Oleh Suria Janib
Umum mengenali Dewan Masyarakat (DM) sebagai majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta cenderung ke arah kerajaan semasa. DM yang kini sudah meniti usia emas bermula sebagai majalah umum yang memberikan ilmu, maklumat, dan pengetahuan. Ketika DM dilahirkan pada September 1963, tidak banyak majalah yang seangkatan dengannya di pasaran. Oleh sebab itu, majalah DM kurang persaingan, lebih popular, dan bahan bacaan yang wajib dibaca oleh semua orang.
Sepanjang usia emas tersebut sudah tentu pelbagai pengalaman pahit manis yang dilalui oleh DM. DM pada awal tahun 1989 pernah mengecap puncak gemilang seperti yang diakui oleh bekas Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Datuk Johan Jaaffar. Beliau yang juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP (2006 hingga 2010) mengakui pada tahun tersebut jualan DM meningkat mendadak mencecah edaran 100 ribu naskhah.
Menceritakan pengalamannya mengenali DM, Johan mengaku DM suatu ketika dahulu amat dikenali oleh hampir semua orang. Bagi mendapatkan naskhah DM, beliau terpaksa berkongsi dengan seorang rakannya.
“Ketika itu harga DM, 60 sen senaskhah. Saya berkongsi 30 sen dengan seorang rakan saya lagi untuk membeli DM sewaktu di kampung,” katanya.
Ketika DM lahir pada tahun 1963, beliau berada di sekolah darjah empat. Selang beberapa tahun selepas itu, beliau sudah pun mengenali DM. Walaupun masih di bangku sekolah rendah, baginya membaca dan memiliki DM semacam suatu keperluan. Beliau mendapatkan DM hampir setiap bulan di pekan Semerah, tidak jauh dari kampungnya.
Beliau juga mula menulis di Dewan Pelajar, satu lagi terbitan DBP dan Utusan Pelajar, terbitan Utusan Melayu ketika beliau berumur 12 tahun.
“Saya banyak membaca DM untuk membaiki bahasa saya kerana DM menjadi majalah contoh yang disunting dengan baik. Selain DM, Dewan Sastera di bawah pimpinan Usman Awang yang diterbitkan pada tahun 1971 menjadi bahan bacaan wajib saya. Inilah majalah terbitan DBP yang mencorakkan tulisan saya,” akuinya.
Menurutnya, beliau sempat berkhidmat di Unit Terjemahan dan Unit Penyelidikan DBP selama dua tahun sebelum berkhidmat di Bahagian Majalah. Beliau bermula sebagai Editor Dewan Siswa, juga sebelum itu membantu Editor Dewan Budaya. Beliau bermula di majalah sebagai Penolong Editor Dewan Budaya (terbit tahun 1979), kemudian menjadi Editor Dewan Siswa. Pada tahun 1988, beliau menjadi Ketua Pengarang majalah DBP.
Pada tahun 1990 hingga 1991, beliau menjadi Ketua Bahagian Penerbitan Umum. Ketika itu edaran DM sekitar 25 ribu hingga 35 ribu dan beliau cuba meningkatkan edaran DM dengan menyelongkar kisah kemanusiaan yang diminati ramai. Ketika menyiarkan kisah Maria Hertogh (Natrah), DM melangkah lebih jauh dengan menjejak Natrah hingga Amerika Syarikat. Berbekalkan keberanian pasukan DM termasuklah Fatini Yaacob, isu Natrah berjaya menaikkan jualan DM hingga mencecah 100 ribu edarannya.
Katanya bagi meningkatkan jualan DM perlu ada elemen yang menepati kehendak pembaca kerana pada masa ini terlalu banyak persaingan majalah di pasaran.
“Soalan yang sering saya tanya kepada editor, adakah majalah kita dibaca orang? Kedua, perlu ada penyuntingan yang baik. Prinsip penulisan saya bagi sesebuah rencana, teks tidak lebih daripada 700 patah perkataan atau satu ayat tidak lebih daripada 12 patah perkataan, serta mengikut indeks ‘Sungai Balang’,”katanya. Nama Sungai Balang diambil sempena tempat kelahiran beliau. “Kalau perkataan atau frasa itu tidak difahami oleh orang kampung saya, usah gunakan,” katanya.
____ Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2013.
Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.