Pada pagi Sabtu 21 September 2013, sekumpulan lelaki bersenjata api menyerbu masuk ke dalam pasar raya Mall Westgate di pinggir Bandar Nairobi, sebelum menembak bertalu-talu ke arah pelanggan pasar raya empat tingkat itu yang asyik membeli-belah untuk keperluan harian. Tembakan rambang dengan menggunakan senjata automatik serta lontaran bom ke segenap arah menyebabkan suasana yang tenang bertukar menjadi panik apabila ratusan orang awam bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada ditembak oleh kumpulan lelaki yang tidak dikenali.
Kesan daripada letupan bom tangan itu menyebabkan banyak bahagian bangunan mengalami rosak teruk, termasuk lantai bangunan di tingkat dua yang runtuh dan terbakar. Kompleks membeli belah terkenal di kota Nairobi itu ditawan lebih 10 orang lelaki berpakaian preman yang bersenjatakan raifal serta M-16 selain bahan granit dalam serangan nekad yang mengejutkan semua orang.
Kejadian yang tidak disangka-sangka itu menyebabkan pasukan tentera Kenya mengepung pusat membeli belah tersebut selama tiga hari sebelum kumpulan komando menyerbu masuk dan berjaya menembak mati lima daripada 16 penyerang terbabit. Dianggarkan 67 orang terbunuh serta ratusan daripada mereka cedera parah dalam konflik yang berlangsung selama 60 jam itu apabila 61 daripada mangsa orang awam dan selebihnya anggota pengganas.
Sebaik-baik sahaja berakhir tragedi yang menggemparkan dunia itu, Presiden Kenya, Uhurru
Kenyatta, mengumumkan pengepungan terhadap pusat membeli belah Mall Westgate berakhir sebelum mengisytiharkan negara itu berkabung selama tiga hari.
Dalam ucapan yang disiarkan oleh rangkaian televisyen Kenya ke seluruh negara, beliau dengan penuh terharu mengucapkan tahniah kepada semua anggota keselamatan yang berani dan bertindak bijak dalam menangani tragedi yang menggemparkan seluruh dunia itu. Kenyataan Uhurru
Kenyatta sebagaimana disiarkan oleh rangkaian televisyen Al-Jazerra menyebut, “Segala-galanya sudah tamat. Kenya berjaya menundukkan kejahatan dan beroleh kemenangan.
Kita telah mengalahkan musuh dan menunjukkan kepada dunia apa yang telah kita capai.”
Tidak sampai 24 jam tragedi serangan di Nairobi itu, kumpulan As-Shabab yang berpangkalan di Somalia mengaku bertanggungjawab atas insiden yang berlaku.
Kumpulan militan Muslim Somalia yang bergabung di bawah panji rangkaian Al-Qaeda itu menyatakan bahawa serangan itu berpunca daripada tindak balas oleh kehadiran
tentera Kenya di negara Somalia yang menyertai misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melumpuhkan gerakan Al-Shabab khususnya di bahagian selatan Somalia yang banyak menguasai pelabuhan penting serta kawasan yang kaya dengan hasil galian di wilayah Kismayo. Sebelum ini Etiopia juga menarik kembali tentera mereka daripada menyertai tentera Pengaman PBB atas sebab yang sama, iaitu keselamatan awam.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.