Oleh Mohd. Nasiruddin Abd. Nasil

Baru-baru ini, kerajaan memperkenalkan Sistem Penguatkuasaan Automatik atau Autometed Enforcement System (AES). AES merupakan kaedah termoden untuk
merakamkan kesalahan pemandu yang tidak bertanggungjawab di jalan raya,
seperti memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat yang menjadi
penyebab utama kemalangan maut di negara ini.
Oleh sebab itu, pelaksanaan AES perlu dilihat sebagai satu tindakan tegas kerajaan bagi mendisiplinkan pemandu, juga sebagai susulan mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya.
Tidak dinafikan, usaha kerajaan untuk melaksanakan AES adalah satu niat yang baik, tetapi tidak memadai jika banyak pihak yang mempertikaikan pelaksanaannya itu. Wajarkah kerajaan menimbang pertikaian itu, sedangkan
banyak pihak yang bersetuju pelaksanaan AES diteruskan. Perlu diingat bahawa
nahas kemalangan jalan raya kian meningkat saban tahun, dan faktor inilah yang perlu diambil kira bagi menilai kewajaran pelaksanaan AES.
Pemantauan secara elektronik atau automatik mungkin kaedah terbaik ketika
ini bagi menangani sikap sebilangan pengguna jalan raya yang gagal menjaga disiplin ketika memandu hingga membawa maut bukan sahaja pada diri sendiri, tetapi turut membabitkan pengguna lain yang tidak bersalah.
Kebanyakan pengguna jalan raya lebih takut disaman daripada nyawa melayang,
dalam erti kata lain mereka hanya memandu dengan berhemah sekiranya gerak-geri dipantau pihak berkuasa. Pelbagai kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan saban tahun tidak berkesan kerana banyak orang yang tidak ambil peduli mengenainya dan masih dengan sikap lama, iaitu mementingkan diri sendiri. Sikap dan kecuaian pemandu atau penunggang yang lebih suka menjadikan jalan raya seperti litar lumba dengan memandu laju melebihi had yang dibenarkan menjadi penyumbang utama kemalangan di negara ini.
Jumlah pemandu jalan raya yang semakin bertambah setiap tahun turut menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan dan keadaan ini sukar untuk ditangani sekiranya terus bergantung pada tenaga kerja agensi penguatkuasaan, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis untuk menjalankan pemantauan terhadap pengguna jalan raya.
Berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya
(JKJR), sebanyak 450 000 kemalangan direkodkan di negara ini tahun lalu yang mengorbankan 7000 orang pengguna jalan raya dengan purata 18 hingga 19 kematian setiap hari. Sejak 10 tahun lalu, sebanyak 70 000 orang pengguna jalan raya terkorban akibat kemalangan dan jumlah itu cukup untuk memenuhi sebuah stadium atau memuatkan penumpang dalam 140 buah kapal terbang Airbus A380. Berdasarkan fakta itu, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan sejak 23 September lalu, bertujuan mengurangkan nahas jalan raya.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Leslie Leon, berkata pelaksanaan AES bukan bertujuan menghukum atau menyusahkan pengguna jalan
Ketika dahulu kerajaan pernah memperkenalkan sistem pemantauan had laju berkamera yang bertujuan mengesan pesalah lalu lintas secara automatik. Pesalah dikenakan saman berdasarkan kesalahan dirakam menerusi kamera di pinggir jalan, lampu isyarat, dan lebuh raya. Pada awal pelaksanaannya sekitar 1980-an, kaedah ini menerima bantahan daripada banyak pihak.
Menjelang tahun 2000, kerajaan memperkenalkan kaedah saman ekor. Pelaksanaannya membabitkan anggota polis trafik menyorok di pinggir jalan
untuk “mencari mangsa”. Kaedah ini turut dipertikai banyak pihak kerana
ononnya seperti perangkap terhadap pemandu untuk melakukan kesalahan
yang tidak disedari oleh mereka. Pada asasnya, kedua-dua pelaksanaan pemantauan had laju di jalan raya yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini bertujuan untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Begitupun, di sebalik pelaksanaan sistem tersebut, kerajaan
terpaksa berdepan dengan pelbagai kritikan dan bantahan masyarakat.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2013.
Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.