Oleh Saharuddin Omar

Malaysia sudah merdeka selama 55 tahun dan dalam tempoh tersebut, sebanyak 12 Pilihan Raya Umum (PRU) telah diadakan. Meskipun parti pembangkang berjaya menawan dan mendirikan kerajaan di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia, hakikat pahit yang perlu ditelan oleh pembangkang ialah Barisan Nasional (BN) tidak pernah kalah di peringkat kerajaan pusat dan sepanjang tempoh tersebut, BN terus memegang tampuk pemerintahan negara.

Menurut mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam blog http://chedet.cc/blog, apabila melihat sejarah keputusan PRU di negara ini, parti pembangkang sudah tentu berasa kurang yakin untuk memenangi PRU ke-13, seterusnya mendirikan kerajaan pusat.

Tambah Tun Dr. Mahathir Mohamad, cara demokrasi tidak boleh menjayakan mereka. Setelah melihat penggulingan kerajaan yang berlaku di negara Arab, beliau percaya bahawa parti pembangkang di negara ini mahu melakukan perkara yang sama, iaitu menerusi demonstrasi ganas dan berpanjangan. Mereka juga perlu menunjukkan kepada rakyat dan dunia luar bahawa kerajaan BN zalim dan menindas rakyat meskipun keadaan yang sebenar adalah sebaliknya.

Maka, terciptalah demonstrasi Bersih yang kononnya berjuang untuk “membersihkan” penipuan PRU yang dilakukan oleh kerajaan di negara ini. Hakikatnya, parti pembangkang mempunyai peluang yang sama seperti parti kerajaan. Mereka boleh menang dan membentuk kerajaan sekiranya rakyat di negara ini menyokong mereka. Kerajaan bertindak untuk memastikan proses pilihan raya berjalan dengan telus mengikut kehendak parti lawan. Begitu pun, SPR dan kerajaan masih dituduh melakukan penipuan ke atas rakyat.

Demonstrasi Bersih 3.0 pada April lalu dilihat sebagai “perancangan rapi” pembangkang untuk menolak keputusan PRU ke-13 sekiranya pembangkang gagal memerintah. Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menjelaskan bahawa kekalahan parti pembangkang diikuti demonstrasi ganas yang tidak terhenti bagi memastikan keputusan pilihan raya ditolak dan kerajaan yang lain akan didirikan. Kemudian, pembangkang akan berusaha untuk mengadakan PRU dan memanipulasi PRU tersebut.

Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menjangka bahawa sebelum kerajaan pilihan rakyat digulingkan, negara akan diserang bertubi-tubi dengan demonstrasi ganas dan keadaan yang huru-hara. Ketika itu, kestabilan negara akan tergugat. Polis dituduh melakukan keganasan agar mereka tidak dapat mengawal keadaan genting dengan cara yang berkesan. Pada masa yang sama, kuasa asing akan mengecam kerajaan pilihan rakyat menggunakan kekerasan untuk menghalang kebebasan bersuara di negara ini.

Tambah Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak cukup dengan itu, pembangkang menuntut pemerhati asing untuk memantau proses PRU ke-13 yang bakal berlangsung. Kesannya, pemerhati asing yang tidak memahami situasi sebenar “iklim” pilihan raya di negara ini memberikan gambaran yang buruk terhadap imej negara. Ternyata, situasi yang “rumit” dan “kusut” ini sengaja diwujudkan oleh pihak pembangkang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.