Oleh Aninah Janang

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Manusia perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran dan juga budaya di mana mereka bermastautin, mencari rezeki,
berkeluarga, dan mendapat perlindungan keselamatan.
Dalam konteks ini, apabila ada suara yang menentang peraturan tersebut mereka boleh dianggap melakukan “dosa” dan layak dihukum. Apa-apa yang berlaku hari ini, ada pihak yang mula mencabar dan menggugat Institusi Raja-raja Melayu.
Banyak percubaan mempersoalkan kuasa raja-raja diselangi dengan suara politik yang sinis. Keberanian itu kononnya berlandaskan dunia yang semakin terbuka akibat ledakan teknologi maklumat, ketirisan sejarah dan jati diri bangsa. Atas faktor itu, pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan pelbagai isu yang bertentangan dengan budaya dan undang-undang negara. Perkara ini mendorong segelintir
rakyat tanpa rasa takut atau bersalah mencabar institusi itu dengan pelbagai cara dan motif.
Paling ketara, kenyataan dan tulisan yang mempersoalkan peranan istana dipaparkan di laman sosial dan dikongsikan oleh sesiapa sahaja. Dalam hal ini, mereka meluahkannya secara terbuka tanpa memikirkan sebab dan akibat.
Banyak laporan polis di buat atas tindakan tidak bertanggungjawab itu, namun nampaknya masih belum “terbit” pengajaran daripada kesilapan yang dilakukan. Kesannya, masih ada pihak yang mengulangi kesilapan yang sama.
Amaran dan peringatan juga diberikan. Namun, usaha tersebut umpama mencurah air ke daun keladi. Apa-apa yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini hanyalah untuk mencari populariti dan kelebihan politik. Senario ini amat membimbangkan kerana tindakan tersebut akhirnya mewujudkan persepsi buruk
terhadap Institusi Raja-raja Melayu.
Persepsi negatif itu turut memberikan gambaran bahawa bidang kuasa Institusi Raja-raja Melayu seolah-olah kian luntur, terutama untuk bertindak balas terhadap sesiapa juga yang “menyerang” mereka. Hakikatnya, rakyat perlu melihat bahawa gabungan sembilan orang Raja Melayu dan empat orang Yang Dipertua Negeri dalam Majlis Raja-raja adalah sebuah institusi yang perlu sentiasa dihormati.
Dalam hal ini, menyanggah seorang daripada mereka bermaksud mempersoalkan institusi tersebut. Rakyat perlu sedar bahawa hari ini raja memerhati tindak-tanduk
sekelompok rakyat yang cuba mencabar kuasa institusi tersebut. Pihak istana juga tahu bahawa rakyat memerlukan mereka bagi melindungi hak dan kepentingan mereka, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Atas kedudukannya sebagai institusi yang dilindungi mengikuti Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan, rakyat tidak sewajarnya memperkecilkan peranan raja-raja apatah lagi melakukan sebarang percubaan untuk menjejaskan imej dan kedaulatan mereka. Melindungi Majlis Raja-raja Melayu memerlukan semangat cinta akan negara dan undang-undang negara.
Sewajarnya, mereka yang menyedari hakikat ini tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kemurnian institusi tersebut. Lebih penting lagi, adalah menjadi
tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk memahami peranan Institusi Raja-raja Melayu secara menyeluruh. Bagi tujuan memperkasakan peranan Majlis Rajaraja
dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda, kefahaman berhubung peranan institusi berkenaan harus digembleng bermula di peringkat sekolah.
Sebagai benteng yang melindungi rakyat, sewajarnya tidak ada mana-mana pihak yang berani mencabar Institusi Raja-raja Melayu walau dalam apa-apa keadaan sekalipun. Hal ini demikian kerana menghormati Institusi Raja-raja Melayu bermakna menjunjung kedaulatan negara yang tercinta.

_____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2013

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.