Oleh Aninah Janang
(aninah@dbp.gov.my)
Tiada sesiapa dapat menghalang seorang rakyat Tunisia, Mohamed Bouazizi, berusia 26 tahun, daripada membakar dirinya di hadapan pejabat kerajaan Tunisia. Ketika kejadian, pada 17 Disember 2010, Bouazizi yang bekerja sebagai penjual sayur dan buah-buahan berjalan kaki ke pasar untuk memulakan perniagaannya.
Seorang polis wanita cuba menghalang Bouazizi dan mengarahkannya menyerahkan supaya semua peralatan perniagaan miliknya selepas mendapati
Bouazizi tiada permit perniagaan. Namun, menyedari kehidupannya sekeluarga hanya bergantung pada perniagaan tersebut, Bouazizi enggan mengikut arahan
tersebut. Lantas, berlaku pertengkaran antara mereka.
Polis terbabit bertindak memaki hamun, menampar dan menolak Bouazizi sehingga beliau jatuh tersungkur. Pihak polis berjaya merampas peralatan dan kesemua
barangan jualannya. Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut tidak mampu berbuat apa-apa kerana itu bukanlah kali pertama Bouazizi dibelasah
dan dimalukan oleh pihak berkuasa. Sebelum itu, polis mendendanya sebanyak 400 dinar (RM800), iaitu bersamaan dengan dua bulan hasil pendapatannya.
Hal ini memberikan bebanan yang cukup besar kepada Bouazizi. Meskipun sudah lali diherdik pihak berkuasa, namun kejadian petang itu amat mengecewakannya.
Lantas, Bouazizi ke Pejabat Kerajaan Tunisia dengan tujuan ingin bertemu pegawai yang bertugas bagi membincangkan masalah yang dihadapinya.
Namun, usaha tersebut gagal. Beliau dimaklumkan bahawa pegawai berkenaan sedang bermesyuarat. Bagi Bouazizi, alasan tersebut hanyalah penipuan semata-mata. Tiada sesiapa yang mahu mendengar permasalahan rakyat. Birokrasi yang menebal menyebabkan suara rakyat diketepikan.
Akibat terlalu kecewa, akhirnya Bouazizi bertindak membeli bahan bakar. Di hadapan bangunan kerajaan Tunisia, sambil bermandikan minyak petrol, Bouazizi
membakar dirinya. Dunia gempar! Rakaman Bouazizi membakar diri mencetuskan polemik yang pelbagai. Kemarahan rakyat mengakibatkan mereka bangkit menentang pemerintah.
Dari Tunisia, kebangkitan ini tersebar ke seluruh tanah Arab. Menganjur dari Libya, Mesir, Iraq, Iran dan Syria, gelombang Arab “bersahutan”. Tanah Arab bergoncang. Tunisia yang sebelumnya diperintah oleh rejim diktator  dan korup, Zine El Abidine Ben Ali akhirnya tumpas kepada Parti An Nahda dalam pilihan raya umum pada 23 Oktober lalu. Bagi kebanyakan negara Arab, kemenangan tersebut merupakan titik awal demokrasi yang diimpikan.
Melihat kejadian yang melanda kebanyakan Tanah Arab, sesungguhnya rakyat Malaysia bertuah. Apa-apa yang berlaku di bumi Arab – kemiskinan, peluang pekerjaan yang terhad, ekonomi merudum, birokrasi melampau, dan kebebasan bersuara yang tertutup – tidak berlaku di negara ini. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, kita dikurniai pelbagai limpahan ekonomi yang dapat menjana pertumbuhan negara. Akhirnya, setiap rakyat di negara ini mendapat nikmat. Semuanya merupakan hasil daripada kematangan pemimpin yang mengemudi Malaysia.
Lantaran itu, gesaan pemimpin pembangkang supaya rakyat negara ini menggerakkan gelombang Arab sekiranya mereka gagal menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 kelak perlu ditolak! Pergolakan di Tanah Arab perlu difahami dengan jelas – rakyat di negara tersebut bangkit menentang kerajaan untuk menuntut peluang pekerjaan dan kebajikan sosial yang tidak terbela sejak sekian lama.
Persoalannya, adakah rakyat di negara ini menderita seperti yang dialami kebanyakan rakyat di negara Arab? Kerajaan melakukan pelbagai program transformasi untuk rakyat. Tidak terkira banyaknya bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Setiap peringkat umur, bangsa, dan agama mendapat pelbagai bantuan. Ingatlah, apa-apa yang kita nikmati hari ini perlu dipertahankan. Usah cemari demokrasi yang kita nikmati selama lebih 50 tahun. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2013.
Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.