Oleh Wira Herman

Kecederaan yang dialami mangsa rogol dan bunuh ini sungguh menyayat hati dan mengerikan. Pembunuhnya langsung tidak berperikemanusiaan. Mayat wanita itu penuh kesan lebam. Kulitnya tersiat, kawasan kemaluannya melecet dan terdapat kesan koyak di selaput dara. Duburnya juga koyak akibat diliwat. Ketika mayat ini ditemui, hidungnya berdarah dan lidahnya terjelir. Itulah nasib malang yang menimpa mangsa rogol dan bunuh, Noor Suzaily Mukhtar, 24 tahun yang juga seorang jurutera komputer sebagaimana yang diceritakan oleh Ketua Unit Forensik, Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Abdul Halim Mansar dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada 28 Jun 2001, 11 tahun lalu.
Dr. Abdul Halim turut menyenaraikan 44 kecederaan yang didapati pada tubuh
mangsa berdasarkan pemeriksaan luaran hasil daripada bedah siasat yang dijalankan. “Pada tubuh mangsa terdapat kulit tersiat di bahagian belakang di kaki kiri sepanjang 3 x 2 sentimeter (sm), beberapa lebam di atas dada sepanjang 3 x 2 sm dan kesan terbakar matahari dari ketiak kanan ke bawah sepanjang 407 x 15 sm.
“Beberapa tanda cakaran dikesan di bawah bahu kanan sepanjang 6 x 5 sm dan 11 x 5 sm, luka lebam kecil di kemaluan berukuran 0.5 x 2 sm, kesan kulit tersiat di
sekeliling dubur dan dubur terkoyak dengan ukuran 2 x 1 cm serta kesan calar di kanan dan kiri punggung sepanjang 5 x 2 sm, 5 x 5 sm,” katanya ketika memberikan
keterangan di mahkamah. Dr. Abdul Halim yang juga saksi ke-23 berkata demikian bagi menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Hanafiah Zakariah, dalam perbicaraan kes bunuh dan rogol yang dilakukan pemandu bas, Hanafi Mat Hassan atas tuduhan membunuh Noor Suzaily. Hanafi Mat yang berusia 33 tahun ketika itu dituduh merogol dan membunuh Noor Suzaily sekitar pukul 8.50 pagi di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15 pagi di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang, Selangor. Hanafi Mat didakwa membunuh
mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori
jika sabit kesalahan dan tuduhan merogol mengikut seksyen 376 kanun yang sama
yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan.
Dalam perbicaraan itu, Hanafi Mat diwakili peguam bela, Shenton Maniam dan
Sreekant Pillai. Perbicaraan dikendalikan oleh Hakim Datuk Mohd. Hishamuddin
Mohd. Yunus. Mohamed Hanafiah berjaya membuktikan bahawa Hanafi Mat bertanggungjawab membunuh Noor Suzaily dengan mengemukakan keterangan sebanyak 55 orang saksi. Saksi utama kes itu, seorang pelajar, S. Devan, 18 tahun,
memperkukuh inti pati dakwaan pertuduhan terhadap Hanafi Mat apabila memberitahu mahkamah dia sedang menunggang basikal memasuki Lorong Pegaga apabila ternampak sebuah bas ekspres berhenti, pukul 8.50 pagi. Devan secara tidak sengaja terlihat Noor Suzaily berada di hadapan bas sebelum mangsa berlari ke tangga dalam keadaan bogel sambil mengetuk cermin pintu bas dengan kedua-dua belah tangannya dan berkata sesuatu. Dalam keterangannya, Devan berkata dia dengan jelas melihat Noor Suzaily cuba meminta pertolongan dengan keadaan rambut berselerak di hadapan pintu bas berkenaan.
Pada masa itu, katanya, pemandu bas itu memberikan isyarat tangan seperti mengarahkannya pergi dari situ. Devan memberitahu mahkamah lagi, dia cuba menahan sebuah motosikal yang lalu dan pada masa yang sama bas itu mula bergerak, kemudian cuba mengejar bas berkenaan sehingga ke bulatan Taman Chi Liung, Klang. Bas itu kemudian menuju ke Jalan Sambau. Oleh sebab bimbang sesuatu yang buruk akan menimpa mangsa, Devan meminta pertolongan di sebuah rumah berdekatan bulatan Taman Chi Liung dan memberitahu seorang lelaki berusia 50-an tentang kejadian yang berlaku.
Tanpa melengahkan masa, Devan ditemani pemandu motosikal tadi dan lelaki
berusia 50-an yang juga seorang guru memburu bas berkenaan untuk menyiasat
dengan lebih lanjut. Sebaik-baik menemui bas tersebut, mereka mendekatinya dan
ternampak Hanafi Mat menuju ke hadapan tempat pemandu dari arah belakang
bas sambil menaikkan seluarnya, tetapi mangsa sudah tidak kelihatan. Tertuduh
kemudian memandu kenderaannya dan beredar dari situ.

____

Rencana ini dipetik daripada  Dewan Masyarakat Januari 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.