Oleh Mohd. Nadzri Kamsin

Pasport Malaysia memaparkan kenyataan berikut, “Pasport ini sah untuk semua negara kecuali Israel”. Ke mana-mana sahaja negara yang mahu dituju, pasport Malaysia sah untuk digunakan, kecuali Israel. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sejak merdeka.

Kebanyakan negara Islam juga tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Iran, negara Islam pertama mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, sudah pun menjadi musuh nombor satu Israel. Persoalannya, mengapa kebanyakan negara Islam, termasuk Malaysia, tidak mengiktiraf Israel?

Penubuhan negara “haram” Israel sejak 1948 sememangnya penuh dengan kontroversi. Penduduk Arab Muslim dan Kristian yang menetap di Palestin dihalau keluar dengan kekerasan bersalut kekejaman. Tanah penduduk asal Arab Palestin dirampas dan diberikan kepada imigran Yahudi yang kebanyakannya datang dari Eropah.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Eropah berasa bersalah atas kezaliman yang dilakukan terhadap Yahudi. Ironinya, selepas dizalimi Eropah, Yahudi pula melakukan kezaliman terhadap bangsa Arab Palestin yang tidak bersalah. Yahudi yang menyokong Zionis ini seolah-olah tidak berasa insaf atas penyeksaan yang ditanggung dengan melakukan kezaliman terhadap orang lain.

Amerika Syarikat (AS) menjadi negara pertama di dunia yang mengiktiraf Israel, 11 minit selepas Israel secara rasmi ditubuhkan pada 14 Mei 1948. Presiden AS pada ketika itu, Harry Truman, dengan tergesa-gesa mengiktiraf negara haram Israel walaupun ditentang keras oleh Jabatan Negara AS, Pentagon dan penasihat kanan di White House. Harry Truman melakukannya kerana pengaruh pelobi Yahudi di AS.

Berdepan dengan pilihan raya presiden pada November tahun yang sama, beliau menyokong penubuhan Israel penting untuk memastikan kemenangannya. Sebelumnya, populariti Harry Truman semakin merudum dan dijangka kalah. Kemenangan Harry Truman pada pilihan raya presiden AS, pada November 1948 selepas mengiktiraf penubuhan Israel, benar-benar mengejutkan.

Daripada sebelum merdeka sehingga Malaysia ditubuhkan dan selepasnya, Israel cuba memujuk Malaysia untuk menjalinkan hubungan diplomatik. Malaysia tidak seperti AS. Pertama, Malaysia ialah negara majoriti penduduknya beragama Islam. Kedua, Malaysia tidak mempunyai populasi penduduk Yahudi.

Ketiga, rakyat Malaysia sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk bebas daripada kekejaman Zionis Israel. Sebarang usaha untuk memulakan hubungan diplomatik dengan Israel pasti akan berhadapan dengan bantahan keras daripada majoriti rakyat di negara ini. Bagi orang Melayu, khususnya, Israel sudah sinonim dengan kejahatan dan kezaliman. Lantaran itu, Malaysia tidak mungkin menjadi seperti AS yang terlalu ghairah menyokong Israel.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.