Oleh Noor Azam
Betulkah perutusan Krismas Lim Guan Eng, menggesa kerajaan membenarkan kalimah “Allah” digunakan dalam Bible Melayu, menyebabkan “orang Islam huru-hara”?
Gambar yang saya jadikan tajuk komentar ini dirakamkan Irwan Majid, disiarkan dalam Utusan Malaysia, 25 Januari 2013.
Tunjuk perasaan itu, pada 24 Januari, di Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan, hanya disertai kira-kira “50 orang penduduk Islam termasuk penyokong Pas”.
Ada bendera besar Pas, dan tulisan pada sepanduk itu pun warnanya hijau. Namun yang jadi tanda tanya dan merangsang fikiran saya, bukan tunjuk perasaan, tetapi tulisan pada sepanduknya. Memanglah – untuk tujuan memancing undi bukan Melayu, terutama penganut Kristian di Sabah dan Sarawak – Lim Guan Eng sengaja menjolok sarang tebuan – menyemarakkan kembali isu ini yang mudah jadi api yang membakar. Tetapi, apakah benar, Guan Eng yang menjadikan orang Melayu-Islam “huru-hara” lari berselerak, bergelimpangan jatuh ke dalam parit, paya dan sungai, berlanggar sesama sendiri – takut disengat tebuan dan terbakar?
Tanda tanya ini jadi makin segar, apabila terbaca pula komentar Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia 27 Januari lalu. Kata Awang Selamat, “Selagi Guan Eng tidak menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf, selagi itulah kemarahan umat Islam tidak akan reda.”
Tambahnya, “Tetapi Awang ragu beliau akan menarik dan memohon maaf kerana umat Islam bagaikan tidak layak mendapat kemaafan beliau. Tak ubah seperti nilai orang Islam cuma 10 sen. Sudahlah begitu, mudah diperbodohkan.”
Berdasarkan kenyataan pemimpin-pemimpin tertinggi Pas, terutama Presidennya Tok Guru Datuk Abdul Hadi, Timbalannya Mohamad Sabu, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib,Ketua Pemuda dan perilaku politik Mursyidul Am, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz, nyata sekali gelagat politik yang haru-hara itu bukanlah disebabkan Guan Eng. Begitu jugalah halnya dengan kenyataan tokoh-tokoh politik bekas pemimpin Pas dan PKR yang garang sekali menyerang Guan Eng,Pas dan PKR, bukanlah salah Guan Eng.
Benarlah seperti kata Awang Selamat, “nilai orang Islam cuma 10 sen dan mudah diperbodohkan”. Maka huru-haralah jadinya orang Islam. Dalam kalangan pemimpin besar Pas, yang nampak fikirannya tak huru-hara, hanyalah Datuk Dr. Haron Din. Timbalan Mursyidul AmPas ini dengan jelas dan tegas mengatakan – dari awal-awal lagi – kalimah Allah sama sekali tak boleh digunakan oleh orang
bukan Islam. Pendirian beliau ini tak pernah berubah-ubah ikut angin politik, seperti Tok Guru Abdul Hadi dan Tok Guru Nik Aziz.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2013.
Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.