Semalam, perjalanan merentasi waktu dan batas berlaku ketika melintasi Penjara Pudu yang separuh dimamah puing pembangunan. Perbezaan interpretasi watak zaman seganding dengan beberapa perbezaan yang berlaku di atas tembok dinding berumur 119 tahun, yang pernah digelar antara mural catan terpanjang di dunia, seolah-olah berlangsung dengan begitu jelas.

Grafiti gaya street homie terlakar di atas catan bermotif pokok kelapa dan rumbia paya bakau, pantai dan hutan. Anak-anak muda menurunkan tanda tangan mereka, mengambil adat grafiti jalanan, tulisan yang sengaja diconteng di atas permukaan, sedar kehadirannya akan hilang dibuang. Ironinya, grafiti itu mengiakan nasib yang menimpa Penjara Pudu.

Grafiti-grafiti itu rupanya tidak sahaja “memperindah” tembok Penjara Pudu, tetapi menyampaikan reaksi. Anak-anak muda ini sedang menyatakan isi hati mereka terhadap nasib Penjara Pudu. Kelihatan satu contengan ditulis dengan cat hitam pekat yang tampak dalam bahasa Inggeris, “Wreck In Peace: 1895 – 2010.” Beberapa lagi kekeliruan serta kesedihan tentang riwayat akhir Penjara Pudu dicatat juga di situ. Ada juga yang memprotes tindakan kerajaan membiarkan tembok dan catannya, serta ruang penjara yang sudah 100 tahun tersergam di situ berlalu pergi tanpa meninggalkan kesan.

Di sudut kiri, berdekatan dengan pintu depan utama penjara, foto-foto yang sengaja ditampal memenuhi separuh tembok itu; wajah-wajah anak muda, gembira, riadah dan santai, berekspresi tentang estetika alam dan pembangunan sekelilingnya yang membesar bersama-sama mereka. Hati rasa tercuit, anak-anak muda ini menggunakan seni untuk mengekspresikan suatu kenyataan yang mendalam tentang perobohan Penjara Pudu. Separuh sinis, tetapi sepenuhnya jiwa – anak-anak muda ini meletakkan “sejarah” mereka untuk dilihat oleh orang lalu-lalang. Kenyataan ini kritikal terhadap ketidakmampuan masyarakat serta pihak berkuasa untuk melihat dan mencari pengertian dalam bangunan lama. Dari sudut lain, mereka juga menyatakan kekeliruan “sejarah”, adakah sejarah itu hanya berguna kepada sesuatu yang praktikal, dan tidak berguna sebagai sesuatu untuk diingati?

Sutradara Malaysia yang kritis, Allahyarham Yasmin Ahmad pernah mengatakan, biarlah anak muda terlupa tentang sejarah mereka. Baginya apa-apa yang dilupai akan dibaca kembali, dikaji dan dijejaki dengan pengisian yang baharu, mengikut inti pati dan kesedaran anak muda itu sendiri, menolak didaktisme sehala yang sudah terbiasa dalam sistem sekolah konvensional.

Sewaktu memerhati foto-foto di dinding tembok, kelihatan berderet anak muda dengan baju kerja dari Berjaya Time Square melintas di hadapan, tidak memandang pun foto-foto atau tembok yang separuh roboh di belah kiri mereka. Mungkin, mereka sudah biasa melalui kawasan Penjara Pudu itu, lantas foto-foto dan hasil seni itu tidak dipedulikan. Saat itu, tercetus kesedaran, dalam mana-mana masyarakat pun golongan mudanya ada sebilangan peratusnya yang mengambil tahu tentang isu, sejarah dan politik semasa negara, dan sebilangan lagi yang meneruskan hidup tanpa ingin mengambil peduli hal itu. Simbolisme foto di tembok, serta orang lalu-lalang amat jelas menyatakan situasi suara anak muda sekarang.

Ketika kaki melangkah untuk meneruskan perjalanan, mata terpandang sekeping foto yang tertampal sudah terdampar di lantai kaki lima. Foto itu menggambarkan pasangan pengantin yang tersenyum gembira. Mereka optimis, walau bagaimana perubahan hidup berlaku, dan tatkala modenisasi mengambil tempatnya, mereka perlu terus meraikan hidup. Mungkin itulah mesej terakhir yang ingin disampaikan oleh anak muda ini terhadap perobohan Penjara Pudu, sekali gus terhadap perubahan semasa negara. Dalam senyum, sambil menyeluk foto itu ke dalam poket seluar, kaki segera melangkah meninggalkan Penjara Pudu yang masih menghadap matahari senja.

Fadli al-Akiti
fadhli@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.