Oleh Aninah Janang

(aninah@dbp.gov.my)
Apabila Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa Barisan Nasional (BN) akan meraih kemenangan “kosong” sekiranya kekal
menang dengan sokongan dan undian yang merosot dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata-kata tersebut diibaratkan meniup semangat buat seluruh jentera BN.
Tempoh 100 hari (ketika nota ini ditulis) bukan lagi tempoh yang panjang. Parlimen bakal dibubarkan. Maka, BN perlu mengerah segala kudrat yang ada
bukan sahaja untuk kelangsungan pembentukan kerajaan, tetapi juga mengembalikan majoriti dua per tiga yang “hilang” dibadai tsunami pada PRU ke-12 lalu.
Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, pentadbirannya akan melakukan yang terbaik dalam PRU akan datang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
“Kami akan buat yang terbaik. Sudah tentu kami mahu sebuah kerajaan yang kuat,” ujar Perdana Menteri. Bagi parti pembangkang, PRU kali ini merupakan medan yang menentukan adakah “kesepakatan” pakatan pembangkang mampu bertahan meskipun berlaku pergeseran demi pergeseran sesama pakatan – isu moral, agama, dan perbalahan dalam menentukan Perdana Menteri jika pakatan memerintah, janji kosong yang tidak tertunai pada PRU lalu dan pelbagai janji populis terus dimainkan.
Dalam PRU lalu, mereka diberikan peluang untuk membuktikan keupayaan mentadbir di empat buah negeri dan dengan pelbagai isu yang timbul, rakyat
boleh menilai adakah mereka wajar diberikan peluang pada PRU kali ini. Semuanya bergantung pada kuasa rakyat.
Rentetan keputusan PRU ke-12 pada 2008, banyak pihak yang melihat berlaku ledakan kesedaran politik yang lebih ketara dalam kalangan rakyat di negara
ini. Banyak orang lebih gemar berbahas soal politik dan menjadi “penganalisis politik” di kedai kopi dan merumuskan pelbagai isu mengikut persepsi masing-masing.
Isu politik, tidak kira kecil atau besar, menjadi “santapan” di mana-mana sahaja. Media sosial menjadi jaringan berpolitik paling popular. Maka, PRU-13 akan menjadi satu pertembungan paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara.
Semakin banyak orang berbicara soal politik, semakin banyak persepsi yang tercetus. Sudah tentu persepsi yang diharapkan adalah berdasarkan fakta dan bukan hujah kosong semata-mata. Persepsi ini sama ada akan memihak kepada BN atau sebaliknya, apa-apa yang penting akhirnya membawa kepada kecenderungan
sikap dalam kalangan pengundi yang akan diterjemahkan di atas kertas undi. Mereka umpama pemeriksa yang menilai lulus atau gagalnya sesebuah parti yang
bertanding. Inilah keunikan Demokrasi Berparlimen di Malaysia, pengundi berkuasa menentukan siapakah yang memerintah negara.
Menyedari peri pentingnya PRU ke-13, Dewan Masyarakat (DM) bertindak turun ke lapangan. Dari beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia (Johor Bahru, Selangor dan Kelantan), DM menganjur ke Sabah. Mencari jawapan terhadap gambaran awal berhubung dengan PRU ke-13. Kaji selidik dilakukan dari kawasan bandar hingga ke pelosok kampung. Hasil kajian tersebut dianalisis tanpa prejudis dan dipaparkan dalam DM keluaran Disember lalu dan bulan ini.
Selain kaji selidik, bagi menjawab persoalan adakah Sabah masih menjadi kubu kuat BN pada PRU ke-13? DM turut mewawancara Ketua Menteri Sabah dan mendapatkan pandangan daripada beberapa orang pemimpin, serta penganalisis politik tempatan. Kami percaya bahawa gambaran yang dipaparkan tersebut sedikit sebanyak mampu menjadi petunjuk bukan sahaja kepada pengundi, tetapi juga parti politik yang bertanding untuk menentukan “destinasi” akhir PRU ke-13.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Februari 2013.
Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.