Oleh Haqimi Abdul Zainal

Semakin banyak negara dari benua Afrika mengiktiraf Malaysia sebagai hab pendidikan. Negara ini turut dijadikan batu loncatan ke arah memperkasakan
kelayakan akademik dan menyediakan perangsang antarabangsa yang amat
diperlukan untuk karier mereka.

Pengiktirafan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dalam kalangan negara Afrika bertitik tolak daripada siri Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) yang bermula sejak tahun 1995. Detik itu membuka laluan kepada pelajar negara berkenaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi terbaik melanjutkan pengajian. Menerusi LID, Malaysia dan Afrika dapat mewujudkan perkongsian pintar dalam pelbagai bidang, seperti pendidikan, perdagangan, dan pelaburan ketika banyak negara lain tidak berminat melakukan kerjasama dengan negara benua Afrika.

Sememangnya usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan menjadi fokus utama kerajaan. Sejak tahun 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, menggariskan empat elemen bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai hab pendidikan serantau. Elemen tersebut merangkumi komitmen mantap yang menjurus kepada kecemerlangan akademik dan program berdasarkan merit, inklusi sosial, iaitu golongan miskin dan yang terpinggir diberikan peluang untuk berjaya, memantapkan lagi kaedah pendidikan negara dengan mengguna pakai amalan terbaik antarabangsa, dan memupuk kumpulan graduan cemerlang dalam pemikiran strategik dan mencipta kreativiti. Tidak ketinggalan, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa kemahiran berkomunikasi dan penguasaan bahasa lain termasuk Inggeris turut menjadi aspek yang penting dalam menjayakan hab pendidikan di negara ini.

Mengiktiraf sektor pendidikan sebagai kunci, jentera pertumbuhan dan transformasi negara, kerajaan sedia menimbang insentif tambahan bagi menyokong sektor tersebut bagi memastikan sistem pendidikan memenuhi keperluan semasa danmasa depan. Sudah tentu dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia hab pendidikan yangcemerlang, sokongan sektor swasta diperlukan.

Ternyata sudah sampai masanya segala perancangan serta pelaburan yang dibuat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau diterjemahkan pula dalam bentuk tindakan yang berkesan. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan sentiasa komited dalam usaha berkenaan dengan meneruskan usaha melahirkan tenaga kerja mahir serta suasana perniagaan yang positif bagi menjadikan negara ini terus berdaya saing.
Tambah beliau, usaha itu akan berjaya dengan sokongan rakyat khususnya dalam meningkatkan nilai, kemahiran, dan pendapatan mereka menerusi pembelajaran secara berterusan selain meningkatkan produktiviti dan persaingan menerusi
pemikiran kreatif dan inovatif. “Sekarang adalah masa untuk kita menterjemahkan apa-apa yang dirancang dengan tindakan. Kita perlu mewujudkan sistem yang
menghormati setiap hak individu dalam memperoleh pendidikan yang berkualiti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Epsom College Malaysia di Bandar Enstek, Nilai.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata bahawa dalam usaha berterusan menj adikan negara ini bertaraf dunia dari aspek pembangunan ekonomi serta menghasilkan modal insan berkualiti, kerajaan sentiasa mengalu-alukan pembukaan kolej dan universiti luar negara di Malaysia.

Kerajaan menghargai usaha Kuala Lumpur Education City (KLEC) dan Epsom College United Kingdom yang memilih negara ini untuk membuka pusat kecemerlangan pendidikan kerana Malaysia telah lama memainkan peranan sebagai
hab pendidikan serantau. Malaysia menduduki tangga ke-11 sebagai negara yang menerima paling banyak menerima kemasukan pelajar asing. Ternyata, kerajaan komited untuk merealisasikan impian menjadikan Malaysia hab pendidikan. Lantas,
pada Julai 2012, Kabinet bersetuju dengan cadangan mewujudkan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh dengan fasa pertama pembangunannya yang melibatkan kos sebanyak RM1 bilion. Pembinaan yang dijadualkan bermula pada hujung tahun lalu
merangkumi kawasan seluas 202.3 hektar bagi pembinaan cawangan di empat buah institusi pengajian tinggi awam. Fasa pertama pembinaan tersebut akan menempatkan kampus cawangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sebuah
politeknik.

_____

Artikel ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2013.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.