Oleh Aninah Janang

Pukul 11.00 malam, cahaya suram menerangi sekumpulan kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 10 tahun. Mereka berdiri dalam satu bulatan kecil di sebuah rumah yang tidak bernombor di Gombak, Selangor. Di hadapan mereka, seorang lelaki berkulit gelap, berusia 30-an, memegang mikrofon dan sekeping kertas berwarna putih. Di luar bulatan kumpulan kanak-kanak tersebut, kelihatan puluhan orang lelaki dan wanita dewasa berdiri sambil memerhati kumpulan kanak-kanak berkenaan.

Dalam suasana sunyi sepi, tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara seorang lelaki menyanyikan lagu yang memuji-muji nama beberapa orang individu yang tidak dikenali. Selang beberapa rangkap lelaki berkulit gelap itu mendendangkan lagu tersebut, kumpulan kanak-kanak tersebut serentak menyanyikan lirik yang sama, seperti yang dinyanyikan oleh lelaki terbabit. Mereka bersahut-sahutan.

Semakin lama suara mereka semakin nyaring kedengaran. Kanak-kanak tersebut terkinja-kinja mengikut alunan lagu. Setiap bait lirik lagu yang dilafazkan diiringi dengan aksi melompat sambil menampar dengan kuat bahagian bahu dan dada mereka menggunakan telapak tangan masing-masing, iaitu tangan kiri menepuk dada kanan dan tangan kanan menampar dada kiri. Tamparan itu menghasilkan bunyi yang kuat dan menggamatkan.

Semakin lama, bunyi tamparan itu semakin kuat dan kanak-kanak tersebut seperti dirasuk kerana menjerit tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Menyaksikan keadaan itu, penyanyi tersebut mengulang kembali rangkap lagu berkenaan berpuluh-puluh kali sehingga penonton yang menyaksikan upacara berkenaan asyik dan turut menyanyi serta menampar tubuh mereka.

Peluh mula membasahi tubuh kumpulan kanak-kanak tersebut. Namun begitu, tiada siapa yang mampu menghentikan “keseronokan” luar biasa yang dialami mereka. Penyanyi terbabit meneruskan upacara tersebut tanpa mempedulikan keadaan kanak-kanak terbabit.

Persoalannya, tidakkah mereka berasa sakit? Mengapakah kanak-kanak tersebut berkelakuan pelik sehingga sanggup menyakiti tubuh sendiri?

“Mereka percaya dengan memukul tubuh badan sendiri, diri mereka dapat disucikan daripada dosa. Kebiasaannya upacara ini dilakukan sempena 10 Muharam pada setiap tahun,” jelas Zulhelmi Yatim kepada penulis ketika menyerahkan rakaman video satu daripada kumpulan ajaran sesat persatuan bukan kerajaan (NGO) yang menyebarkan fahaman Syiah di negara ini.

Zulhelmi Yatim, 49 tahun, yang merupakan pendakwah bebas bergerak aktif sejak 20 tahun lalu di sekitar Selangor. Beliau menjelaskan bahawa NGO terbabit ditubuhkan sejak 15 tahun lalu dan kini masih beroperasi meskipun beberapa kali program mereka diharamkan dan banyak pengikut serta pemimpin mereka ditahan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Begitu pun, NGO terbabit tidak pernah mengaku kalah. Mereka bangkit menentang undang-undang dan membina rangkaian yang luas. Yang lebih mengejutkan, sehingga kini NGO terbabit berjaya mengumpul lebih daripada 100 ribu orang ahli di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 40 ribu orang ahli dipercayai berada di sekitar Selangor yang menjadi kubu kuat NGO tersebut.

Menurut Zulhelmi Yatim, NGO terbabit terkenal dengan fahaman Syiah yang ekstrem dengan menghalalkan nikah mutaah, menambah nama Sayidina Ali ketika mengucap dua kalimah syahadah, menolak jimak ulama, mempercayai bahawa sesiapa yang menziarahi kubu Sayidina Husain mendapat ganjaran dari syurga, menyeksa tubuh badan dengan rantai sempena 10 Muharam, mengharuskan jamak dalam semua keadaan tanpa sebab, mengkafirkan sahabat Nabi Muhammad SAW, menyanjung Sayidina Ali secara keterlaluan, menghina isteri-isteri Nabi Muhammad SAW, dan menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Meskipun undang-undang di negara ini jelas menolak Syiah, kebanyakan mereka percaya bahawa mereka berada di jalan yang benar,” ujar Zulhelmi Yatim.

Syiah ialah salah satu mazhab terbesar dalam Islam selepas Sunni. Jika diteliti, terdapat beberapa aliran Syiah, antaranya Syiah Imam Dua Belas (merangkumi 90 peratus penduduk di Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq), al-Kaisaniyyah, al-Zaidiyah, Imamiyyah, al-Ghulat, Ismailiyah dan Syiah Imam Bertujuh. Daripada aliran tersebut, terdapat aliran Syiah yang ekstrem.

Di Malaysia,mazhab Syiah ditolak berdasarkan peruntukan undang-undang. Hal ini demikian kerana terdapat cabang Syiah yang diamalkan oleh segelintir umat Islam dilihat cenderung kepada keganasan. Senario tersebut dibimbing mampu mengancam keselamatan negara, seperti yang berlaku di Iraq, Afganistan, dan Pakistan yang menyaksikan pertumpahan darah antara penganut Syiah dengan Sunni.
Begitu pun, ajaran Syiah yang ekstrem bukanlah satu-satunya ajaran sesat di negara ini. Terdapat banyak ajaran sesat yang mengancam umat Islam. “Ajaran sesat di negara ini umpama cendawan tumbuh selepas hujan,” ujar Zulhelmi Yatim kepada penulis.

Beliau menambah banyak pengamal ajaran sesat yang beroperasi di negara ini “bertopengkan” amalan perubatan Islam, perniagaan yang berasaskan Islam, rumah kebajikan, dan pusat pengajian Islam.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut? Zulhelmi Yatim mengajak penulis mengunjungi sebuah rumah yang mengamalkan ajaran sesat dengan berselindung di sebalik pengamal perubatan Islam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.