Oleh A Kadir Jasin

Dalam kemunculan kali ini, saya akan bercerita. Saya mulakan dengan bercerita
mengenai perbezaan amalan perubatan dan tahap kesihatan pada waktu saya
dilahirkan, iaitu pada tahun 1947, berbanding dengan waktu anak cucu saya.
Apabila Timbalan Editor Dewan Masyarakat (DM), Suria Janib, bertanya sama ada saya boleh kembali menyumbang kepada majalah ini, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah apa lagi yang boleh saya tuliskan?
Kali terakhir saya menulis secara berterusan dalam DM adalah pada penghujung abad lalu. Dalam siri itu, saya menulis mengenai pelbagai tajuk dan isu.
Alhamdulillah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermurah hati membukukan
tulisan saya itu dalam himpunan berjudul “Membangun Bangsa dengan Pena” pada
tahun 2009.
Saya bertanya kepada beliau, apa yang patut saya tulis? Beliau berkata, terpulang kepada saya. Saya turut berbincang dengan orang lama dunia penulisan dan antara pendukung DBP, Datuk M. Noor Azam. Setelah berfikir panjang, saya memutuskan untuk tidak menulis rencana. Sebaliknya, saya akan bercerita mengenai apa-apa yang saya ingat selama 65 tahun usia saya.
Bukan sangat hendak bercerita mengenai diri saya, tetapi untuk mengembalikan tradisi bercerita yang pada satu ketika dulu menjadi sebahagian daripada amalan masyarakat Melayu.
Saya perhatikan tradisi ini makin hari makin tidak diamalkan sedangkan di negara-negara maju yang saya lawati, sama ada kerana tugas atau mengunjungi anak cucu, saya dapati tradisi bercerita masih hidup segar.
Ibu bapa bercerita atau membaca buku cerita kepada anak-anak pada masa tertentu, khasnya sebelum tidur yang dipanggil bedtime story, iaitu bercerita bagi menidurkan anak-anak.
A l h a m d u l i l l a h , s a y a membesar dengan tradisi itu. Agaknya itulah antara sebab saya gemar membaca dan bercerita, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan. Elok saya sebutkan, iaitu majoriti tukang cerita saya buta huruf.
Emak yang buta huruf menceritakan kisah sedih “Batu Belah Batu Bertangkup” dan
“Bawang Putih Bawang Merah”. Datuk yang juga buta huruf menceritakan kisah kepahlawanan “Awang Parang Panjang”, “Raja Bersiung”, dan cerita dia memburu haiwan liar sebagai pengawal ladang Inggeris di Perak dan Kedah.
Nenek pun buta huruf juga dan dia bercerita mengenai serangan buaya ketika mandi di sungai dan cara memuja semangat padi.
Hanya ayah yang celik huruf. Jadi, lebih pelbagailah cerita yang dikisahkannya melalui pembacaan, seperti terjemahan “Kalilah and Dimnah” oleh Thomas Irving, “Seribu Satu Malam” dan “Sinbad”. Lebih daripada itu, semua mereka pandai bersyair.
Hari ini, dalam masyarakat kita, oleh kerana tradisi bercerita tidak lagi diamalkan dengan meluas dan minat membaca kurang subur, kepandaian dan keberanian bercerita dalam kalangan generasi muda semakin merosot.
Jadi, dalam kemunculan kali ini, saya akan bercerita. Saya mulakan dengan bercerita mengenai perbezaan amalan perubatan dan tahap kesihatan pada waktu saya dilahirkan, iaitu pada tahun 1947, berbanding dengan waktu anak cucu saya.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.