Oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub
Namanya menjadi sebuah naskhah yang dikagumi, dihormati dan dipercayai ramai. Kini seiring dengan usianya yang menjangkau setengah abad, “dia” bukan sahaja terus gah berada di persadanya yang tersendiri, malah masih mampu bertahan
tatkala “teman-teman” lain sudah melabuhkan tirai masing-masing. Begitulah teguhnya sebuah entiti yang juga diberi jolokan “tiang bendera” Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak awal penerbitannya.
“Dia” yang dimaksudkan ialah majalah Dewan Masyarakat (DM) yang kini sedang meniti perjalanan emas untuk menuju ke puncak yang lebih kemilau sinarnya. Tempoh 50 tahun bukan
tempoh yang singkat. Perjalanan setengah abad majalah di bawah payung DBP ini melalui pelbagai episod suka dan duka dalam usaha untuk memberikan input dan persembahan terbaik
kepada pembaca tegarnya.
Majalah yang turut diberi jolokan “mercu tanda” DBP ini terus mengorak langkah dalam
usaha untuk memberikan yang terbaik kepada pembaca setianya. Buktinya, pada tahun ini
DM sekali lagi melakukan perubahan dengan melakukan penjenamaan semula dan pembaikan
beberapa aspek yang difikirkan perlu dalam usaha untuk memantapkan isi kandungan majalah ini.
DM terus melangkah dengan penuh bergaya walaupun pada hakikatnya kebanyakan pembaca
kini mula beralih kepada media elektronik yang dengannya segala maklumat dipetik melalui hujung
jari sahaja.
Namun begitu, bagi golongan yang membesar bersama-sama dengan DM, mereka tetap setia mendapatkannya walau di mana sahaja mereka berada. Hal ini merupakan penghargaan
besar buat DM tatkala terdapat sebilangan golongan yang mula memperkecil keupayaan majalah ini.
Bagi pembaca setia, membaca bahan bacaan secara fizikal lebih terkesan di hati dan minda mereka berbanding dengan hanya merujuk laman sosial. Walaupun DM juga mempunyai laman sosialnya sendiri, golongan yang mengenali majalah ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu, tetap memilih untuk mendapatkan naskhahnya dalam bentuk fizikal setiap bulan. Mereka berasa puas apabila dapat menyentuh dan menatap majalah ini secara dekat.
Respons daripada golongan muda juga amat memuaskan selepas penjenamaan semula dilakukan pada awal tahun ini. DM sedaya upaya cuba menepis andaian pihak tertentu yang mengatakan bahawa DM hanya untuk golongan pertengahan usia dan langsung tidak mengendahkan pembaca yang lebih muda. Hasil kajian yang dilakukan menyangkal dakwaan ini sama sekali kerana DM telah berjaya menarik minat golongan muda untuk sama-sama menjadikan bahan bacaan ini sebagai pilihan mereka!

____ Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat (DM) Disember 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.