Oleh Suria Janib
Daripada keluaran Februari hingga Mei 1989, Dewan Masyarakat (DM) “meletup” dengan isu tragedi Natrah. Natrah dikenali juga sebagai Nadra, Huberdina Maria Hertogh atau Bertha. Tugas membongkar semula isu sudah lama terpendam bukan kerja yang mudah. Ketika itu Fatini yang bertugas sebagai wartawan DM mengambil masa tiga bulan untuk melakukan penyelidikan dan penyiasatan, membongkar sekurang-kurangnya 100 ribu helai dokumen serta melibatkan perjalanan sejauh lebih 150 ribu kilometer di lima buah negara.
Semua cerita Natrah, sejak kecil, dewasa hingga akhir hayatnya, tersimpan kemas di kotak fikiran beliau. Beliau pun tidak menyangka dirinya jauh lebih mengenali Natrah daripada Natrah mengenali dirinya sendiri. Datin Sri Fatini Yaacob, penulis siri penyiasatan Natrah, punya cerita tersendiri di sebalik cerita suka duka Natrah.
“Saya tidak tahu pun tentang Natrah, kerana selepas lapan tahun rusuhan Natrah saya baru dilahirkan. Pada tahun 1970-an, dikhabarkan Natrah dikatakan cuba membunuh suaminya. Wartawan majalah DBP diminta membuat kajian. Saya dipanggil oleh Ketua Editor Bahagian Majalah ketika itu (Datuk) Johan Jaaffar untuk menggali cerita Natrah,” ceritanya.
Beliau pergi ke Arkib Negara untuk membuat penyelidikan, satu persatu helaian surat khabar terbitan 1950-an dibeleknya. Walaupun beliautidak tahu apa-apa tentang Natrah, akhirnya beliau tahu tentang semua perkara tentang Natrah selepas membuat penyelidikan termasuk di perpustakaan akhbar United Kingdom dan arkib negara Belanda.
Beliau perlu mencari latar belakang Natrah dan perlu mewawancara Natrah yang ketika itu tidak berada di Belanda, yang ada hanya bekas suami dan anak-anaknya. Jadi, beliau pulang dahulu ke Malaysia untuk menyiapkan tugasan bahan untuk siri tulisan tentang Natrah untuk bulan berikutnya. Sesudah itu beliau pergi ke Amerika Syarikat dengan membawa dua orang anak Natrah sebagai syarat untuk dapat mewawancara Natrah. Jika tidak, mereka tidak akan memberikan kerjasama dengannya.
“Oleh sebab saya dilatih dalam dunia kewartawanan,untuk bersifat profesional dan tahan lasak dari segi mentaldan jiwa, maka saya mesti mengharungi segala cabaran demi tanggungjawab untuk mendapatkan Natrah dan ceritanya,” katanya.
Pada masa itu, walaupun sudah membuat penyelidikan yang mendalam, menempuh perjalanan yang panjang, dengan terbitan siri Natrah selama empat bulan, beliau masih lagi berasa tidak puas hati. Beliau terasa ada sesuatu yang masih tertinggal.
“Walaupun sudah berjaya mendapatkan Natrah, secara peribadi saya berasa tugas saya belum selesai. Timbul persoalan dalam fikiran saya, mengapakah Natrah begitu disayangi bangsa Melayu. Sedangkan Natrah sangat benci dan takut kepada orang Melayu? Soalan ini tergantung selama 20 tahun, sehingga Natrah sendiri meninggal dunia pada 8 Julai 2009,” luahnya.
____ Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2013.
Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.