Oleh Zairul Anuar Md. Dawam

Era televisyen (TV) tempatan bermula pada 28 Disember 1963 apabila Televisyen Malaysia dilancarkan secara rasmi oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Perkembangan semasa menunjukkan pasaran TV menjadi sumber pendapatan utama bagi produser filem tempatan.

Selain nilai pasaran yang besar, risiko pelaburan pasarannya yang rendah dan pulangan terjamin menyebabkan produser tempatan amat bergantung pada pasaran TV. Hal ini berbeza daripada penerbitan filem cereka yang berisiko tinggi. Pelaburan sebanyak RM1.2 juta kadangkala tidak menjamin pulangan setara.
Sebagai contoh beberapa buah filem yang ditayangkan pada tahun 2012, iaitu Chantek, Mantera, Hoore-Hoore, X, Gerimis Mengundang, Aku, Kau dan Dia hanya mendapat kutipan di bawah RM400 000 sahaja. Maka, hanya beberapa buah syarikat produksi sahaja yang berani untuk melabur dalam pembikinan filem bagi tayangan pawagam. Manakala lebih daripada 90 peratus daripadanya bergantung pada pasaran TV yang kurang berisiko tinggi.
Di Malaysia, terdapat lapan buah siaran TV percuma, iaitu TV1, TV2, TVi, TV3, NTV7, 8TV, TV9, dan TV Al-Hijrah. Sementara itu, sebuah rangkaian TV berbayar, iaitu TV satelit ASTRO pula menyediakan lebih daripada 146 buah siaran TV yang meliputi siaran TV yang diimport atau dikendalikan dengan jenama sendiri.
Pertambahan rangkaian TV seharusnya menyebabkan saiz pasaran bagi syarikat produksi menjadi lebih besar. Namun, perkara tersebut tidak berlaku. Syarikat produksi tempatan terus menghadapi cabaran dalam usaha menjual dan memasarkan produk mereka ke rangkaian TV.
Antaranya pertambahan syarikat produksi menyebabkan kek atau syer pasaran TV menjadi semakin kecil. Syarikat produksi terpaksa bersaing antara satu dengan lain. Dari masa ke masa, bilangan syarikat produksi baharu dikatakan terus bertambah bagi merebut peluang pasaran TV yang besar terutama melalui RTM.
Selain itu walaupun saiz pasaran TV besar, namun perkara itu didakwa oleh sesetengah pihak bahawa pasarannya dimonopoli syarikat tertentu sahaja. Sejarah
membuktikan bahawa sistem monopoli dalam pasaran TV berlaku satu ketika dahulu.
Kemunculan HVD yang bergabung dengan Solid Gold pada tahun 1992 antara contoh terbaik sistem monopoli itu terbentuk. Dengan saham kerajaan melalui
Kurnia Padu Sdn. Bhd., iaitu Menteri Kewangan (Diperbadankan) sebanyak 30 peratus dan 70 peratus lagi melalui pemegang saham individunya, HVD telah diberi keistimewaan untuk memonopoli slot RTM.
Isu high-definition versatile disc (HVD) yang memonopoli pasaran TV di RTM menyebabkan beberapa buah syarikat tempatan membentuk konsortium. Antaranya, termasuklah Konsortium Penerbit Video dan Filem Melayu (Keris Motion) yang ditubuhkan pada tahun 1995 dan kemudian diikuti oleh Konsortium Rumpun Usaha Sdn. Bhd (Rumpun Usaha). Penubuhan konsortium tersebut telah mengurangkan monopoli HVD.
RTM turut mengagihkan jam slot tersebut kepada Keris Motion dan Rumpun Usaha. Setiap konsortium hanya mendapat 200 jam berbanding dengan HVD yang memperoleh 1500 jam hingga 2500 jam setahun. Namun, monopoli HVD terus berkurangan. Isu yang membelenggu HVD akhirnya menyebabkan kontrak HVD dihentikan oleh RTM pada tahun 2000. Sekali gus menyebabkan berakhirnya
monopoli pasaran TV oleh HVD.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.