Oleh Aninah Janang, Suria Janib, dan Abd. Kadir Mohd. Ayub
Pada pilihan raya umum ke-12, setelah Barisan Nasional (BN) Sabah berjaya menguasai 24 daripada 25 kerusi Parlimen, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman tidak menunggu lama, lantas beliau mengingatkan seluruh parti komponen BN yang terdiri daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Persatuan Cina
Malaysia (MCA), Kongres India Se-Malaysia (MIC), dan Gerakan agar tidak leka dan terus bekerja keras.
“BN Sabah memerlukan komitmen maksimum semua pihak supaya status Sabah sebagai ‘simpanan tetap BN’ dapat diteruskan,” ujarnya. Hal yang sama turut disuarakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang menaruh harapan yang tinggi terhadap sokongan pengundi di Sabah yang utuh kepada BN. Pada PRU ke-12 menyaksikan 22 kerusi Parlimen dikuasai BN, manakala Bebas (dua ) dan DAP (satu).
Bagi memahami suara hati rakyat Sabah dan membalas sokongan yang diberikan
kepada BN, menerusi Kabinet pentadbiran Perdana Menteri, beliau melantik empat
orang ahli Parlimen Sabah sebagai menteri penuh, iaitu (Ahli Parlimen Kimanis,
Datuk Seri Anifah Aman, sebagai Menteri Luar; Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Ahli Parlimen Penampang, Tan Sri Bernard Dompok sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi; dan Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Dr. Maximus Johnnity Ongkili sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Sementara itu, lima orang lagi pemimpin Sabah dilantik sebagai timbalan menteri.
Tindakan Perdana Menteri ini dilihat oleh kebanyakan pemerhati politik bukan
sahaja hadiah kepada pengundi di Sabah, tetapi juga diibaratkan seperti menyusun
“jigsaw puzzle” yang sempurna ke arah melengkapkan pentadbirannya. Sementara
itu, bagi kebanyakan pemimpin, keputusan tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap kewibawaan dan kebolehan pemimpin di Sabah dalam berkhidmat demi kepentingan rakyat.
Kini, setelah hampir lima tahun berlalu dan tarikh “matang” pembubaran Parlimen
semakin hampir, Sabah bakal teruji sekali lagi. Sejarah sebelum ini melakarkan warna-warni politik Sabah yang bukan sahaja “mematangkan” pemimpin politik, tetapi juga rakyat Sabah secara keseluruhannya.
Tidak ketinggalan, ada pihak yang menyamakan senario politik di Sabah hari ini seolah-olah menyamai apa-apa yang berlaku pada dekad 1970-an dan 1980-an apabila trend meninggalkan parti menjadi budaya. Hal ini berikutan tindakan
dua orang Ahli Parlimen BN, iaitu Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred
Bumburing bertindak keluar parti pada Ogos lalu. Namun, isu panas itu tidak
berlarutan, tindakan cekap Perdana Menteri dan barisan pemimpin BN yang bertindak turun padang bertemu dengan rakyat Sabah berjaya mengukuhkan keyakinan mereka terhadap parti tersebut.
Sabah terus menjadi perhatian. Tidak hanya dalam kalangan pemimpin BN,
malah pihak pembangkang turut menaruh harapan yang tinggi terhadap Sabah. Untuk rekod, pada PRU ke-12, pembangkang menerusi DAP hanya berjaya menguasai satu kerusi Parlimen, iaitu Kota Kinabalu.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2013.
Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.