih mendekatkan diri saya dengan masjid.”

Pada waktu solat terawih, 200 orang jemaah tadi memenuhi ruang saf solat. Malam itu, tempat solat jemaah lelaki melimpah keluar hingga ke tangga marmar masjid.

Ironinya, pada hari ini, golongan muda dianggap kurang mendekati masjid. Jika bulan Ramadan berjaya menarik golongan muda ke masjid, golongan ini perlu bermuhasabah diri. Adakah dengan berakhirnya Ramadan, ketakwaan atau cahaya keimanan dalam diri golongan muda tersebut dapat dipertingkatkan untuk terus mendekati masjid?

Jika objektif ini tercapai, menjadi petanda bahawa golongan muda sebenarnya dapat mendekati institusi masjid, sekali gus merancakkan peranan yang biasanya dijalankan oleh golongan tua. Apabila institusi masjid tidak lagi dilihat sebagai kolot oleh golongan muda, mereka akan bersemangat untuk terlibat sama sebagai ahli jawatankuasa masjid.

“Berbuka puasa di masjid juga menambah kenalan baru. Saya juga dapat menambah pelanggan sesuai dengan tugas saya sebagai pegawai pemasaran,” jelas Azman dengan nada seronok.

Sumbangan Makanan Lumayan

Makanan dan minuman berbuka puasa selama sebulan di Masjid Asy-Syakirin KLCC adalah hasil sedekah beberapa individu. Bilangan makanan yang siap dibungkus melebihi 300 bungkus. Para jemaah, termasuklah warga asing yang selesai bertarawih akan membawa pulang saki-baki makanan yang tinggal.

Menurut kakitangan masjid, individu yang menyumbangkan makanan berbuka puasa merupakan beberapa ahli perniagaan yang berjaya di Kuala Lumpur.

Bayangkan jika sebungkus nasi berharga RM4, bermakna seratus bungkusan makanan yang disediakan pada setiap hari bernilai RM400, dan jumlah perbelanjaan sebulan bernilai RM12 000. Kemurahan hati ahli perniagaan tersebut amat sesuai dengan hadis Rasulullah SAW, “Setiap kebaikan itu adalah sedekah dan sesungguhnya termasuk kebaikan adalah engkau bertemu saudaramu dengan wajah yang gembira dan menuangkan air dari timbamu ke bejana tetanggamu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tarmidzi).

Walaupun amalan terbaru warga kota ini menunjukkan perkembangan yang positif, namun orang Islam masih tetap perlu mencari ibadat dan amal yang lebih, dalam memanfaatkan peningkatan rohaniah pada bulan suci ini.

Setiap kali berpuasa, terutamanya ketika berbuka, orang Islam diingatkan supaya menilai kualiti puasa pada hari tersebut. Sambil berbuka puasa, seorang penganut agama Islam perlu beringat dan bertanya kepada diri sendiri berkenaan peringkat ketakwaan, cahaya keimanan dan obor ketauhidan dalam diri mereka, adakah berjaya dipertingkatkan? Sesungguhnya masjid tidak sepatutnya terisi meriah hanya pada bulan Ramadan, tetapi terus disemarakkan pada setiap bulan.

___

Penulis pelakon dan aktivis teater.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.