Oleh Chairil Ehsan


Tumpuan perhimpunan ini kelihatan diarahkan kepada persiapan mental dan fizikal untuk menempuh PRUke-13 yang akan datang. Berbeza daripada perhimpunan sebelum ini yang menyentuh pelbagai perkara terutamanya ekonomi orang Melayu. Kali ini, perhimpunan tertumpu kepada PRU ke-13. Tindak- tanduk pembangkang terutama yang bersangkutan dengan kepentingan Melayu dan kedudukan agama Islam menjadi bahan perbahasan.

Ucapan perasmian oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak serta ucapan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan perhimpunan sayap parti, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO juga menekankan persediaan mendepani PRU ke-13 dengan menyediakan ketahanan mental dan strategi yang kukuh.
Begitu juga dengan ucapan penggulungan presiden, timbalan presiden serta tiga orang naib presiden, iaitu Datuk Seri Hishammudin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Semuanya menjurus kepada pendedahan sikap buruk pembangkang dan persediaan mendepani PRU ke-13.
Pilihan raya umum (PRU) ke-12 pada tahun 2008 telah mengubah landskap politik
negara ini dengan drastiknya. PRU ke-12 menyaksikan lima buah negeri jatuh ke tangan pembangkang, iaitu Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.
Pembangkang mendapat semangat baharu selepas PRU pada tahun 2004 tidak mendapat sokongan daripada rakyat. Pasca-PRU ke-12 turut mengubah suasana politik apabila pembangkang bertindak lebih agresif berbanding dengan sebelum ini dalam isu yang melibatkan soal kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Sepanjang lima tahun itu, suasana politik sentiasa tegang apabila pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong pembangkang membuat pelbagai tuntutan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak sekuat dahulu.
PRU ke-13 dijangka diadakan pada tahun hadapan sebelum Mac, iaitu tarikh genap tempoh lima tahun. Polemik mengenai tarikh pilihan raya telah mengambil banyak masa khususnya BN kerana ura-ura kerajaan mengadakan pilihan raya pada awal 2012.

Tarikh pilihan raya menjadi penting kerana hal ini juga menjadi faktor penentu
kepada BN yang mempunyai kelebihan dalam menentukan tarikh pilihan raya
berbanding dengan pembangkang yang terpaksa mengikut sahaja tarikh yang
ditetapkan. Kini sudah jelas pilihan raya hanya akan diadakan pada tahun hadapan
dan Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir pada 1 Disember lalu menjadi pertemuan penting pada semua peringkat dalam UMNO dan perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya. Tentunya peluang ini paling penting kepada UMNO untuk menyampaikan amanat dan semangat kepada seluruh jentera dalam parti.
Di bahu merekalah terletak masa hadapan bangsa Melayu dan negara kita. PRU ke-13 dijangka diadakan pada tahun depan sebelum Mac, iaitu tarikh genap tempoh lima tahun. Polemik mengenai tarikh pilihan raya telah mengambil banyak masa khususnya BN kerana ura-ura kerajaan mengadakan pilihan raya pada awal 2012.

Pada PRU ke-13 yang akan datang kira-kira 13.1 juta orang pengundi berdaftar akan memilih wakil untuk 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Mahu tidak mahu, UMNO mesti menjadi dominan untuk menguasai Parlimen seterusnya mempertahankan pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya.

Tidak hairanlah kalau semangat perhimpunan kali ini jauh berbeza sekiranya dibandingkan dengan sebelum ini. Ada yang menitis air mata mendengar perbahasan para perwakilan kerana memikirkan nasib dan masa depan negara sekiranya negara jatuh ke tangan pembangkang.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.