Oleh Noor Azam
Belum pernah terjadi dalam sejarah kita, minat rakyat kepada pilihan raya begitu ghairah sekali. Dari segi amalan demokrasi, ini perkembangan kesedaran politik yang positif. Rakyat pelbagai golongan melibatkan diri untuk menentukan masa hadapan bangsa dan negara. Memilih pemerintah negara, bukan kerja suka-suka. Tidak boleh ikut hati dan rasa.
Tsunami politik 2008, melahirkan satu pakatan politik pembangkang yang kuat, yang belum pernah terjadi sebelum ini. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terus mengikat kerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun kedua-dua parti itu tiada persamaan dengan perjuangannya sebagai parti Islam. Malah PAS sanggup merobah matlamat perjuangannya demi mengekalkan kerjasama itu.
Persamaan yang ada hanya satu: menawan Putrajaya. Itulah senjata kekuatan politik mereka. Kekuatan pakatan politik pilihan raya ini menyebabkan pemimpin
tertinggi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), mengatakan
secara terbuka, Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini “kritikal” dan akan menentukan masa hadapan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Di mana-mana orang bertanya – termasuk yang tidak pernah berminat politik pun: Boleh menang dan boleh bertahankah lagi BN? Akan sampaikah hajat Pakatan Rakyat menawan Putrajaya? Tiada siapa pun, secara jujur dan yakin, berdasarkan fakta yang realistik dan nyata, berani memberikan jawapan terbuka yang pasti dan tegas. Sebab itulah sudah lebih setahun, kedua-dua pihak terus memperhebat kempen dengan bermacam-macam cara. Kempen panjang yang getir, yang belum pernah terjadi selama lebih 50 tahun – sejak PRU pertama tahun 1955. Secara kebetulan pula Datuk Seri Mohd. Najib, Perdana Menteri sekarang – meskipun semakin popular dan gagah – belum mendapat mandat dari rakyat. Hanya mandat parti. PRU inilah yang akan menentukannya.
Banyak serangan pembangkang yang perlu ditentang, tetapi suasana makin cerah, tanda-tanda kemenangan makin bertambah. Pembangkang pula setelah hampir lima tahun, masih belum berani membentuk pakatan politik yang rasmi seperti BN. Malah dalam beberapa isu penting masih bertelagah – menghakis keyakinan rakyat bahawa mereka akan dapat jadi pemerintah yang lebih baik – menggantikan BN.
Siapakah yang jadi pilihan? Keputusan di tangan pengundi yang mengundi. Apakah faktor yang menentukan pilihan pengundi? Calon atau parti atau calon dan parti?
Persepsi buruk dan sentimen negatif terhadap kerajaan? Wang? Pengaruh keluarga, imam, tuk guru, ketua kampung? Kempen dan rapat umum?
Kesetiaan terhadap parti mungkin penting. Namun, yang akan memberi kemenangan bukanlah ahli semata-mata, kerana jumlah pengundi bukan ahli, jauh lebih ramai daripada yang jadi ahli. Justeru, tiada parti yang boleh menang dengan hanya undi ahli.Inilah masa rakyat jadi “raja”. Tiap satu undi, termasuk yang bertongkat dan di kerusi roda, di rumah setinggan dan yang miskin hina, sama harganya.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.