Oleh A Kadir Jasin
Menyambung cerita kebaikan bercerita, saya hendak bercerita sedikit lagi mengenai amalan bercerita di negara maju, semoga menjadi ilham dan contoh kepada kita. Di negara kita, tradisi bercerita ini kalau masih hidup pun hanya tertumpu pada sebilangan kecil anggota kelas menengah, terutama yang terdedah kepada pendidikan Barat atau yang meneladani aspek positif orang Barat.
Di negara Barat, amalan ini diteruskan sama ada kerana kebiasaan atau desakan sistem pendidikan. Di Switzerland, misalnya membaca buku atau bercerita kepada anak-anak sangat diutamakan.
Kanak-kanak tidak diajar menulis dan membaca sehingga mereka masuk sekolah
rendah ketika berumur enam tahun. Di kelas tadika, mereka diajar kemahiran sosial dan kecekapan tangan.
Mereka diajar bermain di dalam dan di luar bilik darjah, diajar bergaul dan dibawa berjalan ke tempat-tempat penting, seperti balai polis, balai bomba, taman, sungai, dan tasik. Mereka diajar menyeberang jalan dan tolong-menolong.
Ibu bapa pula tidak dibenarkan mengajar anak mereka menulis dan membaca. Mereka digalakkan membaca dan bercerita kepada anak dan berkomunikasi sepanjang masa. Menonton televisyen dan mainan komputer diselia dan dihadkan.
Tidak hairanlah anak mereka fasih bertutur, suka bertanya sejak kecil dan cekap menggunakan tangan. Apabila dihantar ke sekolah rendah, gabungan sistem pengajaran di rumah, di kelas tadika, dan kaedah pembelajaran yang mantap, kanak-kanak tahun pertama boleh menulis dan membaca dengan baik selepas enam bulan.
Kini, oleh sebab anak kita tidak didedahkan kepada penceritaan, mereka bukan sahaja tidak pandai bercerita apabila bersekolah, malah banyak yang tidak suka membaca buku cerita. Walaupun saya lahir dan membesar dalam persekitaran yang serba kekurangan dan buta huruf berleluasa, saya bernasib baik dikelilingi oleh buku, majalah dan akhbar kerana Allahyarham ayah saya gemar membaca dan mengutamakan pembacaan.
Saya sangat beruntung kerana gabungan antara pendedahan kepada tradisi bercerita ketika kanak-kanak dan pembacaan yang meluas menyebabkan membaca, berartikulasi, bercerita, dan berpidato menjadi sesuatu yang mudah dan semula jadi kepada saya.
Membaca ialah pengembaraan minda. Lama sebelum saya berpeluang menjelajah di dalam dan di luar negara, saya sudah sampai ke banyak tempat dan mempelajari mengenai banyak perkara dengan membaca.
Menyambung cerita, saya ingin membawa pembaca ke tebing Sungai Pendang di Kedah. Ketika saya kanak-kanak, sungai itulah sungai paling gah yang saya kenali. Sekali gus sungai itu berguna dan berbahaya. Sungai yang memberi penghidupan dan sungai yang meragut nyawa.
Bagi saya ketika itu, Sungai Pendanglah sungai paling luas, menakutkan, dan menuntut dihormati. Memang betul pun. Airnya masih pasang surut. Ada lubuk yang sangat dalam dan air tebing melimpah hingga berbatu-batu pada musim bah. Sekali-sekala buaya menyerang manusia dan haiwan ketika mandi-manda atau bersampan. Tidak hairanlah kalau pawang buaya sangat dihormati dan diperlukan.
Di pinggir sungai itulah saya dilahirkan dan dibesarkan. Pada musim hujan, air
melimpah tebing dan kampung saya tenggelam berminggu-minggu lamanya. Tetapi kehidupan berjalan seperti biasa.
Kita tidak berpindah kerana rumah kita bertiang tinggi, ada yang sampai enam kaki. Yang tidak ada perahu, membina rakit. Pada musim kemarau, air masin naik berbatu-batu melepasi kampung saya apabila air pasang besar. Bersama-samanya naiklah ikan siakap dan sembilang yang lazimnya hidup di muara.
Kini, kerana pembangunan dan teknologi, sungai itu walaupun tidak mati, sudah layu dan lesu. Tebingnya dikepung tembok penahan banjir dan mengalir masuk ke Sungai Kedah tidak jauh dari Pekan Tajar.
Oleh sebab sebuah pintu air sudah dibina di muara Sungai Kedah di satu tempat bernama Ampang Jajar, aliran pasang surutnya telah terganggu. Lumpur dan rumput-rumpai tidak lagi mengalir ke laut. Akibatnya, ditimbus lumpur. Tumbuh-tumbuhan air seperti kiambang, menderung (Cyperus malaccensis) dan kangkung tumbuh meliar dan menutupi permukaannya.
Tiba-tiba terlintas dalam fikiran saya mengenai betapa kerdilnya Sungai Pendang apabila pada awal tahun 1990-an, saya terbang melintasi muara sungai De La Plata di sempadan Argentina dan Uruguay. Kini, Sungai Pendang tidak lebih daripada longkang besar yang kotor dan hanyir airnya.
Saya bertanya diri sendiri, apakah zaman perlu berubah semata-mata kerana masa berlalu? Apakah perlu kita mengabaikan dan memusnahkan alam semula jadi anugerah Ilahi atas nama pembangunan dan kemajuan? Sepatutnya tidak.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.