Oleh Nazmy Shah Sannusi
Pengumuman perolehan keuntungan syarikat Malaysia Airlines Systems (MAS) sebanyak RM37.51 juta untuk suku ketiga tahun lepas dianggap oleh penganalisis sebagai meyakinkan. Apatah lagi setelah dua tahun syarikat penerbangan negara ini tenggelam dalam kerugian serta dihimpit kontroversi, pihak pengurusan baharu
yang dilantik kini cuba bangkit daripada krisis dialami sebelum ini.
Pasukan pengurusan yang kini diketuai oleh Pengarah Urusannya, Ahmad Jauhari Yahya dilihat bersedia untuk memacu legasi syarikat penerbangan kebanggaan negara ini ke arah pemulihan serta mampu bersaing dengan syarikat penerbangan lain. Yang menariknya juga, kontroversi pertukaran saham MAS antara Khazanah Nasional dan Tune Air bernilai RM1.1 bilion akhirnya selesai setelah penarikan diri Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat itu. Apabila berakhirnya segala kemelut yang membelenggu syarikat ini, MAS kini sudah bersedia untuk melihat ke hadapan dan menuju ke arah pemulihan.
Walau bagaimanapun, keputusan kewangan positif yang diumumkan pada akhir tahun lalu datang serentak dengan pengumuman syarikat untuk menerbitkan saham baharu sebanyak RM3.1 bilion bagi menambah modal syarikat. Keadaan ini dikejutkan lagi dengan pengumuman cadangan pembatalan modal sebanyak 90 sen
bagi setiap RM1.00 saham yang dipegang oleh pemegang saham.
Hasil penyusunan semula modal ini dijangka mampu meraih sebanyak RM8 bilion bagi melangsaikan hutang yang ditanggung oleh pihak syarikat. Akibatnya, harga saham MAS menjunam sebanyak 30 peratus ekoran tindakan para pelabur yang berasa sangsi dengan kejayaan syarikat untuk pulih dalam jangka masa panjang.
Jika dilihat berdasarkan sejarah, MAS melalui beberapa kali tempoh sukar akibat suasana perniagaan yang mencabar. Misalnya, pada tahun 2002 pihak kerajaan bertindak campur tangan dengan menyerap RM7 bilion aset MAS termasuklah pesawat kendaliannya yang bertujuan untuk mengurangkan beban hutan syarikat. Kemudian pada tahun 2005 dan 2009, MAS sekali lagi menerbitkan saham baharu bernilai RM3 bilion, sekali gus meningkatkan pegangan Khazanah Nasional dan MAS sebanyak 69.5 peratus.
Agak sukar bagi MAS untuk meyakinkan pelabur dan pengurus dana untuk terus menyokong pelan pemulihan dan pembangunan perniagaan syarikat pada kali ini. Keadaan ini ditambah lagi dengan kewujudan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia yang memecah monopoli industri penerbangan dalam negara ini.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.