Oleh A Kadir Jasin

Dalam keluaran lalu, saya bercerita mengenai perjalanan sama ada dalam bentuk masa atau jarak, memberikan kita perbandingan dan daripada perbandingan maka, lahirlah perspektif. Ibarat kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan.
Dari pinggir Sungai Pendang yang berlumpur pada tahun 1940-an ke Sungai Plate yang luas terbentang pada tahun 1990-an, perjalanan saya dan perjalanan negara kita boleh dikira cukup jauh dalam ukuran masa dan jarak.
Dalam bahasa Sepanyol, bahasa penjajahan utama di Amerika Selatan, Sungai Plate disebut Rio De La Plata yang bermaksud sungai perak. Yang merupakan hasil pertemuan dua batang sungai besar, iaitu Uruguay dan Parana. Rio De La Plata yang meluahkan airnya ke Lautan Atlantik memisahkan Argentina dan Uruguay.
Sewaktu saya dilahirkan, Sungai Pendang merupakan sungai dalam erti kata sebenar. Airnya masih ada pasang surut. Banjir yang meragut nyawa turut menyuburkan sawah dan ladang – membawa bersama-sama penderitaan dan kemakmuran.
Nelayan dan pendayung tongkang mudik ke hulu dan hilir mengikut rentak pasang surut airnya. Sampan, perahu, tongkang, dan motobot merupakan kaedah pengangkutan biasa yang bergantung pada musim.
Pada musim kemarau, air Sungai Pendang separas pinggang – jernih bagaikan kaca
kecuali diharung manusia dan haiwan. Pada musim banjir, airnya melimpahi tebing sehingga berbatu-batu jauhnya. Sungai itu menjadi laut. Airnya laju, berlumpur dan mengancam.
Itulah sungai ciptaan Tuhan; tidak bertebing, tidak terkepung, bebas naik turun mengikut rentak musim. Sewaktu saya dilahirkan pada bulan Ogos 1947, dunia
baru dua tahun selesai menyaksikan Perang Dunia Kedua yang meragut lebih 60 juta nyawa atau kira-kira 2.5 peratus penduduk dunia pada waktu itu. Jerman menyerah kalah pada 2 Mei 1945, diikuti oleh Jepun empat bulan kemudian, iaitu pada 2 September.
Tidak sampai dua tahun Perang Dunia Kedua tamat dan 10 bulan saya dilahirkan, Darurat diisytiharkan di Tanah Melayu akibat pemberontakan bersenjata Parti
Komunis Malaya (PKM). Darurat itu bermula pada 16 Jun 1948 dan berakhir 12
tahun kemudian pada 12 Julai 1960. Kejadian itu meragut nyawa 1346 orang anggota pasukan bersenjata Malaya dan 519 orang anggota tentera British dan Komanwel.
Sebanyak 2406 orang anggota pasukan bersenjata Malaya dan Komanwel cedera. Sementara itu, sebanyak 2478 orang awam terkorban dan 810 orang hilang. Di pihak komunis pula, 6710 orang terbunuh, 1289 orang cedera, 1287 orang ditawan dan 2702 orang menyerah diri.
Saya masih ingat lagi bahaya, ketakutan dan kesusahan hidup ketika Darurat pertama itu. Kita sering dalam ketakutan kerana tentera komunis menggunakan
taktik ancaman, peras ugut, dan tindak balas yang dahsyat. Di kampung saya, yang boleh dikira jauh dari hutan belantara pun, angkara komunis amat Pasukan Home Guard melakukan pemeriksaan.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarkat Mac 2013.
Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.