Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Semakin laris dan bertimbun lambakan kitab songsang di pasaran. Impaknya cukup besar jika dibiarkan berleluasa. Yang paling ditakuti, akidah umat Islam terutamanya golongan belia terpesong sehingga mengakibatkan wujudnya pelbagai fahaman, ajaran, ikutan, dan perbuatan yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kerajaan menetapkan bahawa hanya fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diterima di negara ini. Lantaran itu, mana-mana fahaman yang bertentangan dengan fahaman tersebut tidak diterima pakai. Ketetapan ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya perselisihan pendapat mengenai asas akidah dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Namun begitu, mengapakah kitab agama yang tidak mendapatkan lesen penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih berlambak di pasaran?

Buktinya, baru-baru ini, negara digemparkan dengan pengharaman buku Allah, Kebebasan dan Cinta yang dihasilkan oleh Irsyad Manji. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengemukakan perakuan kepada KDN pada 22 Mei lalu, meminta penjualan buku karya warga Kanada kelahiran Uganda itu diharamkan diterbitkan atau dijual di negara ini.

Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, keputusan tersebut diambil setelah kajian mendapati bahawa buku berkenaan mengandungi unsur liberalisme sehingga boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam.

“Penelitian JAKIM mendapati bahawa Irsyad Manji cuba mempengaruhi pembaca supaya menggunakan akal secara bebas dalam mentafsir perkara yang berkaitan dengan agama,” jelas Datuk Dr. Mashitah Ibrahim semasa ditemui di sidang Media di Putrajaya pada 23 Mei yang lalu.

Hal yang sama turut mendapat pengesahan daripada Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi. Beliau meminta pegawai di bahagian penerbitan meneliti perakuan serta penjelasan JAKIM. Berdasarkan prosedur KDN, buku yang diharamkan akan dipastikan tidak terjual.

Buku Irsyad Manji diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris dan dilancarkan di ibu negara pada 19 Mei lalu. Menurut sumber, sebanyak 500 buah naskhah dicetak dan dipasarkan di beberapa buah kedai buku di ibu kota. Harga sebuah buku edisi bahasa Inggeris dijual pada harga RM57.60 senaskhah dan RM60 dalam bahasa Melayu.

Yang menariknya, Irsyad Manji sebenarnya bukan pertama kali menghasilkan buku yang mampu menggoyahkan akidah umat Islam di negara ini. Sebelum ini, Irsyad Manji pernah menghasilkan buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk The Trouble With Islam Today yang mengandungi idealisme seperti penulisan novel The Satanic Verses oleh Salman Rushdie.
Menurut data yang dikeluarkan oleh JAKIM, sejak 1951 hingga 2009 sebanyak 346 judul (bahasa Melayu), 142 judul (bahasa Inggeris) dan 21 judul (bahasa lain) bahan penerbitan berunsur Islam diwartakan sebagai haram.

Yang menariknya, tahun ini sehingga Jun lepas, lima bahan penerbitan diwartakan haram oleh KDN, iaitu tiga judul pada Mac dan terkini dua judul. Daripada angka tersebut, jika dikira secara terperincinya, hampir setiap bulan satu bahan penerbitan berunsur Islam telah diwartakan sebagai haram!

Mungkin banyak pihak beranggapan bahawa hal ini masih dalam kawalan dan mampu diatasi dengan sebaik-baiknya oleh pihak berwajib. Namun begitu, perlu diperhatikan dengan lebih mendalam bahawa penyebaran bahan yang menyimpang daripada akidah ini boleh disepertikan penyakit kanser yang membunuh secara perlahan dan senyap.

Persoalannya, apakah tiada tindakan yang benar-benar berkesan yang diambil oleh pihak berwajib dalam membendung permasalahan ini daripada berterusan?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.