Oleh Mohamad Yusof Sulehin
Menurut Edward Burnett Tylor, sistem kepercayaan manusia melalui beberapa transisi evolusi, iaitu kepercayaan terhadap benda di sekitar manusia yang diyakini memiliki kekuatan ghaib, kepercayaan kepada makhluk halus dan roh (animisme), kepercayaan atau pemujaan kepada lebih daripada satu Tuhan
(politeisme), keyakinan kepada satu Tuhan tanpa mengingkari adanya dewa lain atau makhluk halus (henoteisme), dan kepercayaan bahawa Tuhan adalah tunggal dan berkuasa penuh terhadap sesuatu (monoteisme). Begitulah, dengan menelusuri filem Life of Pi memberikan pandangan yang senada dengan tafsiran Edward Burnett Tylor.
Nama-nama besar, seperti M. Night Shyamalan, Alfonso Cuarón, dan Jean-Pierre Jeunet pernah dikaitkan untuk menjadi pengarah kepada filem ini namun akhirnya mereka mengundurkan diri disebabkan Life of Pi mungkin “terlalu berat” untuk divisualkan ke layar perak. Ironinya, pengarah dari Taiwan, Ang Lee hadir dengan sentuhan magis merealisasikan novel falsafah ini ke adikarya yang sangat spektakular sama ada visual, didaktik mahupun nilaian ambiguitinya.
Kejayaan Life of Pi yang diberitakan sudah mengutip lebih AS$12 juta (RM36.51 juta) ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor imaginasi tinggi sutradaranya, Ang Lee yang sebelum ini sukses menerusi filem Crouching Tiger Hidden Dragon (2000), Hulk (2003), dan Brokeback Mountain (2005). Filem ini juga banyak dibantu oleh penjiwaan watak pelakonnya yang terdiri daripada Irfan Khan, Gérard Depardieu, Tabu, Suraj Sharma, dan Adil Hussain. Selain itu, filem ini diperkemas dengan kesan visual oleh Rhythm and Hues Studios, sinematografer oleh Claudio
Miranda dan susunan muzik oleh Mychael Danna juga dilihat berjaya mempelbagaikan perjalanan filem ini menempa mercu tanda kejayaannya.
Menyelongkar inti pati naskhah berat ini dibina dengan asas aposteriori yang kukuh sama ada novelnya mahupun terjemahan layar sinematiknya. Aposteriori bermaksud pengetahuan yang diperoleh sesudah pengamatan secara emperikal dan eksperimen dilakukan sebelum satu-satu bahan itu diterbitkan. Yann Martel
pastinya merangkum novel Life of Pi ini berdasarkan kajian dan pengamatan yang serius terharap isu perbandingan agama. Martel dikhabarkan telah menghabiskan kebanyakan masanya di Iran, Turki dan India. Selepas menamatkan pelajarannya dalam bidang jurusan falsafah di Trent University, Martel menghabiskan masa
selama 13 bulan di India dengan melawat masjid, gereja, kuil, dan zoo. Bahkan dia juga menghabiskan masa selama dua tahun untuk mengkaji teks keagamaan dan kisah orang yang terdampar di lautan sebelum lahirnya naskhah Life of Pi ini.
Manakala sutradaranya, Ang Lee juga menyajikan bukan sekadar sebuah filem yang bersifat superfisial sebaliknya mengajak kita mentafsir makna yang berlapis-lapis melalui karyanya ini. Ini merupakan titik perbezaan ketara yang membezakan filem kita dengan filem yang ditangani oleh karyawan dari luar ini.
Filem berdurasi 127 minit ini berkisarkan sebuah perjalanan fantasi spiritual Piscine Molitor “Pi” Patel, seorang pemuda India yang terperangkap di sebuah bot keselamatan bersama seekor harimau Bengal bernama Richard Parker selama 227 hari apabilakapal yang dinaikinya tenggelam dipukul badai ribut taufan. Tragedi tragis itu turut menenggelamkan kapal yang dinaiki oleh Pi dan keluarganya akibat ketelanjuran Pi secara sengaja meminta agar hujan dan ribut turun dengan lebih lebat lagi.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2013.
Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.